SUKAN > BERITA

PREM KUMAR TEKAD PERTAHAN EMAS SUKAN SEA

14/11/2025 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Atlet karate negara S. Prem Kumar bertekad mempertahankan pingat emas acara bawah 55 kilogram (kg) kumite lelaki pada Sukan SEA 2025 di Thailand, bulan depan.

Prem Kumar berkata beliau juga berharap dapat membantu Malaysia merampas emas kumite berpasukan lelaki selepas tumpas tipis 2-3 kepada Vietnam pada edisi lepas di Phnom Penh, Kemboja.

“Setelah melakukan persiapan rapi dalam tempoh 12 bulan ini, sudah tentu tekad saya hanya untuk menang.

“Jika boleh, saya juga mahu meraih emas dalam acara berpasukan,” katanya selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2025 Nazmizan Muhammad di sini hari ini.

Atlet berusia 31 tahun itu juga enggan memikirkan soal pencabar, sebaliknya mahu kekal fokus terhadap persiapan sendiri untuk bertarung pada Sukan SEA 2025.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad karate negara R. Sharmendran berkata anak buahnya sudah bersiap sedia untuk merealisasikan misi membawa pulang tiga emas seperti ditetapkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) pada temasya sukan dwitahunan itu kali ini.

Sharmendran yang pernah memenangi emas bawah 75 kg lelaki pada empat edisi Sukan SEA berturut-turut dari 2017 hingga 2023 berkata tidak banyak perbezaan ketika bergelar atlet dan juga jurulatih.

Beliau berkata misinya tetap sama, iaitu membantu Malaysia mencapai kejayaan tanpa mengambil kira peranan dipegangnya.

“Pada akhirnya, ini tentang negara, bukan kepentingan peribadi. Siapa pun yang menang, ia untuk Malaysia,” katanya.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini, melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan