Sama ada kita menggunakan peraturan tiga saat, lima saat atau 10 saat, kita semua terlibat dan bersalah dalam mengamalkan peraturan ini. Peraturan apakah ini? Inilah peraturan yang diguna pakai bila mana kuih donat atau karipap kesukaan kita terjatuh ke atas lantai atau tanah.
Dari mana asal usulnya peraturan ini agak sukar untuk dijejaki tetapi pastinya peraturan ini wujud daripada fahaman dan kepercayaan yang telah diajarkan daripada satu generasi ke generasi yang lain. Perkara ini pernah ditanya kepada para pelajar universiti di dalam satu sesi pembelajaran yang kesemuanya adalah pelajar bidang sains kesihatan dan boleh dikategorikan sebagai komuniti saintifik. Apakah sebabnya mereka menggunakan peraturan tiga saat, lima saat atau 10 saat ini? Jawapannya pasti akan menggelikan hati sesiapa sahaja yang mendengar lebih-lebih lagi bila ia datang daripada pelajar bidang sains kesihatan.
Majoriti mereka bersetuju dan memberi jawapan yang sama kefahaman dan kepercayaannya. Katanya selepas donat atau karipap itu terjatuh menghempas lantai maka bertebaran larilah kuman dan mikroorganisma disebabkan terkejut besar. Maka dalam masa tiga saat, atau lima saat, atau 10 saat (bergantung kepada kepercayaan masing-masing) selepas hilang rasa terkejut besarnya barulah kuman dan mikroorganisma sedar itu rupanya makanan dan mula menghurung donat atau karipap tadi.
Inilah kepercayaan berbentuk kartun yang mungkin kita amalkan atau ajarkan daripada generasi ke generasi secara sedar mahupun tidak. Bagi mereka yang lebih tegas kepercayaannya, apa-apa makanan yang terjatuh ke atas lantai atau tanah dianggap kotor dan terus dibuang ke tong sampah walaupun tidak diketahui sama ada wujud kuman atau mikroorganisma di kawasan itu.
Musibah COVID-19
Pada 2019, telah datang ujian ke atas satu dunia dengan kehadiran virus COVID-19. Satu lagi jenis mikroorganisma yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Satu dunia juga telah melihat betapa besarnya kekuasaan Tuhan dan akibat daripada penularan virus COVID-19 ini secara pandemik. Kepada yang tidak percaya kepada perkara-perkara ghaib atau yang tidak dapat dilihat, pengalaman berdepan pandemik COVID-19 semestinya mencabar kepercayaan mereka dan akan dikupas serta dikaji secara saintifik.
Pada awal penularannya para saintis seluruh dunia sibuk mencari cara untuk mengenal pasti jangkitan virus COVID-19 serta mengkaji asal usulnya, dan kini yang paling utama adalah penghasilan vaksin untuk melawan virus ini. Ini kerana kita semua sedar dan nampak akan akibat penularan COVID-19. Kita telah melihat betapa ramai nyawa yang terkorban akibat jangkitan virus COVID-19 dan akibat inilah yang sangat ditakuti oleh setiap manusia.
Ketakutan ini juga akan menjadi penyebab wujudnya kepercayaan baru dalam kalangan mereka yang percaya kepada perkara-perkara ghaib mahupun yang tidak. Kalau diteliti di media-media sosial berbagai-bagai teori juga telah timbul dengan kemunculan pandemik COVID-19 ini.
Teori dan kefahaman
Para “saintis Google” mengeluarkan teori-teori berdasarkan pembacaan dan logik akal yang bersandar kepada pengetahuan mereka yang sedia ada. Tidak kurang juga teori-teori yang datang daripada golongan pengamal agama dengan rujukan kepada kitab-kitab lama serta mengaitkan kejadian ini sebagai balasan Tuhan. Sebagai seorang muslim yang beriman dengan qadak dan qadar, kita tidak boleh juga hanya berserah dan bertawakal secara total dengan alasan virus adalah makhluk Allah. Setiap muslim perlu berusaha dan berikhtiar dalam menghindarkan diri serta masyarakat daripada wabak penyakit yang boleh memudaratkan diri. Sedar atau tidak setiap daripada kita sebenarnya telah pun mula membina kepercayaan yang akan mewujudkan satu lagi fahaman seperti peraturan tiga saat, lima saat atau 10 saat yang sedia ada.
Bagaimanapun, harapnya tidak wujudlah kepercayaan dan fahaman yang berbentuk kartun seperti sebelum ini. Bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga sewaktu pandemik COVID-19 sudah pasti kesannya dan kepercayaan mereka sangat berbeza disebabkan pengalaman yang telah dilalui. Secara saintifiknya virus COVID-19 ini akan terus berada dalam kalangan masyarakat sama ada kita tahu ia berada di sekeliling kita atau tidak, dan kitalah yang perlu bersedia untuk menghadapinya.
Konsep nazafah dan taharah
Maka hari ini wujudlah apa yang kita sebut sebagai norma baharu kehidupan dalam kalangan masyarakat. Sebenarnya konsep utama norma baharu seperti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan iaitu menjaga kebersihan bukanlah sesuatu yang baharu. Malah ia adalah sesuatu yang patut diamalkan oleh setiap orang tanpa mengira kepercayaan dan agamanya. Dalam Islam, konsep nazafah atau penyucian telah lama diajar dan kita disuruh untuk mengamalkannya.
Sama ada kita mengamalkannya atau tidak, itu suatu perkara yang perlu kita nilai dan ambil perhatian. Perhati dan nilailah sendiri berapa ramai dalam kalangan masyarakat kita khususnya kaum lelaki yang keluar dari tandas selepas melepaskan hajat mereka tetapi tidak membasuh tangan. Walhal ini merupakan perkara asas dalam penyucian. Dalam masa yang sama, kita juga boleh lihat sekarang bagaimana kelengkapan-kelengkapan tandas yang lebih bagus daripada sebelum kedatangan COVID-19. Bekas-bekas sabun yang sebelum ini cantik tergantung di dinding berdekatan sinki-sinki tetapi kosong kini telah diisi penuh dengan sabun sebagai satu persediaan norma baharu yang tidak sepatutnya menjadi sesuatu perkara baharu.
Sebagai umat Islam, telah banyak sebenarnya perkara-perkara asas seperti yang dinyatakan di dalam SOP atau Prosedur Operasi Standard COVID-19 diajar oleh Islam. Perkara-perkara berkaitan nazafah dan taharah bukanlah sesuatu yang baharu dan ramai para asatizah di Malaysia yang telah membicarakannya. Konsep penjarakan sosial yang perlu diteruskan dalam usaha memutuskan rantaian penularan virus COVID-19 pula bukanlah bertujuan untuk memutuskan tali silaturahim tetapi ada juga yang mempunyai tafsiran berbeza mengenai perkara ini. Ada yang kurang percaya terhadap tahap kesihatan rakan-rakan sepejabat dan terus berhenti bersosial walaupun mengetahui rakan mereka itu berisiko rendah menjadi pembawa virus COVID-19.
Patuh arahan
Kehadiran virus COVID-19 ini secara tidak langsung telah pun mencipta satu paranoia yang agak luar biasa dalam kalangan masyarakat kita. Kini bersalaman bukanlah lagi norma biasa dalam masyarakat dan ada juga yang bertanya sampai bila kita tidak boleh bersalaman. Selagi mana pihak Kementerian Kesihatan tidak mengeluarkan kenyataan yang membenarkan kita bersalaman, maka pastinya kebanyakan kita tidak akan menghulur tangan. Dari satu sudut pandang mungkin ini juga suatu peluang atau alasan yang baik untuk kita menghentikan bersentuhan sesama bukan mahram. Malah sekarang ada juga yang mempersoalkan bila sesuatu SOP dikeluarkan sama ada “sanad” SOP tersebut sampai kepada pihak Kementerian Kesihatan ataupun tidak. Begitulah taatnya kita terhadap arahan dari pihak yang berwajib di dalam keadaan pandemik COVID-19 ini. Kerana apa? Kerana walaupun virus ini tidak kelihatan berada di sekeliling kita, namun kita percaya ia ada dan manusia telah melihat akibatnya.
Kejadian pandemik COVID-19 ini adalah suatu pembuktian yang Tuhan tidak pernah melupakan makhluknya. Di mana ilmu dan penjelasan saintifik terhenti maka di situlah rahsia kekuasaan Allah bermula. Pada kala komuniti saintifik khususnya di Barat, membicarakan sama ada Tuhan telah “habis kerjanya” dengan manusia maka didatangkan COVID-19 ke seluruh dunia. Tidak kurang juga mereka yang berseloroh pada peringkat awal kemunculan COVID-19 dan kurang mengambil serius. Kehadiran COVID-19 ini boleh dikategorikan sebagai satu lagi proses evolusi yang berlaku di atas muka bumi.
Manusia kini perlu mengadaptasi atau menyesuaikan diri dengan keadaan norma baharu serta dalam masa yang sama meneruskan kelangsungan hidup. Sepertimana yang disebut dalam teori evolusi oleh ahli-ahli biologi Barat, kelangsungan untuk hidup bagi sesuatu spesis bukanlah bergantung kepada kecerdikan atau kekuatan mereka tetapi lebih kepada kebolehan untuk mengadaptasi diri dengan keadaan sekeliling. Yang pastinya kehadiran COVID-19 bukan sahaja mengubah cara hidup masyarakat masa kini tetapi ia juga telah mendatangkan suatu kesedaran bagi mereka yang terlupa.
Hakikatnya, manusia tidak akan menang dalam peperangan melawan kuasa Tuhan yang mungkin datang walau dalam apa bentuk sekalipun. Sekarang terpulanglah kepada kita semua untuk bersama-sama menjaga kebajikan masyarakat khususnya di Malaysia dan di dunia secara amnya. Sebagai hamba yang menumpang di bumi Allah ini maka perlulah kita sentiasa berusaha, berikhtiar dan bertawakal kepada-Nya. Walau apapun terjadi sentiasalah beringat bahawa Tuhan itu ada dan Dialah yang Maha Mengetahui segala yang ada di langit serta di bumi.
-- BERNAMA
Dr Reezal Ishak merupakan pensyarah kanan di Institute of Medical Science Technology Universiti Kuala Lumpur (UniKL MESTECH)