SUKAN > BERITA

MALAYSIA TIDAK KETANDUSAN ATLET PARA OLAHRAGA

27/09/2024 05:41 PM

KUCHING, 27 Sept (Bernama) -- Lima hari acara olahraga berlangsung pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024 menyaksikan setiap negeri saling menampilkan persembahan cemerlang dengan 31 rekod temasya berjaya dicipta.

Pasukan negeri Di Bawah Bayu muncul 'raja' dengan membawa pulang 36 emas, 17 perak dan 19 gangsa selain meleburkan 15 rekod temasya, mengatasi tuan rumah yang menggondol 33 emas, 24 perak dan 37 gangsa daripada 131 acara dipertandingkan. 

Pencapaian berkenaan membuktikan bahawa negara tidak berdepan masalah untuk mencari pelapis dalam kalangan atlet istimewa itu bagi membawa cabaran di pentas antarabangsa pada masa akan datang.

Apatah lagi dengan kemunculan atlet berusia 14 tahun dalam kategori trek T20 (masalah pembelajaran) wanita Kaseh Raudah Mohd Shah yang berjaya memperbaharui rekod temasya justeru menunjukkan Malaysia juga mempunyai pelapis wanita bagi sukan para. 

Dalam usaha memastikan barisan bakat ini tidak disia-siakan, Presiden Persatuan Olahraga Para Malaysia (MPAA) Mohd Zarrawi Ravi Abdullah berkata 17 atlet lelaki dan tujuh wanita yang meleburkan rekod temasya di Bumi Kenyalang dimasukkan ke dalam Program Podium untuk mengasah lagi kemahiran mereka dalam acara masing-masing. 

Beliau berkata ia juga merupakan persiapan kontinjen Malaysia untuk berentap pada Sukan Para ASEAN Thailand tahun depan. 

“Semua negeri tiada yang pulang tangan kosong, saya rasa pencapaian bagus untuk setiap negeri, atlet yang memecahkan rekod temasya ada yang sudah berada di Program Podium dan ada atlet baharu, jadi yang baru kita akan serapkan dalam Program Podium.

“Bagi atlet lain yang tidak melebur rekod tapi berpotensi juga akan kita terus pantau dan beri program yang sesuai untuk kita ketengahkan mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya. 

16 acara daripada 31 rekod yang dicipta pada edisi kali ini merupakan acara padang manakala baki 15 daripada acara trek. 

Antara rekod temasya lain yang turut menjadi tumpuan adalah menerusi atlet Johor Badrul Hisham Musa yang memadam dua rekod iaitu menerusi lontar peluru dengan catatan 11.85 meter (m) dan lempar cakera (32.11m) bagi kategori F12 (kecacatan fizikal).

Turut menyertai senarai, atlet Sabah Jericho Hedryld Harry F46 (kecacatan fizikal) dalam rejam lembing (36.83m) dan atlet Sarawak Jap Soon Hung F54 (kecacatan fizikal) bagi lontar peluru (8.22m) dan lempar cakera (21.07m). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan