SUKAN > BERITA

SUKAN SEA THAILAND: SKUAD BADMINTON WANITA SUMBANG PINGAT, MARA SEPARUH AKHIR

07/12/2025 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Skuad badminton wanita negara mengesahkan sekurang-kurangnya satu pingat di Sukan SEA Thailand yang kini berlangsung di Bangkok, selepas mara ke separuh akhir acara berpasukan dengan menumpaskan Vietnam 3-1 hari ini.

Beraksi di Universiti Thammasat, pasukan kebangsaan tidak bermula dengan baik apabila K Letshanaa yang diletakkan sebagai pemain perseorangan pertama tewas kepada pemain Vietnam, Nguyen Thuy Linh, 21-15, 10-21, 21-23.

Bagaimanapun skuad negara bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi Wong Lin Ching yang menumpaskan Vu Thi Trang, 21-14, 20-22, 21-14.

Momentum kemenangan itu kemudiannya diteruskan pada perlawanan ketiga menerusi gandingan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang menumpaskan Pham Thi Dieu Ly-Pham Thi Khanh 21-12, 21-8 untuk Malaysia mendahului 2-1.

Pemain perseorangan ketiga negara, Siti Zulaikha Azmi memastikan mata kemenangan menjadi milik negara apabila menumpaskan Bic Phuong Bu 21-19, 21-19.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara berpasukan wanita adalah pada edisi 2019 di Manila iaitu berkongsi gangsa bersama Singapura.

Pencapaian terbaik pasukan wanita negara di temasya dwitahunan itu adalah pada 2009 apabila bergelar juara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan