KANGAR, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan Perlis menawarkan insentif RM10,000 kepada pemenang acara individu jika sasaran 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berjaya dicapai.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata insentif itu sebagai galakan kepada atlet dan jurulatih untuk bersungguh-sungguh mencapai sasaran tersebut, yang turut dijadikan fokus program sukan negeri tahun hadapan.
“Sasaran ini amat penting dijayakan untuk memastikan Pelan Pembangunan Sukan Negeri Perlis 2022-2026 melalui Projek 8:20 iaitu projek menyasarkan 20 pingat emas daripada lapan sukan utama berjaya direalisasikan.
“Walaupun sasaran 20 pingat emas sesuatu yang mencabar (namun) kerajaan negeri yakin ia boleh dijayakan dengan sokongan program pembangunan bersepadu digariskan di bawah Projek 8:20,” katanya.
Mohd Shukri berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2026 yang bertemakan “Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera” pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Beliau berkata kira-kira 40 atlet prospek emas akan diberi tumpuan khusus dari sudut kebajikan, program latihan serta penyertaan kejohanan dalam dan luar negara.
SUKMA 2026 akan berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata Persatuan Woodball Negeri Perlis akan menjadi penganjur bersama Kejohanan Woodball Piala Dunia ke-10 melibatkan 20 negara dari 25 hingga 31 Julai 2026.
“Melalui kejohanan bertaraf dunia ini, Perlis berupaya memperkukuh kedudukan sebagai pusat pembangunan sukan woodball negara seterusnya membawa nama negeri ke persada antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial