Oleh: Dr Muhamamd Zamir Othman dan Muhammad Luqman Asnawar
Rentetan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, pelbagai pihak dilihat menggembleng tenaga dan menggarap pelbagai usaha bagi membendung penularan wabak itu. Walaupun belum menemui sebarang penawar, beberapa langkah pencegahan telah disusun dan dicadangkan. Kerajaan Malaysia, contohnya, melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan norma baharu seperti amalan ‘Elakkan 3S’ iaitu elakkan tempat sesak, sembang dekat dan kawasan sempit bagi membendung penularan wabak ini. Amalan kerap mencuci tangan dengan sabun atau pensanitasi tangan juga turut disaran sebagai langkah yang efektif.
Sabun dan pensanitasi tangan
Berhubung amalan mencuci tangan menggunakan sabun atau pensanitasi tangan, terdapat perdebatan yang hangat dalam kalangan warga maya sehingga menimbulkan persoalan cara yang lebih bagus dan efektif untuk mengekang penularan wabak COVID-19. Pada asasnya, kedua-dua cara ini bagus dan terbukti berkesan hasil kajian yang dilakukan oleh ahli Sains di seluruh dunia. Jika tiada sumber air berdekatan anda, pensanitasi tangan dilihat lebih praktikal untuk digunakan berbanding sabun. Pensanitasi tangan mempunyai kandungan alkohol yang dapat membunuh bakteria atau virus berbahaya pada permukaan tangan.
Dalam pasaran, kita dapat melihat pelbagai jenis pensanitasi tangan dijual lebih-lebih lagi ketika penularan pandemik COVID-19 ini memuncak. Disebabkan faktor permintaan yang tinggi daripada petugas barisan hadapan dan orang awam, pelbagai pihak mengambil inisiatif menghasilkan pensanitasi tangan mereka sendiri. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi FaST LaB turut tidak terkecuali menghasilkan pensanitasi tangan bagi kegunaan warga USIM dan petugas barisan hadapan kerana harga bahan itu yang melambung tinggi sewaktu permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 pada 18 Mac lalu. Projek yang dikendalikan oleh sekumpulan ahli Kimia USIM ini memberi impak yang baik dalam mendukung hasrat Kementerian Pengajian Tinggi dalam inisiatif Universiti untuk Masyarakat dan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).
Penghasilan pensanitasi tangan
Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan isu dan klip video yang mendakwa cecair pembasmi kuman mudah terbakar apabila berada berdekatan dengan sumber api. Lebih parah lagi, ada berita mangsa melecur akibat memakai pensanitasi tangan dan cecair itu menyebabkan berlaku letupan di dalam kereta. Jika dilihat daripada sudut pandang dan perspektif Sains, kebanyakan pensanitasi tangan dihasilkan menggunakan alkohol sebagai bahan utama. Pengilang boleh menghasilkan pensanitasi tangan sama ada menggunakan etanol, isopropanol ataupun alkohol nyah asli. Alkohol pada umumnya mempunyai sifat fizikal seperti mudah meruap dan terbakar kerana mempunyai titik kilat (flash point) yang sangat rendah dan juga dapat membunuh bakteria dan virus.
Secara umumnya alkohol memang mudah terbakar jika terdedah pada sumber api. Namun, pensanitasi tangan dihasilkan menggunakan pelbagai jenis campuran bahan kimia lain seperti Hidrogen Peroksida, Gliserol dan air. Ia bukanlah campuran alkohol semata-mata. Ini menyebabkan sifat mudah terbakarnya berkurang dan lebih selamat namun sifat mudah terbakar itu masih wujud dan perlu dijauhkan daripada sumber api atau dibiarkan dalam keadaan melebihi 40°C, sebagai contoh, dibiarkan di dalam kenderaan sewaktu parkir untuk membeli-belah pada siang hari. Untuk pengetahuan umum, kebanyakan pensanitasi tangan dihasilkan menggunakan campuran 60 hingga 80 peratus alkohol seperti yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan masih mempunyai takat kilat 13°C - 25°C, jika ia meruap dan berdekatan dengan sumber api, boleh mengakibatkan kebakaran dan kecederaan yang serius. Penggunaan pensanitasi tangan adalah selamat jika tidak digunakan berdekatan dengan sumber api.
Produk pensanitasi tangan
Selain itu, isu keselamatan sesuatu produk itu sememangnya tidak boleh dipandang remeh terutamanya produk yang melibatkan kesihatan manusia. Masyarakat umum memandang isu pensanitasi tangan yang mudah terbakar sebagai perkara utama yang menggusarkan mereka. Selain itu, isu penggunaan bahan berbahaya juga perlu diteliti dengan lebih serius dan tidak boleh dipandang sebelah mata. Sebagai pengguna, kita perlu lebih cakna akan kandungan bahan yang digunakan dalam cecair pembasmi kuman seperti jenis alkohol dan kepekatan bahan yang digunakan.
Adakah terdapat campuran bahan kimia yang berbahaya sehingga boleh menjejaskan kesihatan pengguna? Jika diteliti, terdapat cecair pembasmi kuman yang dijual dalam pasaran menggunakan bahan kimia yang berbahaya seperti alkohol nyah asli. Alkohol nyah asli merupakan campuran antara etanol dan juga metanol. Metanol merupakan sejenis kumpulan alkohol yang berbahaya dan boleh menyebabkan keracunan (methanol poisoning). Keracunan ini bukan sahaja disebabkan oleh pengambilan metanol secara langsung melalui mulut, namun keracunan boleh berlaku jika kita terdedah kepada metanol sama ada menghidunya atau bersentuhan secara langsung.
Oleh itu, sebagai pengguna yang cakna dengan isu semasa, kita perlu menyemak dan memastikan segala bahan yang digunakan dalam menghasilkan pensanitasi tangan, bebas daripada segala unsur bahaya. Tambahan lagi, wujud pengilang dan peniaga yang tidak bertanggungjawab menghasilkan pensanitasi tangan yang tidak mengikut piawaian dengan kandungan alkohol yang rendah. Ini bukan sahaja tidak efektif dalam membendung penularan wabak COVID-9 malahan ia memberikan perasaan selamat yang palsu kepada para pengguna. Jika kurang tahu, bertanyalah kepada pihak yang lebih arif. Akhir kalam, marilah sama-sama menghayati potongan ayat dari kitab Suci Al-Quran (An-Nahl [16:43]) yang bermaksud,“Maka bertanyalah kepada ahlinya iaitu orang-orang yang tahu atau pakar jika kamu tidak mengetahui keadaan sesuatu perkara”.
-- BERNAMA
Dr Muhamamd Zamir Othman merupakan Pensyarah Kanan Teknologi Kimia Industri dan Muhammad Luqman Asnawar adalah Pelajar Tahun 3 Teknologi Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).