SUARA BELIA

PERANAN BELIA DALAM MENDEPANI CABARAN 

18/05/2020 08:57 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Adil Nur Aqqif Fadil

Belia ataupun anak muda disebut dalam bahasa arab sebagai ‘ash shuja’ yang membawa maksud berani. Mengapa istilah dan maksud ini digunakan untuk menggambarkan seorang anak muda? Hal ini bagi menggambarkan mereka sebagai gerakan atau golongan yang tidak gentar terhadap apapun cabaran. Ini bertepatan dengan keadaan golongan belia yang berdarah muda dan bersemangat waja.

Sifat belia yang baik ialah berani dalam mendepani segala cabaran yang mendatang. Pada masa milenium ini, belia yang hanya bagus dalam akademik tidak dapat memajukan diri untuk maju kerana negara memerlukan belia yang fleksibel dan mahir dalam pelbagai bidang.

Kewujudan era dunia baharu melahirkan pelbagai cabaran dan rintangan kepada masyarakat termasuklah golongan belia.

Evolusi dunia baharu

Pengangguran merupakan mimpi ngeri setiap belia terutama golongan mahasiswa. Hal ini disebabkan oleh syarikat-syarikat swasta yang mengurangkan pekerja dan menggantikan tenaga manusia kepada tenaga mekanikal iaitu robot yang lebih peka dan kurang ralat dalam sistem. Persaingan antara mahasiswa kerana peningkatan jumlah mereka sendiri juga membuatkan peluang pekerjaan semakin kecil.

Belia lepasan universiti juga perlu bersedia untuk evolusi ekonomi dunia yang baharu iaitu Revolusi Industri 4.0 kerana syarikat-syarikat yang sedang menerima impak baharu memerlukan pekerja yang sedia untuk menerima impak bersama-sama mereka. Maka hanya mahasiswa yang lebih bersedia akan dipilih masuk sebagai pekerja.

Selain itu, masalah sosial sangat membimbangkan pelbagai pihak dan menjadi isu yang sering dipertengahkan dalam setiap media sosial bagi meningkatkan kesedaran setiap anak muda.

Hal ini kerana anak muda pada zaman ini sangat terpengaruh dengan gajet dan teknologi yang pada awalnya dicipta bertujuan untuk memudahkan umat manusia akan tetapi malangnya ramai yang menyalahgunakan teknologi tersebut.

Sebagai tamsilan, kemunculan aplikasi Tiktok yang sedang mempengaruhi jiwa dan pemikiran anak-anak muda sehingga ada yang sanggup menggadaikan maruah mereka dengan melakukan adegan-adegan yang mencolok mata seperti bergelek dan sebagainya.

Mereka sanggup mengenepikan maruah dan membiarkan ianya tergadai hanya kerana ingin menambah bilangan pengikut di media sosial.

Hal ini boleh diatasi dengan pantauan ibu bapa ataupun teguran-teguran berhemat yang dilakukan dalam media sosial kerana cara ini lebih dekat dengan belia dan anak muda.

Jati diri anak muda

Di samping itu, belia juga menghadapi masalah jati diri yang rapuh pada masa ini dan senang terpengaruh dengan budaya barat baharu yang menular dengan sangat cepat.

Hal ini tidak akan berlaku jika setiap dari anak muda berpegang teguh kepada ajaran agama kerana agama akan membentuk jati diri anak muda untuk menjadi lebih baik dan mampu untuk menentukan antara hak dan batil ,baik dan buruk.

Seorang tokoh Islam pernah berpesan: ”Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara lihatlah pada generasi mudanya”. Kata-kata ini membuktikan bahawa anak-anak muda berkuasa dalam membawa negara ke arah kemajuan dalam pelbagai bidang.

Program kepimpinan boleh mendidik anak muda untuk lebih fokus dan sedar tentang obligasi yang dipikul sebagai anak watan.

Cabaran belia luar bandar

Dalam era teknologi maklumat ini, wujudnya evolusi ekonomi baharu yang juga memberi cabaran kepada para belia iaitu Revolusi Industri 4.0.

Revolusi Industri 4.0 adalah evolusi ekonomi yang melibatkan penggunaan artificial intelligence (AI) iaitu penggunaan sistem sistem pengekodan yang ditetapkan untuk melakukan sesuatu proses.

Syarikat-syarikat menitikberatkan kemahiran berasaskan teknologi yang tinggi ketika ingin memilih pekerja mereka. Hal ini supaya syarikat mereka boleh mencapai kemajuan dengan tenaga kerja yang mahir. Perkara ini secara tidak langsung memberikan kesan terhadap belia kerana mereka perlu memenuhi ciri ciri yang diperlukan oleh syarikat supaya mendapat pekerjaan.

Jika kita lihat dari perspektif luar bandar di mana ramai belia tidak mempunyai kemudahan internet terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak, mereka adalah golongan yang perlu dibantu kerana ramai di antara mereka yang ingin mengubah nasib keluarga dan terpaksa menghadapi era lebih mencabar ini. Sekiranya dapat dilakukan, ia dapat meningkatkan sosioekonomi masyarakat dan secara tidak langsung memajukan negara.

Cabaran dan ujian tidak pernah hilang daripada hidup seseorang bahkan ia yang memberi erti kehidupan. Kehidupan umpama piano papan putih dianggap sebagai momen indah dalam hidup dan papan hitam umpama ujian dalam hidup apabila dimainkan secara bersama-sama ia akan mengeluarkan irama yang indah dan begitulah kehidupan.

Begitu jugalah dengan belia yang berperanan memacu kemajuan buat negara tercinta.

-- BERNAMA

Adil Nur Aqqif Fadil merupakan Presiden Angkatan Belia MFLS Kebangsaan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)