Organisasi atau agensi-agensi kerajaan sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman sama ada dari dalam atau luar persekitaran dan ancaman ini boleh menjejaskan prestasi, produktiviti serta masa hadapan sesebuah organisasi. Dewasa ini, rata-rata ancaman kepada organisasi berpunca daripada individu-individu dalam organisasi itu sendiri dan seterusnya melibatkan ahli-ahli lain yang merosakkan identiti organisasi kerajaan. Lazimnya, ancaman ini mempunyai hubung kait yang erat dengan isu etika dan integriti. Pengabaian kedua-dua prinsip ini boleh membuka peluang untuk berlakunya penyelewengan, rasuah, salah laku dan salah guna kuasa dalam sesebuah organisasi (Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, 2013).
Integriti
Dalam konteks pekerjaan atau perkhidmatan, integriti merangkumi sifat-sifat menyeluruh seseorang individu atau sesebuah organisasi berdasarkan nilai-nilai murni sejagat termasuk aspek akauntabiliti (Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit, 2013). Justeru, untuk melangkah ke masa hadapan yang lebih cemerlang, negara kita seharusnya bijak mengurus kejayaan, mempunyai masyarakat beretika dan kakitangan yang amanah serta berintegriti. Selain itu, kakitangan organisasi perlu mempunyai prinsip lebih tegas, kuat dan amanah dalam mengatasi pelbagai kelemahan, kekurangan diri serta menjaga nama organisasi. Cabaran besar yang perlu ditangani dalam usaha tersebut ialah pemantapan etika dan integriti dalam sesebuah organisasi. Budaya etika dan integriti adalah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etika serta para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh berteraskan budi pekerti yang luhur.
Namun demikian, sejak akhir-akhir ini berita mengenai isu integriti terutamanya berkaitan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa terutama pada peringkat pembuat dasar dan ahli politik sentiasa menjadi sorotan media massa.
Memilih pemimpin
Hakikatnya, berintegriti dan bermaruah itu menjadi antara lima maqasid syariah terpenting dalam Islam. Justeru, melihat kepada kepentingan inilah setiap individu perlu menyedari tentang persoalan kepentingan integriti dalam tadbir urus dan memilih pemimpin selain membincangkan ciri-ciri pemimpin yang patut dipilih dalam Islam, memandangkan memilih pemimpin dalam Islam adalah suatu kewajipan bukannya pilihan.
Setiap orang percaya dan menyedari bahawa nilai-nilai peribadi yang baik seperti berakhlak mulia, jujur, ikhlas, amanah merupakan sebahagian ciri-ciri yang perlu ada bagi seseorang yang digelar atau menjadi pemimpin pelbagai peringkat sama ada tinggi, rendah, besar atau kecil sesuatu jawatan tersebut. Antara buku yang sering dirujuk dalam aspek kepimpinan iaitu ‘Leadership Challenge’. Buku yang ditulis oleh Kaouzer dan Posner (1995) itu menyebutkan bahawa antara ciri khas pemimpin yang sangat dikagumi ialah individu yang mempunyai nilai integriti dalam dirinya.
Dalam syariat Islam pada umumnya terdapat empat nilai akhlak yang perlu ada pada diri setiap pemimpin. Empat nilai akhlak kepimpinan yang dimaksudkan itu ialah:
a. Jujur dan boleh dipercayai. Sifat jujur merupakan akhlak mulia yang sangat disanjung manakala sifat dusta dan bohong merupakan perbuatan yang sangat tercela dan berdosa. Dalam hal ini, Ibn Wayyim dalam kitabnya al-Fawaid telah menyebut tentang bahayanya melakukan perbuatan dusta atau berbohong dalam kehidupan sesama insan di dunia ini, berkata “Berhati-hatilah dari melakukan dusta atau tipu. Ini kerana perbuatan dusta akan merosak pemahaman diri terhadap sesuatu perkara sehingga kita lalai atau tidak dapat memahami hakikat sesuatu perkara itu. Dusta akan menjadi seseorang itu tidak dapat menggambarkan sesuatu prakata yang besar serta tidak mampu untuk membimbing manusia ke jalan yang bear dan memberikan penjelasan keadaan yang sebenarnya”. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam ayat 119 surah at-Taubah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar”.
b. Adil. Islam juga menekankan kepada aspek keadilan. Dalam hal ini syariat Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memberikan hak kepada yang sewajarnya kepada yang berhak. Ini penting kerana keadilan itu menempatkan sesuatu perkara kepada tempatnya. Firman Alah dalam surah an-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”
c. Prihatin. Kepimpinan yang baik juga mempunyai sikap keprihatinan terhadap orang-orang yang dipimpinnya. Sikap prihatin yang ditunjukkan itu ialah perhatian atas dasar Allah serta Rasulnya, dan bukan atas dasar kepartian, organisasi, aliran atau kepentingan dunia yang lain. Bentuk keprihatinan yang sewajarnya ialah wujudnya rasa persaudaraan dan ukhuwah Islamiah yang sebenar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara mara, dan seorang muslim meriupakan saudara musim yang lain.” (Hadis Muslim yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah).
d. Sentiasa beradab. Islam juga sentiasa menitikberatkan aspek adab dalam kehidupan. Tokoh ilmuwan, Profesor Syed Naquib al-Attas (1978) dalam bukunya ‘Islam and Secularisme’ telah menegaskan kepentingan adab dalam konteks yang menyeluruh, bukan adab yang difahami sebagai sopan santun semata-mata, tetapi adab yang membawa maksud secara mudahnya tindakan berlaku adil iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Untuk mengetahui apa dan di mana tempat yang adil itu pula tidak memadai dengan ilmu semata-mata tetapi memerlukan kebijaksanaan atau disebut hikmah. Mereka yang hilang adab dan jika dia seorang pemimpin atau pendidik akan merosakkan orang lain setelah dirinya sendiri hilang adab dan rosak, dan menyebabkan "corruption of knowledge" berleluasa. Lebih parah lagi apabila yang hilang adab itu orang yang dilihat oleh masyarakat mereka yang kononnya berwibawa dan memiliki kuasa serta pengaruh yang luas.
Oleh yang demikian, setiap individu khususnya para pemimpin atau penjawat awam perlu menyemai sikap atau nilai integriti dan bermaruah dalam diri masing-masing yang sekali gus mampu menghindarkan gejala rasuah. Dalam hal ini sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim tentang larangan perbuatan rasuah dan bersikap curang dalam amalan pekerjaan boleh dijadikan panduan kepada kita bersama untuk menjadi penjawat awam atau pekerja yang baik. Nabi bersabda yang bermaksud, “Dari Adiy bin Amirah al Kindi Radhiyallah berkata aku pernah mendengar nabi bersabda yang bermaksud, Barang siapa yang di antara kamu yang telah kami tugaskan untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau urusan, lalu dia menyembunyikan dari kami sebatang jarum atau lebih dari itu, maka ia sesuatu yang salah (ghulul), yang akan dibawa pada hari kiamat (Adiy) berkata, ada seorang lelaki hitam dari Anshar berdiri mengadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam , seolah-olah aku melihatnya, lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah, guguran dari jawatan yang engkau tugaskan.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya,”Ada apa berlaku?” Dia menjawab, “Aku mendengar engkau berkata demikian dan demikian (maksudnya perkataan di atas.).” Baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam pun bersabda,”Aku katakan sekarang, (bahawa) barang siapa di antara kamu yang kami tugaskan untuk suatu pekerjaan (urusan), maka hendaklah dia membawa (seluruh hasilnya), sedikit ataupun banyak. Kemudian, apa yang diberikan kepadanya, maka dia (boleh) mengambilnya. Sedangkan apa yang dilarang, maka tidak boleh diambil untuk dirinya .” (HR. Bukhari dan Muslim).
-- BERNAMA
Profesor Madya Kolonel Dr. Burhanuddin Jalal ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.