Pandemik Spanish Flu bermula pada musim bunga 1918 dan berakhir pada musim panas 1919. Ia mengambil masa selama 15 bulan untuk pulih. COVID-19, agaknya berapa lama mengambil masa untuk pulih sepenuhnya?
Sehingga kini, semua sekolah baik menengah, rendah mahupun prasekolah masih belum dibenarkan beroperasi manakala pelajar universiti pula terpaksa belajar secara dalam talian. Buat masa ini, kerajaan hanya membenarkan taska beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memudahkan ibu bapa menempatkan anak-anak ketika mereka bekerja.
Berikutan kelonggaran yang diberikan kerajaan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kebanyakan ibu bapa telah kembali bekerja. Ini menimbulkan masalah baharu apabila ibu bapa yang selama ini bergantung kepada tadika sebagai tempat belajar dan jagaan anak sehingga balik kerja, terpaksa mencari tempat jagaan lain kerana tadika masih belum dibenarkan beroperasi.
Operasi tadika, baik dikendalikan oleh agensi kerajaan mahupun swasta, terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan kerana tadika adalah pusat pendidikan awal kanak-kanak. Bagaimanapun, kebanyakan tadika di seluruh negara turut berfungsi sebagai pusat sehenti iaitu tadika, pusat transit dan pusat jagaan harian untuk kemudahan penjagaan anak-anak ketika ibu bapa bekerja.
Risiko pengasuh tidak berdaftar
Sejak pelaksanaan PKPB, ibu bapa sudah mula bekerja dan berdepan dengan masalah baharu apabila tadika masih belum dibuka. Kebanyakan ibu bapa memilih untuk menghantar anak kepada pengasuh yang tidak berdaftar sebagai satu pilihan yang praktikal. Alternatif lain seperti menghantar anak ke kampung juga tidak dapat dilakukan kerana PKPB tidak membenarkan rakyat Malaysia merentas negeri melainkan atas keperluan yang diizinkan pemerintah.
Menghantar anak ke rumah pengasuh adalah satu tindakan yang berisiko kerana banyak pengasuh di negara ini tidak terlatih atau mendapat latihan formal. Ini mendedahkan anak-anak kepada risiko penderaan atau tidak dijaga dengan dengan baik jika terlalu ramai kanak-kanak apatah lagi jika tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang diwajibkan dipasang.
Pengasuh juga dikhuatiri tidak mampu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik kerana tidak ada SOP atau sistem pengurusan yang teratur. Keadaan ini jauh berbeza dengan tadika yang perlu mematuhi SOP yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan.
Terpaksa buat pilihan
Dari sudut kewangan pula, ibu bapa berdepan dengan beban kewangan tambahan bagi menampung kos menghantar anak kepada pengasuh dan pada masa sama, mereka masih perlu membayar yuran tadika bagi membolehkan anak mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Apabila wujud kekangan perbelanjaan, ibu bapa terpaksa memilih sama ada menjelaskan yuran tadika atau membayar pengasuh. Sudah tentu ibu bapa yang mempunyai sumber kewangan yang terhad akan memilih pengasuh yang diperlukan untuk menjaga anak-anak semasa mereka bekerja.
Apa lagi jika dibandingkan dengan pembelajaran secara dalam talian yang masih baharu dan diimplimentasi dalam keadaan secara tergesa-gesa.
Pembelajaran secara dalam talian juga tidak sesuai diadakan jika anak dijaga pengasuh atas faktor kemudahan seperti internet atau alatan yang diperlukan. Lebih menyulitkan keadaan, kanak-kanak yang mengikuti pembelajaran secara dalam talian memerlukan pengawasan, perhatian dan bantuan orang dewasa sepanjang proses pembelajaran.
Pada pandangan saya juga, membiarkan kanak-kanak menggunakan aplikasi atau perisian komunikasi video tanpa pengawasan, secara amnya adalah idea yang tidak bagus kerana ketiadaan kawalan ibu bapa boleh mendorong kepada penyalahgunaan atau mendedahkan kanak-kanak kepada risiko yang bahaya seperti pemangsa pedofilia.
Kelangsungan tadika
Bagi pihak pengusaha tadika pula, cabaran yang lebih getir dihadapi untuk meneruskan operasi pasca-PKP. Semakin lambat tadika dibenarkan beroperasi, semakin banyak tadika tidak mampu bertahan. Dimaklumi, kelangsungan hidup tadika bergantung kepada yuran pelajar. Apabila tadika masih lagi tidak boleh beroperasi, segala kos pengurusan seperti sewa dan utiliti tidak lagi mampu ditanggung oleh pihak pengurusan tadika.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan sikap ibu bapa yang enggan membayar yuran bulanan walaupun pembelajaran dalam talian masih giat dijalankan. Pengusaha tadika semakin tersepit dan terdesak. Tanpa pendapatan bulanan, pengusaha tadika masih terpaksa menanggung bayaran bil utiliti, gaji dan sewa premis kerana masih ramai pemilik bangunan tidak mahu bertolak ansur mengecualikan atau mengurangkan kadar sewa walaupun mereka menikmati pengecualian bayaran pinjaman atau moratorium selama enam bulan.
Persoalan seterusnya, bersediakah tadika untuk dibuka andainya PKPB masih berlarutan? Secara umumnya, pengusaha tadika sudah tidak sabar lagi untuk memulakan semula operasi mereka. Pelbagai maklumat mengenai langkah pencegahan dan keselamatan jangkitan COVID-19 dikongsikan sesama pengusaha. Pengusaha tadika juga membuat rujukan SOP taska selain bersedia untuk mematuhi sebarang garis panduan ditetapkan kementerian bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 di tadika.
Malah, menjaga anak-anak tadika sebenarnya lebih mudah berbanding taska kerana anak-anak lebih mudah dikawal, faham komunikasi serta boleh diajar dengan pelbagai kemahiran hidup termasuk penjagaan kebersihan diri. Malah, guru-guru juga telah terlatih dalam pengurusan kanak-kanak.
Kesimpulannya, kerajaan perlu mempertimbangan segera pembukaan semula tadika dengan SOP yang ketat bagi mengelak jangkitan COVID-19. Tadika bukan sekadar tempat anak-anak belajar ABC, ia mewakili kepentingan dua pihak iaitu ibu bapa dan pengusaha tadika. Kedua-duanya perlu dibenarkan untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu secepat mungkin.
-- BERNAMA
Chahaya Abdul Manan merupakan Pengerusi Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia (PPMM) merangkap aktivis Membaca Awal Usia