Daripada Muhammad Afiff Md Adnan
BANGKOK, 7 Dis (Bernama) -- Skuad hoki 5 sebelah (5S) lelaki negara mempamerkan aksi menarik dalam misi memburu pingat emas Sukan SEA 2025 apabila membelasah Filipina 18-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A di Stadium Hoki RTAF, di sini hari ini.
Dalam perlawanan kedua hari yang sama, skuad bimbingan Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman mempamerkan penguasaan penuh sejak wisel permulaan hanya beberapa jam selepas membuka kempen dengan kemenangan 4-2 ke atas Indonesia pada sebelah pagi.
Malaysia tampil bertenaga dengan empat pemain mencetak hatrik masing-masing menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee, Muhammad Muhibuddin Moharam dan Syarman Mat Tee.
Dominasi diteruskan skuad negara apabila Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran serta Muhammad Arif Syafie Ishak menyumbang enam lagi gol sekali gus melengkapkan kemenangan besar berkenaan.
Dalam pada itu, skuad wanita negara turut membuka kempen dengan langkah kanan apabila bangkit mengatasi Indonesia 5-3 pada aksi Kumpulan A yang berlangsung hari ini.
Wan Nur Syafiqah Syahirah Wan Nordin berjaya menyumbang dua gol masing-masing pada minit ketiga dan kesembilan, diikuti jaringan Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri (12’), Nor Adilah Abdul Malik (23’) dan Hasya Syahida Saifuddin (27’).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial