KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Juara Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) Malaysia (MPL) Musim ke-14, Selangor Red Giants (SRG) berjaya mara ke pusingan kalah mati Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M6 selepas menewaskan wakil Kemboja CFU Gaming 2-1 di IOI City Mall Putrajaya, hari ini.
Pada aksi yang menggunakan format best of 3 (BO3) pasukan kendalian Michael Angelo Bocado (Arcadia) bermula dengan langkah kiri apabila tewas perlawanan pertama dengan skor 18 kills berbalas 16 dalam tempoh lebih 14 minit.
Bagaimanapun, wakil Malaysia itu bangkit pada perlawanan kedua dengan menampilkan permainan lebih agresif untuk memenangi aksi itu dengan 11 kills tanpa balas dan mengheret CFU Gaming ke perlawanan penentuan.
Pada perlawanan ketiga, SRG bermula baik apabila mendahului dari segi bilangan kills berbanding CFU Gaming.
Tersentak dengan aksi yang ditampilkan SRG itu, CFU gaming kembali memperkemaskan permainan mereka hingga satu ketika hampir berjaya meraih kemenangan.
Bagaimanapun, pengalaman yang dimiliki SRG nyata menjadi kunci kemenangan pasukan itu apabila bangkit untuk memenangi aksi itu dengan skor 13 kills berbalas 7 dalam tempoh 15 minit.
Kemenangan itu membolehkan SRG melangkah ke pusingan kalah mati bersama-sama satu lagi pasukan negara iaitu Team Vamos yang melakar kemenangan 2-0 ke atas wakil Amerika Utara BloodThirstyKings (BTK) dalam aksi yang berlangsung petang tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial