TINTA MINDA

COVID-19 : BAGAIMANA MINYAK SAWIT MENJAGA KEBERSIHAN KITA

11/05/2020 01:09 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Laziana

Oleh Dr Laziana Ahmad

Kenyataan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir bahawa minyak sawit boleh membunuh virus COVID-19 mengundang pelbagai reaksi umum.

Mendalami kenyataan beliau, apa yang dimaksudkannya adalah bahan berasaskan minyak sawit dalam produk pencuci mampu membersihkan kotoran dan menyah kuman.

Minyak sawit seperti minyak sayuran lain terdiri daripada trigliserida iaitu gabungan gliserol dan asid lemak boleh menghasilkan pelbagai bahan bukan makanan termasuk untuk industri polimer, agrokimia, minyak pelincir, kosmetik dan bahan pencuci.

Industri bahan pencuci seperti detergen dan sabun adalah antara industri terbesar yang menggunakan minyak sawit dan terbitannya.

Definisi sabun adalah bahan kimia yang terdiri daripada minyak/lemak dan bahan alkali yang berfungsi untuk membersihkan kotoran.


Teknologi bahan pencuci berasaskan sawit

Penyelidikan di MPOB telah membangunkan sabun yang dihasilkan daripada bahan mentah berasaskan minyak sawit iaitu minyak sawit terproses, asid lemak, atau metil ester lemak.

Minyak atau asid lemak sawit ini ditindak balas dengan bahan beralkali natrium hidroksida (NaOH) melalui proses kimia sama ada peneutralan, saponifikasi minyak atau metil ester untuk menghasilkan sabun.

Sabun yang berbuih dapat dihasilkan dengan menambah minyak isirung sawit pada kadar tertentu. Asid lemak minyak sawit yang mempunyai rantaian karbon C16-C18 memberikan kuasa mencuci manakala asid lemak minyak isirung sawit yang mempunyai rantaian karbon C12-C14 memberikan kuasa buih.

Dalam kemajuan teknologi pembuatan bahan pencuci berasaskan minyak sawit, penyelidik MPOB juga telah berjaya menghasilkan bahan aktif permukaan atau lebih dikenali sebagai surfaktan.

Surfaktan dihasilkan melalui tindak balas kimia asid lemak sawit dengan beberapa bahan kimia lain.

Formulasi bahan pencuci dengan surfaktan juga memberikan kuasa menanggalkan kekotoran dengan berkesan.

Contoh surfaktan berasaskan sawit adalah metil ester sulfonat (MES), bersifat semula jadi dan mesra alam berbanding surfaktan berasaskan petrokimia iaitu alkil benzena sulfonat (LAS) yang berada di pasaran.


Bahan pencuci dan keupayaan membunuh kuman

Sejak penularan virus COVID-19, kita disarankan oleh pakar kesihatan supaya lebih kerap mencuci tangan demi mengelakkan jangkitan kuman.

Banyak kajian membandingkan tahap keberkesanan antara sabun pencuci dengan larutan penyahkuman dalam membersihkan kekotoran. Satu prinsip yang penting ialah jika kekotoran adalah nyata, sabun adalah bahan pencuci terbaik untuk menghilangkannya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menyarankan supaya mencuci tangan dengan menggunakan sabun berbanding larutan nyah kuman, sekiranya orang awam mempunyai akses kepada air dan sabun.

Sebenarnya, faktor fizikal luaran virus dan bakteria yang terdiri daripada lapisan lemak membolehkan sabun dan bahan pencuci menyahaktifkan virus dan bakteria tersebut.

Sama seperti membersihkan lapisan berminyak di kuali dan pinggan yang telah digunakan. Minyak dan kekotoran tidak dapat dihilangkan jika hanya menggunakan air semasa mencuci. Bahan pencuci berupaya menghilangkan minyak dan kekotoran tersebut.

Dari perspektif molekul, terdapat dua komponen utama bahan pencuci iaitu bahagian boleh larut (hidrofilik) dan tidak larut (lipofilik) dalam air. Bahagian lipofilik ini cenderung kepada minyak dan lemak di mana ianya berupaya untuk melarutkan struktur virus atau bakteria dan seterusnya memusnahkannya. Sifat hidrofilik dan lipofilik inilah yang membersihkan kulit dari kotoran serta menyahaktifkan kuman.

Kita disarankan untuk mencuci tangan dengan bahan pencuci selama sekurang-kurangnya 20 saat untuk memastikan permukaan kulit bersih dan bebas daripada kotoran dan kuman.

Bahan sanitasi nyah kuman yang beralkohol juga boleh membersihkan tangan daripada virus dan bakteria, namun kajian menunjukkan hasil yang tidak setanding dengan penggunaan bahan pencuci.

Malah, penggunaan bahan nyah kuman beralkohol dengan kerap boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan tidak sesuai untuk mereka yang menghidap masalah kulit seperti ekzema. Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan bahan berasaskan sawit seperti gliserin dan vitamin E yang boleh mengekalkan kelembapan kulit. Formulasi nyah kuman beralkohol yang diperkaya dengan vitamin E sawit boleh melindungi kulit dari radikal bebas dan sinaran UV.

Berbanding dengan larutan penyah kuman, bahan pencuci berasaskan minyak sawit adalah lebih efektif dalam membasmi kuman dan membersihkan kulit tangan.


-- BERNAMA

Dr. Laziana Ahmad merupakan Pegawai Komunikasi Sains, Unit Komunikasi Korporat, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)