KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Atlet triatlon meningkat naik Cindy Sui menampilkan persembahan memberangsangkan menjelang debut Sukan SEA di Thailand minggu depan dengan menjuarai acara pecut wanita pada Aquathlon Kuala Langat 2025 di Lover’s Bridge, Tanjung Sepat, hari ini.
Cindy, 27, mencatatkan masa 34 minit 33 saat (s) untuk menamatkan pertandingan yang meliputi renang 750 meter (m) dan larian lima kilometer (km), mengatasi Chan May Yan (37:37s) and Shannon Liaw (40:49s).
"Perlumbaan ini memberikan saya gambaran yang baik bagaimana saya mahu lakukannya pada Sukan SEA terutamanya kerana aquathlon akan menjadi acara pertama saya di sana.
"Hari ini bukan perlumbaan bertaraf 'A' untuk saya, namun ia masih satu peluang yang penting untuk menilai bagaimana badan saya bertindak balas dan di mana saya perlu perkemaskan lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas perenang Sarawak itu berkata bertukar sukan merupakan titik perubahan terbesar dalam kerjayanya.
"Saya perenang kompetitif sejak kecil, tetapi di Malaysia peringkat tertinggi yang saya capai ialah SUKMA (Sukan Malaysia). Saya tidak dapat menyertai pasukan kebangsaan, jadi saya fikir impian untuk mewakili negara telah tiada.
"Apabila saya memasuki triathlon, semuanya berubah. Saya tidak pernah terfikir sukan ketahanan untuk diri sendiri, tetapi kini akhirnya saya dapat menyarung pakaian atlet kebangsaan pada pentas besar. Ia seperti keputusan terbaik yang pernah saya buat," katanya.
Sementara itu, anggota tentera berpangkat koperal Khairil Azhar Abdul Wahid menampilkan keputusan terbaik dalam Olimpik lelaki (1.5km renang-10km larian) untuk meraih kemenangan dengan catatan masa 1:05:23s meninggalkan Jeremy Tan (1:06:16s) dan Indra Abunawas (1:07:43s).
"Saya sangat gembira akhirnya dapat menang selepas mendapat tempat kedua (di belakang atlet negara Yap Qi Yi) tahun lepas. Beliau (Yap) tidak bertanding kali ini kerana sedang bersiap sedia untuk Sukan SEA, jadi saya cuba ambil peluang sebaiknya dan baiki persembahan," kata Khairil.
Tahun ini Aquathlon Kuala Langat memasuki edisi ketiga yang berlangsung dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah Selat Melaka sepanjang 300 m di Lover’s Bridge, Tanjung Sepat.
Perlumbaan itu menarik lebih 550 peserta dari 18 negara termasuk Uruguay, Greece and Kanada melibatkan beberapa kategori kumpulan umur dan terbuka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial