SUKAN > BERITA

SARAWAK KIAN HAMPIR RAMPAS GELARAN JUARA KESELURUHAN DARI SABAH

26/09/2024 10:08 PM

KUCHING, 26 Sept (Bernama) --Kontinjen Sarawak nampaknya semakin menghampiri gelaran juara keseluruhan Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) yang akan dirampas dari Sabah selepas mendahului carta kedudukan pingat keseluruhan bagi edisi 2024 setakat hari ini.

Dengan berbaki kira-kira dua hari sebelum temasya dwitahunan ini melabuhkan tirainya Sabtu ini, Sarawak telah mengumpul 71 emas, 49 perak, dan 61 gangsa dan hanya memerlukan kira-kira 12 emas lagi untuk mencapai sasaran 83 emas kali ini.

Pencapaian tersebut jauh meninggalkan Sabah di kedudukan kedua dengan 55 emas, 37 perak, dan 25 gangsa diikuti Selangor dengan kutipan 26-38-34.

Kontinjen Bumi Kenyalang sebelum ini menunjukkan dominasi dalam temasya bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) apabila muncul juara keseluruhan sebanyak 13 kali berturut-turut dari edisi 1994 di Johor hingga 2018 di Perak.

Sebanyak 50 emas lagi akan menjadi rebutan para atlet dengan sukan badminton bakal mengakhiri kemuncaknya melalui 12 emas manakala catur juga menawarkan jumlah pingat yang sama.

Selain itu, sukan olahraga yang bakal menutup saingannya di Stadium Sarawak pula menyediakan lapan pingat emas, diikuti dengan powerlifting (enam), memanah (lima), ping pong (empat), boling (dua), dan boccia (satu).

Sementara itu, empat rekod kebangsaan berjaya dicipta hari ini. Perenang Sabah, Shahafiq Abdullah, memperlihatkan kuakan cemerlang di Pusat Akuatik Renang Pandelela Rinong apabila memperbaharui dua rekod kebangsaan termasuk ketika memenangi final 50 meter (m) gaya bebas lelaki S6 (kecacatan fizikal).

Perenang berusia 20 tahun itu memperbaharui catatan lamanya 34.43 saat (s) yang dilakukan tahun ini dengan rekod baharu 33.18s.

Dalam pada itu, atlet olahraga Sabah Jericho Hedryld Harry mencuri tumpuan apabila meleburkan rekod kebangsaan rejam lembing lelaki F46 (kecacatan fizikal) yang sebelum ini dipegang selama 14 tahun oleh wakil Johor Mohd Iskandar Zainuddin.

Jericho, yang kehilangan tangan kiri akibat kemalangan motosikal empat tahun lalu, mengesahkan emas dengan catatan 36.83m, mengatasi catatan lama 35.26m oleh Mohd Iskandar.

Jericho, yang kehilangan tangan kiri akibat kemalangan motosikal empat tahun lepas, mengesahkan emas dengan catatan 36.83 meter (m) sekali gus mengatasi catatan lama 35.26m oleh Mohd Iskandar.

Atlet powerlifting negara Azlan Mos pula tampil garang dengan memperbaharui rekod kebangsaan dan temasya dengan angkatan terbaik 171 kilogram (kg) bagi meraih emas lelaki bawah 65kg.

Lebih menarik, atlet tuan rumah yang berasal dari Sebuyau itu memadam rekod lama yang dipegang jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, iaitu 170kg pada edisi 2018 di Perak, dan menyambar emas kedua untuk angkatan keseluruhan 465kg.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan