SUKAN > BERITA

KBS RANCANG HANTAR ATLET PELAPIS KE LEBIH BANYAK KEJOHANAN ANTARABANGSA

26/09/2024 11:13 PM

SEPANG, 26 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menggandakan usaha menghantar atlet pelapis ke kejohanan antarabangsa dengan harapan mereka akan mendapat pendedahan dan pengalaman yang sangat diperlukan, kata Menterinya Hannah Yeoh.

Oleh itu, katanya, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan mengenai cara meningkatkan pembiayaan bagi sukan dan menggalakkan sektor korporat melabur dalam bidang tersebut.

Beliau berkata ada sebilangan atlet terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri untuk bertanding dalam kejohanan di luar negara semata-mata untuk mendapatkan pendedahan supaya mampu bersaing dengan lebih baik ketika menggalas cabaran negara di persada antarabangsa

Hannah berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kepulangan skuad tenpin boling negara  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas mencipta kemenangan bersejarah pada Kejohanan Asia ke-27 (ATBC) di Bangkok, Thailand.

Beliau turut turut mengucapkan tahniah kepada skuad negara atas kemenangan bergaya di ATBC dengan membawa pulang lapan pingat emas, lima perak dan empat gangsa pada kejohanan tersebut.

Hannah berkata Majlis Sukan Negara telah memperuntukkan sejumlah RM457,700 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kepada para atlet yang berjaya.

Beliau berkata setiap atlet akan menerima jumlah yang berbeza dengan penerima terbesar ialah Muhammad Rafiq Ismail, diikuti oleh Si Li Jane yang masing-masing berjaya meraih empat dan tiga pingat emas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan