SUKAN > BERITA

SUKAN SEA 2025: SKUAD HOKI AIS TETAP SASARAN REALISTIK

07/12/2025 08:13 PM

SHAH ALAM, 7 Dis (Bernama) -- Pasukan hoki ais lelaki dan wanita negara menetapkan sasaran realistik pada penampilan mereka di temasya Sukan SEA 2025 di Thailand kali ini.

Skuad wanita yang membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu, kini mempergiatkan persiapan demi mencapai sasaran membawa pulang pingat perak.

Kapten pasukan wanita kebangsaan Kimberly Wan Mei Wah berkata pemain menunjukkan komitmen tinggi sepanjang latihan dan kini memberi tumpuan kepada memantapkan keserasian sebagai satu pasukan menjelang temasya.

“Persiapan kami setakat ini sangat baik. Kami konsisten hadir latihan dan fasa terakhir ini lebih kepada memantapkan permainan berpasukan dan kesefahaman. Itu fokus utama kami.

“Kami sangat teruja untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad hoki ais hari ini.

Sementara itu, kapten pasukan lelaki Brandon Tan berkata mereka menetapkan sasaran pingat gangsa.

Beliau berkata mereka menjalani latihan intensif dua hingga tiga kali seminggu, dan semua pemain memberikan komitmen yang maksimum.

“Sasaran kami ialah gangsa, tetapi sudah tentu impian kami adalah membawa pulang emas. Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapainya,” katanya.

Hoki ais lelaki dan wanita dipertandingkan mengikut formay liga sepusingan.

Pasukan lelaki akan berdepan Filipina pada 10 Dis, diikuti tuan rumah (11 Dis), Indonesia (14 Dis) dan Singapura (16 Dis) manakala pasukan wanita dijadualkan menentang Singapura pada 10 Dis, diikuti Thailand (12 Dis) dan Filipina (15 Dis). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan