Berlalu 1 Syawal 1441 Hijriah dengan membawa satu budaya baru dalam masyarakat yang berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Tiada rumah terbuka, tiada kunjung mengunjung dan menziarahi sanak saudara, dan tiada percutian seisi keluarga ke tempat-tempat peranginan adalah satu keadaan yang sebenarnya memberi kesan kepada banyak pihak.
Datuk dan nenek di kampung tidak dapat menatap wajah anak-anak dan cucu-cicit yang selalunya berkumpul meraikan Aidilfitri bersama-sama dalam satu keluarga besar. Warga emas yang merupakan ibu bapa kita dapat memahami resam baru ini walaupun dengan hati yang penuh kesedihan kerana kerinduan terhadap ahli keluarga dan darah daging sendiri.
Hubungan persaudaraan pula tidak dapat terjalin dengan salaman dan senyuman sebenar. Ucapan dalam platform digital dengan panggilan video menjadi pengganti, yang pastinya tidak sama tahap kepuasan hati berbanding dengan bertemu secara berdepan dan menatap wajah manis saudara-mara.
Tiada juga percutian seisi keluarga ke tempat-tempat peranginan negara yang sudah tentu memberi kesan negatif ekonomi terhadap pengusaha hotel, rumah tumpangan atau homestay. Kerancakan ekonomi pelancongan sewaktu Syawal tidak dapat dirasai tahun ini.
CovEid jadi kenangan
Kesedihan dan kepiluan hati mengenang Aidilfitri tahun ini yang kurang kemeriahan pasti akan dikenang dalam lipatan sejarah insan setiap Muslim khususnya di Malaysia. Aidilfitri tahun ini mungkin boleh ditanggapi sebagai CovEid 2020 sebagai gabungan COVID dan Eid. Ini bahasa tidak formal atau tidak rasmi kerana ini bukanlah satu istilah yang patut diiktiraf secara rasmi. Sekadar santaian bahasa sebagai satu resam baru Aidilfitri dek keberadaan virus pembunuh ini.
Suasana CovEid ini memang memberi impak kepada semua pihak. Tiada juga rumah terbuka menandakan aktiviti-aktiviti pemimpin politik dan perniagaan untuk mendekati ahli masyarakat juga tidak dapat berlangsung. Pemimpin masyarakat ini terpaksa memikirkan kaedah lain untuk kekal menjadi figura awam yang masih memiliki citra sebagai pemimpin yang membantu masyarakat dengan cara berbeza. Sebenarnya, hampir tiada pihak yang tidak terkesan dengan CovEid ini. Tetapi, di sebalik CovEid ini, kita juga dapat memerhatikan beberapa kesan positif.
Nilai hikmahnya
Pertama, kemalangan maut dapat dikurangkan kerana larangan merentas negeri dan sekatan perjalanan. Kemalangan maut acap kali berlaku dengan ketara pada musim perayaan kerana masyarakat berpusu-pusu mahu pulang ke desa berhari raya.
Kedua, peruntukan khas untuk berhari raya juga dapat digunakan pada tahap minimum. Pakaian raya boleh didapati dengan menggunakan semula baju hari raya tahun-tahun terdahulu yang masih cantik dan baik. Ini sebenarnya konsep “sustainability” pada perbelanjaan dan kepenggunaan. Perbelanjaan pengguna hanya pada perkara-perkara yang amat perlu.
Ketiga, penghasilan sisa makanan kerana perayaan seperti Aidilfitri juga dapat diturunkan pada tahap yang rendah dan terkawal. Masakan pada raya kali ini cukup untuk santapan ahli keluarga dan jiran terdekat malah tiada kenduri-kendara yang banyak menghasilkan lebihan makanan yang adakalanya membawa pembaziran pula.
CovEid ini adalah campuran suka dan duka, hakikatnya. Suka kerana kita boleh kembali mengamalkan suruhan agama yang meminta para Muslim mengamalkan pemakanan yang seimbang dan tidak membazir, perbelanjaan wang yang perlu dan tidak berlebihan, dan menggunakan sumber sedia ada yang masih baik. Dukanya pula kita sedia maklum.
Apapun yang terjadi, Raya tetap Raya, meskipun pada resam berbeza. Menyuci jiwa, membersihkan hati, menajamkan pertimbangan akal, dan memperteguh hubungan insani dengan cara berbeza adalah hikmah besar daripada CovEid ini.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
-- BERNAMA
Dr Muhammad Abd Hadi Bin Bunyamin merupakan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)