TINTA MINDA

TAUHID  TERAS  AKIDAH

03/07/2020 11:00 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Lokman Ab Rahman

Karen Armstrong menyusun A History of God dan The Case for God antara buku terlaris dalam kalangan masyarakat Barat yang tidak mempedulikan agama dan Tuhan. Bagi mereka persoalan Tuhan itu hanya di gereja, masjid, kuil dan synagogue. Ahli falsafah dan para saintis memberi pelbagai teori mengenai keesaan Tuhan. Kenapa susah untuk memahami keesaan Tuhan? Sekiranya pencarian Tuhan memerlukan ahli falsafah, para akademik dan saintis sudah pastilah para nabi dan rasul diutuskan daripada kalangan mereka. Di manakah peranan rasul sebagai rahmatan lilalamin?

Ia bukan persoalan falsafah dan bukannya sekadar pengajian akademik. Bukan juga teori sains yang memerlukan kajian makmal dan cerapan berdasarkan evidence based barulah dikatakan sains tauhidik! Memang benar orang seperti Maurice Bucaille mengenali Islam kerana keinsafan menemui kebenaran Quran melalui pembedahan sekujur mayat Firaun. Sebagai doktor sains perubatan, Bucaille telah menyusun What is the Origin of Man? dan The Bible, the Qu'ran and Science. Tetapi kepakarannya hanyalah pencetus kesedaran memahami kematian Firaun yang dinyatakan oleh Quran.

Begitu juga Muhammad Asad, seorang wartawan berketurunan Yahudi, memeluk Islam bukanlah kerana perjalanannya ke Mekah sehingga tertulis The Road To Mecca dan menjadi tokoh terkenal. Cat Stevens atau Yusuf Islam pula hanyalah seorang penyanyi cukup komited menyebarkan dakwah dan menggerakkan pendidikan Islam di United Kingdom (UK). Bagaimana beliau menemui akidah murni sehingga meninggalkan dunia popular sebagai ikon penghibur dunia? Ini semua kita katakan mereka mendapat hidayat Allah. ( Leopold Weiss, a Jew born in Lemberg,

Cetusan akidah tauhid

Persoalan sekarang apakah mereka terikat dengan falasafah, kajian sains atau akademik? Sebenarnya dengan kefahaman yang mudah, menarik minat Margaret Marcus atau Maryam Jameelah, wanita Yahudi Amerika memeluk Islam pada usia muda. Beliau menyedari Yahudi adalah agama dan bangsa bagi orang Yahudi sahaja. Islam itu sejagat. Pengalamannya diabadikan dalam tulisan Why I Embraced Islam? Berlainan dengan perjalanan hidup Maryam Jameelah, Karen Armstrong pula masih tidak menemui kebenaran tauhid walaupun berjaya memikat para pembaca supaya masyarakat Barat kembali berfikir dan meneliti kepercayaan kepada Tuhan! Beliau membentangkan segala fakta perbandingan agama supaya minda para pembaca terbuka, tetapi kebenaran tidak masuk ke dalam hatinya.

Begitu juga John L. Esposito, sanggup menulis Islam The Straight Path malah mampu membuat perbandingan mazhab. Sebagai profesor perbadingan agama, beliau menjadi rujukan tenaga-tenaga akademik di luar negara. Esposito pernah membela orang Islam menegaskan bahawa peristiwa 9/11 bukan penyebab ekstrem-fanatik Islam. Sebaliknya kesilapan perilaku Amerika Syarikat (AS) mengekploitasi negara-negara Islam. Kecenderungannya itu menyebabkan beliau dituduh memperbaiki citra wahabisme kerana menerima dana daripada keluarga Saudi. Beliau dikatakan banyak terpengaruh dengan pemikiran Tariq Ramadan, cucu Hassan al-Banna. Mereka seolah-seolah menjadi jurucakap kepada Islam sungguhpun tidak beriman. Sejauh mana kejujuran mereka, wallahuaklam. Ini mungkin dikatakan hidayah itu milik Allah.

Di Nusantara, Prof. Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah atau nama penanya, Hamka, terkenal mempertahankan Islam dan akidah murni dalam masyarakatnya yang penuh khurafat, tariqat kebatinan dan bidaah. Betapa hebat pun ketokohan Hamka, tidak mampu menghalang adiknya, Abdul Wadud Karim Abdullah yang disayangi daripada menukar agamanya kepada Kristian. Inilah dikatakan hidayah di tangan Allah bukan di tangan manusia seperti berlaku kepada Abu Talib, bapa saudara yang lemah lembut banyak mempertahan Nabi ketika di Mekah. Dalam watak kelembutan, hatinya terlalu keras untuk mengucapkan syahadah, sekeras batu-batu pepejal bukit di sekeliling Mekah! Begitulah kerasnya hati batu masyarakat jahiliah musyrikin Arab menentang Muhammad dan hati mereka yang menolak tauhid yang mudah dan jelas.

Teras akidah yang mudah dan jelas

Persoalan sekarang ialah bukan hak hidayah, tetapi bagaimanakah akidah tauhid dipersembahkan? Memperkenalkan secara mudah sememangnya menjadi tuntutan kerana sifat Islam adalah sejagat. Perkara pertama ialah pengucapan syahadah, sebagai satu deklarasi rasmi bahawa Tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah. Tuntutan syahadah tertegak di dalam enam rukun iman; iaitu percaya kepada Allah, Malaikat, Quran, rasul, hari kiamat dan, qadak dan qadar. Ia jelas, ringkas dan mudah difahami, malah sangat penting sebagai kepala kepada segala ibadah, menurut al-Alalusi al-Baghdadi. Keesaan sifat-Nya telah Allah nyatakan sendiri dalam surah al-Ikhlas yang sangat ringkas bahawa Allah itu tunggal, tempat pergantungan makhluk, ia tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tiada sesuatu pun yang sama dengan-Nya. Kalimah tauhid melalui syahadah secara iltizam bermula daripada seorang bayi dilahirkan diperdengarkan melalui azan dan ditalkin kepada yang mati, sebagai peringatan kepada yang hidup.

Bagaimanakah asas tauhid dilontarkan ke tengah masyarakat dengan begitu sukar difahami melalui istilah seperti transcendental, vertical, horizontal dan sebagainya jika tidak diperlukan. Kenapa terlalu mudah kita meminjam istilah asing jika kita mencukupi kalimah untuk menerangkan perkara sudah jelas? Pengajian tauhid cukup kaya dengan kalimah, istilah dan konsepnya yang mempunyai maknanya tersendiri. Pinjaman dan ubah suai istilah import kadangkala mengelirukan kita. Serapan kalimah-kalimah asing ketika memahami persoalan tauhid mengundang tafsiran dan terjemahan luar konteks yang memberi makna dan kefahaman yang tidak diperlukan. Ini membuka ruang kepada libralisme dan songsang. Tauhid melibatkan perkara thabit bukan ijtihadi dalam fiqh.

Kita tidak mahu lagi pencemaran akidah seperti Israiliyyat dan falsafah keberhalaan Greek sehingga perlu kepada penjernihan semula berlaku. Lebih merunsingkan kita apabila tuduhan takfir dan syirik ditujukan kepada yang berbeza amalan kelaziman mazhab mereka sekadar membaca Yasin pada malam jumaat, tahlil arwah, sambutan maulid, barzanji dan ziarah kubur. Misi tauhid apakah ini kerja mengeluarkan seseorang dari lakaran akidah Islam? Sedangkan risalah kenabian Muhammad sendiri bertujuan membersihkan kekufuran dan mengikis daki syirik supaya menerima Islam. Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, mantan Sheikh Al-Azhar membuat kesimpulan bahawa semua para rasul datang membawa satu risalah melalui intipati dan usul yang sama, iaitu pengabdian yang ikhlas kepada Allah.

Sebarang penyembahan dan pemujaan kepada alam seperti berhala, pokok, hantu, jin adalah diharamkan sama sekali. Bahkan dianggap perbuatan tolol serta menjatuhkan martabat manusia apabila sesuatu ciptaan oleh tangan manusia kemudian diangkat dan disembah sebagai tuhan manusia! Pemujaan ini bukan sekadar terhad alam benda, tetapi sanjungan idea dan pimikiran seorang tokoh yang dianggap luar biasa. Kata-kata tokoh tersebut pula dijadikan nas, sabda dan firman dalam hujah perdebatan yang tiada noktah!

Tantawi antara yang berjaya menghuraikan teras akidah dengan bahasa yang mudah dan sederhana tanpa meninggalkan rujukan kitab turath. Contohnya al-Aqidah wa al-Akhlak. Untuk membawa obor akidah tauhid maha penting ini, Rasulullah SAW mengambil masa 13 tahun di Mekah membersihkan syirik dan menanam kalimah tauhid terpaksa berdepan dengan kuasa musyrikin mustakbirin dengan perit, ada para sahabat diseksa dan ada antara mereka terkorban ketika mempertahankan syahadah.

Pertembungan secara terbuka seperti itu kurang berlaku seperti dulu kecuali di beberapa negara seperti di Israel (isu Muslim Palestin), China (isu Muslim Uyghur), India (isu Muslim Kashmir dan Myanmar (isu Muslim Rohingya). Hari ini pertempuran intelektual dan peperangan maya seperti islamophobia memerlukan masyarakat awam mempunyai maklumat dan pengetahuan asas tauhid yang kukuh. Bagi masyarakat awam, sudah memadai memahami dan mempelajari asas tauhid tanpa perlu mengikuti perbahasan mendalam pelbagai aliran mazhab akidah yang kadangkala sukar difahami. Kini, hampir tiada kawasan di bumi tidak sampai dakwah Nabi Muhammad SAW melalui pelbagai alatan canggih dan pergaulan. Pada ghalibnya kekufuran itu tetap bersikap keras kepala! Ini bermakna dakwah tauhid tersebar dengan mudah dan boleh dicapai oleh sesiapa sahaja.

Benih tauhid subur di timur dan barat

Dalam tempoh masa yang singkat Islam menapak di seantero dunia. Jumlah penduduk Islam dunia kini dianggarkan melebihi 1.7 bilion dan dijangka meningkat kepada 2.2 bilion pada 2030, menurut The Future of the Global Muslim Population. Blok Barat menganut agama kristian, komunisme dan sekularisme. Tetapi di sanalah masyarakat Islam berkembang dan hidup seperti sekawan ikan dalam lautan masin. Barat tidak mampu merubah akidah dan cara hidup mereka sungguhpun di Sepanyol orang Islam pernah diseksa dan dibunuh sehingga tidak tersisa. Sebaliknya, hari ini di UK dan AS, Kanada dan New Zealand, setiap hari melaungkan kalimah syahadah melalui menara masjid mereka. Turki di bawah Presiden Recep Tayyip Erdogan berusaha mencari semula kegemilangan Khalifah Islam. Semenanjung Arab adalah tidak mustahil menerima Islam dalam satu rumpun bangsa dan budaya. Tetapi dalam Alam Melayu Nusantara, Malaysia, Indonesia dan Brunei yang sangat berbeza budaya dan bahasa sehingga kini adalah majoriti Muslim. Benih tauhid yang tertanam kukuh di Semenanjung Arab tetap berkembang subur di seluruh pelosok dunia walaupun sentiasa berdepan pelbagai ancaman.

-- BERNAMA

Dr Lokman Ab Rahman ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dasar Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)