KLANG, 14 Nov (Bernama) -- Sebanyak 28 pasukan dari pelbagai negara berentap dalam kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) ke-35, bermula esok.
Perlumbaan selama sembilan hari itu bermula dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Pangkor sebelum ke Pulau Pinang dan dijadualkan tamat di Pulau Langkawi.
Lebih menarik, perlumbaan tahun ini turut disertai Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pengerusi RMSIR Irsyad Ismail berkata penyertaan Tengku Amir, yang merupakan kali ketiga, akan menjadikan kejohanan tahun ini lebih menarik.
“Lebih menarik kejohanan ini akan turut disertai isteri baginda Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
“Sukan layar ini juga sebenarnya satu hobi buat Raja Muda dan beliau sangat berminat dengan pelayaran,” katanya pada majlis perasmian RMSIR di Royal Selangor Yacht Club di sini hari ini.
RMSIR yang mula dianjurkan pada 1990 ialah kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan dianggap paling sukar di Asia Tenggara.
Kejohanan itu idea cetusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika baginda bergelar Raja Muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial