SUKAN > BERITA

LTDL 2024: MPC CONGAK STRATEGI TAWAN PERINGKAT SATU

27/09/2024 06:49 PM

LANGKAWI, 27 Sept -- Pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) membuat kajian awal bagi merangka strategi terbaik untuk memastikan pasukannya menamatkan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dengan keputusan positif, Ahad ini.

Pengarah pasukan MPC Mohd Sayuti Mohd Zahit berkata berdasarkan pemantauan di laluan 20 kilometer (km) terakhir ke garisan penamat, pelumba bakal berdepan cabaran sukar di kawasan Bukit Malut yang mungkin boleh berlaku pemecahan kumpulan kecil.

“Pada 20km terakhir, laluan di kawasan Bukit Malut agak mencabar. Jika ada yang tidak membuat pemantauan awal, kemungkinan besar akan berlaku banyak pemecahan sebelum menuruni bukit dengan laju. Malah, tidak mustahil untuk ada penamat solo,” katanya ketika ditemui di sini.

Peringkat pertama LTdL 2024 bermula di Pekan Kuah mengelilingi Pulau Langkawi pada 29 Sept ini.

Pada masa sama, bekas pelumba kebangsaan itu mengingatkan anak buahnya supaya sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia dalam menghadapi apa sahaja kemungkinan berlaku di kawasan berkenaan.

“Kami mahu keputusan positif untuk MPC dalam peringkat pertama ini. Pelumba kami sudah bersedia memberikan persembahan terbaik, meskipun buat kali pertama menggunakan kesemuanya tenaga tempatan kali ini,” katanya.

Menurut Mohd Sayuti, MPC mempertaruhkan enam daripada 11 pelumba yang dipilih berdasarkan kemampuan mereka dengan Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Ahmad Syazrin Awang Ilah diharap dapat menonjol ketika laluan landai.

Sementara Muhammad Zawawi Azman, Muhammad Syawal Mazlin, Zulfikri Zulkifli dan Mohammad Fahmi Khairul akan menjadi taruhan dalam zon pendakian, khususnya di peringkat ketiga (Taiping ke Cameron Highlands).

“Kami mempunyai empat pendaki yang ampuh dan mereka telah membuktikan kemampuan di Tour Salalah, Oman,” katanya.

Mohd Sayuti turut menyasarkan MPC mampu merangkul jersi putih (Pelumba Terbaik Asia), selain jersi merah (Raja Bukit) dan meraih podium pada LTdL edisi ke-28 ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan