SUKAN > BERITA

HYE-JIN SELANGKAH UNGGULI KEJOHANAN GOLF MAYBANK LPGA 2025

01/11/2025 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Pemain Korea Selatan Choi Hye-jin mengukuhkan kedudukan keseluruhan selepas melakukan enam birdie bagi mencatat lima bawah par 67 pada pusingan ketiga Kejohanan Golf Maybank LPGA 2025 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara, di sini hari ini.

Hye-jin, yang hanya melakukan satu kesilapan hari ini menerusi bogey tunggal di lubang ke-16, tampil cemerlang dengan birdie di lubang ketiga, keempat, ke-10, ke-12, ke-14 dan ke-18 untuk mencatat jumlah keseluruhan 19 di bawah par 197 — sekali gus mendahului empat pukulan menjelang pusingan akhir esok.

Pemain berusia 26 tahun itu yang mempamerkan konsistensi luar biasa sejak mendahului pada pusingan pertama Khamis lepas mengakui gementar apabila dia berusaha menamatkan saingan dengan kemenangan.

“Sebenarnya, saya pernah mempunyai banyak peluang untuk menang sebelum ini, tetapi saya tidak memanfaatkannya. Namun selepas bermain dengan baik sepanjang tiga hari lepas, saya amat menantikan peluang untuk meraih kejuaraan pertama Jelajah LPGA esok. Saya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan saya esok.

“Saya telah menunggu (kemenangan pertama di Jelajah LPGA) ini sejak sekian lama, dan saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadikannya kenyataan. Saya rasa ia seperti mimpi. Jadi, ya, saya benar-benar menantikannya,” katanya kepada pemberita.

Hye-Jin bagaimanapun berwaspada dengan ancaman daripada pemain China Liu Yan dan pemain Australia Hannah Green yang masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga.

Liu Yan mempamerkan prestasi tanpa bogey dengan mencatat tujuh bawah par 65 untuk mendaki ke kedudukan kedua dengan jumlah keseluruhan 15 di bawah par 201, manakala Green mencatat lima di bawah par 67 untuk jumlah keseluruhan tiga hari 14 di bawah par 202.

Beliau menyifatkan kesabaran dan ketenangan sebagai kunci kejayaannya pada pusingan berkenaan, sambil menekankan bahawa rahsia prestasinya adalah menyesuaikan diri dengan cuaca Malaysia yang mencabar.

“Golf tidak boleh sempurna. Padang ini boleh menjadi sukar kerana cuaca sangat panas, tetapi saya menikmati cuaca panas kerana saya berasal dari selatan China yang cuacanya juga sangat panas.

“Esok, saya rasa saya akan bermain seperti hari ini, lebih sabar dan lebih fokus,” kata Liu Yan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan