KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Setelah menghabiskan sebahagian besar musim bermain di luar negara, pemain golf negara Kelly Tan sedar bahawa beliau terhutang budi kepada peminat di sini untuk menamatkan pusingan akhir Kejohanan Golf Maybank 2025 esok sebaik mungkin.
Pemain berusia 32 tahun itu kelihatan menemui rentak tepat pada masanya apabila muncul sebagai pemain Malaysia terbaik pada pusingan ketiga dengan mencatat enam birdi bagi menghasilkan empat bawah par 68 di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur (KLGCC) hari ini.
Kelly yang memukau dengan birdi di lubang 2, 3, 5, 12, 13 dan 14, serta bogi di lubang 8 dan 9, kini berada di kedudukan ke-38 bersama enam pemain lain dengan jumlah keseluruhan lima bawah par 211.
“Memang seronok dapat bermain golf di hadapan keluarga dan rakan rapat. Kebiasaannya saya bermain di luar negara, jadi memang menggembirakan dapat beraksi di depan semua orang di sini.
“Saya rasa semuanya berjalan lancar. Pukulan driver dan iron saya baik. Hari ini saya mempunyai enam birdi dan 27 pukulan, jadi putting pun baik... scrambling juga baik,” katanya.
“Apabila permainan berjalan lancar, sudah tentu anda boleh mencatat skor rendah. Saya rasa itulah yang saya lakukan hari ini,” katanya.
Sementara itu, Mirabel Ting mencatatkan dua bawah par 70 untuk menduduki tempat ke-45 dengan empat bawah par 212, manakala Genevieve Ling mencatatkan dua atas par 74 untuk jumlah satu bawah par 215 dan terikat di tempat ke-57.
Ashley Lau (empat atas par 76) dan Liyana Durisic (tiga atas par 75), dua lagi pemain Malaysia dalam persaingan itu, menamatkan saingan hari ini dengan masing-masing terikat di tempat ke-67 dan ke-71.
Ashley mengakui bahawa hari ini bukan prestasi terbaiknya, namun beliau kekal positif terhadap permainan keseluruhannya.
“Tiada apa yang hendak disedihkan atau marah kerana permainan saya agak baik. Cuma tiada banyak putt yang masuk.
“Mungkin sedikit kurang tepat berbanding dua hari lepas. Namun, saya masih boleh katakan ia agak baik. Sekali lagi, saya tidak banyak peluang untuk birdi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial