SUKAN > BERITA

SUKAN SEA 2025: MSN TANGGUNG KOS TAMBAHAN PERPINDAHAN DARI SONGKHLA KE BANGKOK

02/12/2025 10:51 AM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) bakal menanggung semua kos tambahan membabitkan perpindahan atlet Malaysia ke Sukan SEA 2025 dari wilayah selatan Thailand, Songkhla yang dilanda banjir untuk membawa cabaran di Bangkok dan Chonburi.

MSN dalam kenyataan memaklumkan kelulusan untuk menampung kos tambahan yang dianggarkan melebihi RM500,00 itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada Isnin lepas.

“Keputusan itu bertujuan memastikan semua atlet negara daripada 10 jenis sukan, baik daripada Kategori A mahupun Kategori B tidak diganggu kebimbangan yang mampu menjejaskan fokus dan prestasi mereka daripada insiden luar jangka seperti yang dialami ketika ini.

“Kelulusan bagi menampung kos tambahan itu diharapkan dapat menjadi pembakar semangat dan menyemarakkan kesungguhan semua atlet berjuang untuk membawa pulang pingat kepada negara,” menurut kenyataan itu. 

MSN turut memaklumkan keputusan itu selari dengan keprihatinan disuarakan Kerajaan MADANI mengenai nasib 206 atlet dan pegawai Kontinjen Malaysia yang berdepan kesukaran setelah dipaksa berpindah hanya beberapa hari sebelum temasya Sukan SEA 2025 yang akan membuka tirai pada 9 hingga 20 Dis ini. 

“Atlet-atlet negara di Songkhla sebelum ini dijadualkan mengambil bahagian dalam acara Muay Thai, pencak silat, bola sepak lelaki, catur, judo, kabaddi, karate, petanque, wushu dan gusti. 

“Sembilan sukan itu kini akan dilangsungkan di Bangkok kecuali gusti yang akan bersaing di Chonburi,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan