SUKAN > BERITA

RASIS: JURULATIH SABAH FC NAFI DAKWAAN FADI AWAD

09/12/2025 05:52 PM

KOTA KINABALU, 9 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih Sabah FC Jean-Paul de Marigny menyangkal kenyataan pemain PDRM FC Fadi Mahmoud Awad yang menuduhnya bersikap rasis susulan pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Super Sabtu lepas, dengan menegaskan dakwaan itu tidak berasas dan amat tidak adil.

Jean-Paul berkata perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang dimenangi Sabah 4-1 bersifat sangat fizikal, menyebabkan beliau mendekati pemain itu pada babak pertama untuk menasihatinya supaya berhenti menumbuk pemain Sabah ketika perebutan bola.

“Pertikaian itu berlaku dalam tempoh 30 hingga 45 saat sahaja. Saya mengulangi permintaan dengan nada lebih tegas, tetapi saya tidak menghinanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jean-Paul berkata beliau sedia memohon maaf sekiranya Fadi berasa tidak dihormati, tetapi menegaskan tidak akan memohon maaf kerana mempertahankan anak buahnya.

“Menuduh bersikap perkauman hanya berdasarkan interaksi yang singkat sebegini adalah tidak adil dan amat menyinggung,” katanya sambil menyatakan pengalamannya selama 45 tahun dalam bola sepak menyaksikannya terlibat dengan pemain daripada pelbagai latar belakang di seluruh dunia.

Jurulatih kelahiran Australia itu turut menekankan sejarah panjang beliau dalam sukan bola sepak serta menerima didikan dalam pelbagai budaya.

Beliau juga membangkitkan latar belakang peribadinya yang membesar di Australia dalam suasana berbilang kaum serta mempunyai keluarga daripada pelbagai etnik.

“Perkauman adalah sesuatu yang kami anggap sangat serius di Australia dan ia tidak pernah diterima,” katanya.

Mendoakan yang terbaik untuk Fadi dalam kerjayanya, Jean-Paul mengakhiri kenyataannya dengan menyuarakan harapan agar pemain itu menemui ‘diri yang lebih baik, kebahagiaan dan ketenangan’.

Fadi merupakan tonggak tengah PDRM FC yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Jordan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan