KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Kebangsaan berlepas ke Prague, Republik Czech hari ini bagi menyertai kejohanan jemputan dan siri perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand, bulan depan.
Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan jelajah itu penting untuk menilai tahap persediaan pasukan selepas beberapa bulan menjalani latihan intensif, selain menguji strategi dan kombinasi pemain menentang kelab-kelab berkualiti dari Eropah.
Skuad lelaki kendalian Muhamad Amin Rahim bakal beraksi dalam sembilan perlawanan merangkumi lima kejohanan jemputan menentang kelab dari tiga negara manakala empat perlawanan persahabatan berdepan kelab Republik Czech sebagai medan membaiki aspek taktikal menjelang temasya sukan dwi tahunan itu.
Muhamad Amin berkata jelajah ini penting untuk melihat tahap persediaan semasa pasukan dan setakat ini, beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan dan berharap momentum itu berkekalan sehingga Sukan SEA nanti.
“Peluang beraksi di Eropah perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain untuk menunjukkan prestasi terbaik, selain membolehkan barisan kejurulatihan mengenal pasti kelemahan sebelum saingan Sukan SEA dan mencatur kombinasi yang terbaik buat pasukan,” katanya dalam kenyataan itu.
Skuad hoki dalam dewan negara lelaki akan beraksi dalam Piala Pragochema, Prague Indoor 2025 di Sportshall Sokol Kbely, bermula 15 Nov dengan aksi pertama menyaksikan skuad negara menentang kelab Tresenwalder (Jerman), HC 1972 Rakovnik (Republik Czech) dan Raca (Slovakia).
Pada 16 Nov pula, kejohanan akan diteruskan bagi aksi penentuan tempat dan juga final dengan mereka dijadual bertemu empat lagi kelab Republik Czech dalam perlawanan persahabatan menentang Mnichovice, Slavia, Bohemians dan Litice dari 17 hingga 21 Nov ini.
Sementara itu, skuad wanita yang turut bersama di jelajah tersebut akan mengharungi 10 perlawanan, termasuk lima kejohanan jemputan melibatkan kelab dari Republik Czech dan Jerman manakala lima aksi persahabatan menentang kelab dari Republik Czech dan Ukraine.
Ketua jurulatih hoki dalam dewan wanita Rodzhanizam Mat Radzi berkata pengalaman beraksi di Eropah amat berharga kerana memberi peluang kepada pemain untuk mengasah kemampuan menghadapi pasukan bertaraf dunia dalam suasana pertandingan sebenar.
Skuad wanita akan memulakan saingan menentang Tresenwalder (Jerman), HC Bohemians Praha dan Praga (Republik Czech) pada 15 hingga 16 November, sebelum berdepan Ukraine, Slavia, Bohemians, Pragovka dan Litice dalam aksi persahabatan berikutnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial