SUKAN > BERITA

PANG RON-SU YIN MARA KE FINAL MASTERS CHINA

23/11/2024 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mencipta sensasi selepas menumbangkan pilihan ketiga kejohanan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong untuk melangkah ke final Masters China 2024 di Shenzhen, hari ini.

Pada pertembungan separuh akhir di Gimnasium Shenzhen, Pang Ron-Su Yin menunjukkan persembahan bertenaga bagi merakam kemenangan dramatik 21-14, 17-21, 21-19 dalam tempoh 65 minit.

Kejayaan itu menyaksikan pasangan nombor 23 dunia itu melakar satu lagi kejutan selepas berjaya mengetepikan pilihan kedua Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China di pusingan kedua, Khamis lepas.

Di pentas final esok, Pang Ron-Su Yin akan berentap dengan pilihan pertama Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China yang menundukkan wakil negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-18, 21-13 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pang Ron-Su Yin hanya pernah sekali bertemu dengan beregu China itu iaitu pada separuh akhir Kejohanan Terbuka Hong Kong, September lepas yang menyaksikan kekalahan beregu negara.

"Sudah tentu ini ialah tempat mereka dan juga mereka merupakan pasangan yang sangat kuat, jadi kami perlu kembali dan belajar lebih banyak, dan berbincang dengan pasukan kami supaya mudah-mudahan dapat beraksi dengan baik esok," kata Pang Ron kepada BWF selepas perlawanan separuh akhir.

Pada masa sama, Su Yin berkata: “kami hanya masuk ke gelanggang dan berikan tentangan." 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan