KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Dua wakil Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Pearly Tan-M. Thinaah berjaya mara ke pusingan separuh akhir Masters Jepun 2025 selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Kumamoto Prefectural Gymnasium, pilihan kedua kejohanan dalam acara beregu lelaki itu menumpaskan gandingan Taiwan Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dalam perlawanan tiga set 21-16, 10-21, 21-16.
Gandingan profesional negara itu akan menentang wakil tuan rumah Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita.
Bagi acara beregu wanita, Pearly-Thinaah mengesahkan tempat pada pusingan separuh akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun 21-13, 21-17, sekali gus akan berdepan Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dari Jepun atau pasangan Taiwan Hu Ling Fang-Jheng Yu Chieh.
Perjuangan dua lagi wakil beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri bagaimanapun berakhir di suku akhir.
Wan Arif-Roy King tewas kepada gandingan tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 19-21, 14-21; sementara Hon Jian-Muhammad Haikal dikalahkan pasangan Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin, 16-21, 16-21.
Kejutan dipamerkan pemain perseorangan wanita negara Wong Ling Ching yang menumpaskan bintang Kanada, Michelle Li semalam juga berakhir selepas kecundang pada tangan pemain berpengalaman Thailand Ratchanok Itanon 17-21, 9-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial