Kerja-kerja pembangunan negara perlu digerakkan oleh idea. Idea terbahagi kepada empat peringkat. Pertama, ‘idea yang telah wujud’, iaitu dunia dan kita sedang melaksanakannya, contohnya, pendigitalan. Kedua, ‘idea yang sedang dimajukan’, iaitu rakyat telah memahaminya dan kita perlu menyegerakan pelaksanaannya, contohnya, Revolusi Industri ke-4. Ketiga, ‘idea yang sedang didebatkan’, iaitu rakyat dan kerajaan memahaminya tetapi memerlukan keazaman politik yang besar untuk melaksanakannya, contohnya, internet untuk semua, pendigitalan pendidikan, e-governans dan bitcoins. Dan keempat, ‘idea yang perlu diantisipasi’, iaitu ia belum didebat atau difahami sepenuhnya, contohnya, kemajuan-kemajuan dalam robotik, kaedah-kaedah transaksi, keselamatan siber, data raya dan pasaran terbuka dan saksama.
Pemeringkatan di atas, dan contoh-contohnya, tidaklah rigid atau terhad kepada apa yang dicatatkan di sini sahaja. Ia bergantung kepada pandangan sarwa dan pengalaman masing-masing individu, masyarakat dan negara. Apa yang penting ialah kefahaman tentang wujudnya pusingan hayat bagi idea-idea tersebut. Supaya kita membuat pilihan yang tepat tentang idea mana yang hendak dibangunkan pada sesuatu tempoh masa.
Kita perlu praktikal dan melaksanakan apa yang berada di hadapan kita, iaitu ‘idea yang telah wujud’ dan ‘idea yang sedang dimajukan’. Contohnya ialah ekonomi digital. Di samping persoalan idea, COVID-19 telah menyebabkan berlakunya fenomena yang dipanggil norma baharu di mana ramai telah menggunakan teknologi digital, sama ada buat kali pertama, ataupun dengan lebih rancak lagi. Norma baharu telah menyegerakan proses migrasi ke arah pendigitalan dalam seluruh spektrum kehidupan.
Dalam hal ini, kerajaan telah memutuskan untuk membina ekosistem Malaysia Digital. Bagi melaksanakannya, sebuah Pasukan Petugas Ekonomi Digital (PPED) telah ditubuhkan dengan dipengerusikan bersama oleh Menteri-menteri KKMM dan MOSTI, dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjadi focal pointnya.
Buat masa ini, gerak kerja PPED berpandukan empat teras utama, iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan, merangsang ekonomi dan pemboleh daya. Empat teras utama tersebut telah dibahagikan pula kepada 15 program berimpak tinggi, iaitu seperti berikut.
Namun, masa depan negara yang benar-benar cemerlang bergantung pada kemampuan kita menggarap ‘idea yang sedang didebatkan’ dan ‘idea yang perlu diantisipasi’.
Kerana itu, kita perlu bersikap futuris, contohnya, dengan mengikuti, dan seboleh-bolehnya mempengaruhi, pemikiran sains dan teknologi masa depan. Ini termasuk soal industri masa depan dan teknologi 30 tahun akan datang.
Industri-industri yang akan menggerakkan ekonomi dan masyarakat untuk 20-30 tahun akan datang ialah, contohnya, robotik, sains hayat yang maju, kodifikasi wang, keselamatan siber dan data raya.
Perubahan teknologi akan berlaku dengan lebih pantas. Teknologi-teknologi utama yang akan mendominasi kehidupan kita 20-30 akan datang belum lagi tercipta. Teknologi baru tersebut akan sentiasa dikemas kini. Belumpun kita sempat menguasainya, ia akan diganti, dan kita perlu mempelajari teknologi yang baru pula.
Soalnya ialah kemampuan kita menyediakan ekosistem geo-politik, budaya dan generasi yang mencetuskan dan menguasainya. Ini kerana, kita mempunyai pengalaman pahit tidak berapa lama dahulu, apabila beberapa teknologi baru yang merubah cara hidup manusia sejagat, yang dicipta rakyat kita, telah menjadikan negara lain sebagai tempat pembangunan dan peluncurannya. Mengapa? Kerana ketika pencipta-pencipa berkenaan memohon bantuan kewangan dan dokongan daripada pihak yang berkenaan, mereka tidak memperolehinya di negaranya sendiri, tetapi, sebaliknya, diterima dengan tangan terbuka di negara lain.
Dari segi geo-politik, kita harus terbuka kepada dunia luar. Kita perlu mengalu-alukan kehadiran profesional dan pakar-pakar dari seluruh dunia. Kita perlu mendokong kebebasan berfikir, mencipta dan membangunkan budaya ilmu. Kita perlu menyediakan infrastruktur sains dan teknologi kelas pertama. Dan kita perlu mengamalkan sistem-sistem sosial, ekonomi dan politik yang terbuka dan mendakap pembaharuan.
Dari segi generasi, kita harus mempunyai generasi digital. Mereka perlu menguasai bahasa-bahasa dan kemahiran-kemahiran saintifik dan teknikal. Mereka perlu berbudaya (cultured) dan menguasai pelbagai bahasa. Dan mereka perlu multi-disiplin dan mampu menangani kemajuan-kemajuan yang bersifat hibrid dan konvergens.
Dinamika dan kuasa teknologi yang membentuk masa depan adalah amat mencabar. Proses saintifik akan menjadi lebih penting daripada produk. Trajektori akan menjadi lebih penting daripada destinasi. Bakat akan menjadi lebih penting daripada jawatan.
Kehadiran teknologi baru amat diperlukan. Tetapi, ini tidak bermakna semuanya mesti digunakan dengan cara yang sama dan pada setiap masa. Contohnya, internet amat diperlukan. Tetapi, kita bebas memilih jenis aksesnya. Telefon pintar amat diperlukan. Tetapi, kita tidak semestinya menggunakan jenama tertentu sahaja. Dan mesej instance amat diperlukan. Tetapi, kita tidak perlulah bertweet setiap minit.
Momentum teknologi digital tidak dapat dihalang. Justeru, kita perlu menerimanya dengan terbuka. Tetapi, tidak bermakna kita mengambil sikap berlepas tangan. Perundangan dan peraturan tetap penting. Ini bagi memastikan bahawa teknologi, dan kandungannya, yang didakap adalah inklusif dan tidak mewujudkan jurang yang baru di kalangan masyarakat, serta adalah bersesuaian dengan sejarah, tradisi dan budaya kita. Kerana, pada analisis terakhir, teknologi digital adalah wahana bagi manusia merealisasikan matlamat manusiawinya.
-- BERNAMA