SUKAN > BERITA

TIGA KELAB LIGA SUPER ALAMI ISU TUNGGAKAN GAJI DIDENDA RM15,000

27/09/2024 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Tiga kelab Liga Super yang sedang berdepan isu tunggakan bayaran gaji, hari ini dikenakan denda RM15,000 serta merta oleh badan bebas Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB), demikian menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Denda itu berikutan MFL FFP masih belum menerima sebarang penyelesaian berhubung tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama kedua-dua pihak, dan menghantar bukti kepada FFP FIB selepas 30 hari sekatan perpindahan pemain jendela kedua musim 2024/2025 dikenakan ke atas tiga kelab tersebut.

Tiga kelab berkenaan juga perlu menghantar bukti resit bayaran atau pelan pembayaran ansuran bagi tunggakan gaji melibatkan pemain, pegawai dan pentadbiran dan agensi kerajaan iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Sistem Insurans Pekerja (SIP).

Bukti bayaran atau pelan pembayaran ansuran, perlu dihantar dalam masa 30 hari selewatnya 25 Okt ini.

“Kegagalan, keengganan dan/atau kecuaian tiga kelab ini untuk berbuat demikian seperti yang ditetapkan di atas, maka perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB bagi tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan MFL hari ini.

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan FFP FIB sudah menyelesaikan pemeriksaaan terhadap laporan kewangan fasa kedua, yang diserahkan oleh kesemua kelab Liga Super.

“Daripada pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan oleh kesemua kelab Liga Super, didapati bahawa 10 kelab telah berjaya menyerahkan laporan kewangan fasa kedua FFP dengan lengkap.

“Bagaimanapun tiga kelab pula tidak berjaya dalam proses melengkapkan laporan kewangan itu disebabkan mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN, PERKESO dan SIP,” menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa kedua dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia (Liga-M), bermula musim 2024/2025.

Bulan lepas, fasa pertama pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super menyaksikan tiga kelab disahkan mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN Perkeso dan SIP bagi bulan Mei dan Jun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan