BANGKOK, 9 Dis (Bernama) -- Malaysia akan secara rasmi membentangkan senarai cadangan sukan untuk Sukan SEA 2027 apabila mengambil alih jawatan pengerusi Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) sebaik sahaja Sukan SEA Thailand 2025 berakhir.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata senarai 38 sukan berkenaan adalah cadangan awal dan belum dimuktamadkan.
“Sebagai organisasi yang bertanggungjawab terhadap temasya sukan pelbagai disiplin di Malaysia, NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) berperanan melindungi dan memelihara kepentingan Sukan SEA, NOC anggota SEAGF dan Gerakan Olimpik di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook MOM hari ini.
MOM turut memaklumkan Mohamad Norza telah membentangkan laporan perkembangan penganjuran edisi ke-34 temasya dwitahunan itu, yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dari 18 hingga 29 Sept 2027 pada mesyuarat akhir majlis SEAGF bagi penggal 2023-2025 di sini semalam.
Jumaat lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan antara 38 sukan yang disenaraikan bagi Sukan SEA Malaysia 2027 ialah olahraga, badminton, bola sepak, hoki dan karate.
Upacara perasmian Sukan SEA Thailand 2025 akan diadakan di Stadium Nasional Rajamangala hari ini dan akan berlangsung hingga 20 Dis ini di dua wilayah, Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial