SUKAN > BERITA

MALAYSIA ANJUR DUA KEJOHANAN AKUATIK UTAMA 2026

02/12/2025 10:41 AM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Malaysia diberikan hak penganjuran dua kejohanan akuatik utama pada 2026, iaitu Kejohanan Polo Air Asia (Bawah 18 Tahun) dan Kejohanan Akuatik Kumpulan Umur SEA ke-48, sekali gus mengukuhkan peranan negara dalam sukan akuatik di peringkat benua dan serantau.

 Akuatik Malaysia (MAS) dalam kenyataan memaklumkan Kejohanan Polo Air Asia (Bawah 18 Tahun) dari 9 hingga 15 Mac 2026 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil itu akan menandakan buat julung kali negara menjadi tuan rumah acara berkenaan.

Kenyataan itu turut memaklumkan acara berkenaan akan menjadi kejohanan kelayakan rasmi Asia untuk Kejohanan Akuatik Dunia (Bawah 18 Tahun), yang menghimpunkan pasukan remaja terbaik benua dalam persekitaran pertandingan berprestasi tinggi yang disahkan Akuatik Asia.

“Menganjurkan acara ini menunjukkan komitmen berterusan Malaysia terhadap pembangunan polo air serta menyediakan pendedahan antarabangsa kepada atlet muda dari seluruh benua,” menurut kenyataan itu.

MAS turut memaklumkan Kejohanan Akuatik Kumpulan Umur SEA 2026 akan menampilkan empat disiplin di bawah program itu, iaitu renang, polo air, terjun dan renang artistik.

“Kejohanan Kumpulan Umur SEA sebagai acara pelbagai disiplin di rantau ini memainkan peranan penting dalam membangunkan generasi baharu atlet akuatik serta mengukuhkan kerjasama antara negara-negara Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.

MAS memaklumkan penganjuran kedua-dua kejohanan itu menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh laluan pembangunan atlet muda, meningkatkan peluang pertandingan bagi atlet Asia dan Asia Tenggara serta memajukan kedudukan negara dalam komuniti akuatik global.

“Akuatik Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Akuatik Asia, persekutuan SEA dan rakan domestik bagi memastikan penganjuran kedua-dua acara berjalan lancar. Maklumat lanjut dan jadual pertandingan akan diumumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan