SUKAN > BERITA

SUKAN SEA 2025: TENGKU MUHAMMAD ISKANDAR IKUT JEJAK LANGKAH AYAHANDA, PERKUAT SKUAD POLO MALAYSIA

02/12/2025 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Putera Sultan Pahang Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal mengharumkan nama negara apabila dipilih menyertai skuad polo Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

Penyertaan baginda bukan sekadar menambah kekuatan pasukan tetapi turut membawa nilai simbolik, mengikut jejak langkah ayahanda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang pernah meraih pingat emas acara polo pada Sukan SEA 1983 di Singapura.

Kehadiran Tengku Muhammad mencerminkan kesinambungan tradisi yang telah lama mengangkat martabat polo Malaysia. 

Pengalaman luas baginda dalam pelbagai kejohanan antarabangsa dijangka memberi suntikan strategik apabila Malaysia turun beraksi di Samut Prakan.

Acara polo Sukan SEA kali ini akan berlangsung di VS Sports Club dan Siam Polo Park, Samut Prakan, lokasi yang dianggap antara lokasi terbaik di Thailand dan sering menjadi tuan rumah kejohanan bertaraf antarabangsa.

Pemilihan lokasi berkualiti tinggi memberi peluang kepada atlet negara termasuk Tengku Muhammad untuk beraksi dalam persekitaran yang mencabar dan kompetitif, sekali gus menguji kekuatan taktikal serta keserasian pasukan.

Malaysia turut hadir dengan barisan pemain mantap yang menjadi nadi utama pasukan iaitu Muhammad Shahir Akmal Mohd Shah, Amran Selamat, Abdul Rashid Hasnan, Azhar Mustapha, Mohd Zulhelmi Nadzar, Muhammad Edham Haji Shaharuddin, Tengku Ahmad Shazril Ezzani dan Ikwan Hafiz Jamaludin. 

Dengan pertandingan yang dijangka menghimpunkan pasukan terbaik di Asia Tenggara, Malaysia menyasarkan aksi lebih meyakinkan kali ini. 

Kombinasi pemain berpengalaman dan bakat muda termasuk Tengku Muhammad membuka lembaran baharu terhadap potensi skuad Equestrian polo negara untuk mencipta kejutan di Samut Prakan.

Harapan kini disandarkan kepada disiplin, strategi dan semangat berpasukan untuk memastikan Malaysia pulang dengan kejayaan.

Acara polo sebelum ini telah dipertandingkan dalam empat edisi, iaitu di Singapura 1983, Korat, Thailand 2007, Kuala Lumpur 2017 dan 2019 di Filipina, dengan Malaysia memenangi semua edisi berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan