SALAM DARI BEIJING

KEMERDEKAAN KITA TIDAK SEMPURNA SELAGI PALESTIN TIDAK BEBAS

30/08/2020 06:40 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Syed Azwan Syed Ali

Esok ulang tahun ke-63 negara kita merdeka, namun hari ini saya memilih untuk bercerita tentang Palestin.

Ini tidak bermakna isu bendera yang dipasang terbalik di selatan negara atau isu memartabatkan kedudukan bahasa Melayu (ekoran polemik isu tanda jalan di Sarawak yang “diubah” kerana alasan menarik pelancong) tidak penting.

Ia juga tidak bermakna individu seperti saya yang memilih untuk mengulas mengenai isu Palestin berbanding isu di Malaysia, tidak bersikap patriotik atau tidak cintakan negara.

Barangkali lensa pemahaman kita tentang kemerdekaan dan kebebasan itu sendiri, pada asasnya, berbeza.

Rabu lalu, penulis menerima emel S.O.S dari kenalan yang mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dari Gaza, Palestin.

Mesej kecemasan itu dicatat selepas 15 kes COVID-19 direkodkan di Gaza dengan seorang lelaki berusia 61 tahun maut selepas dijangkiti virus itu sehari sebelumnya.

Dua hari sebelum itu (Isnin), sebanyak empat kes jangkitan COVID-19 pertama dilaporkan di luar pusat kuarantin di sempadan Gaza. (Sebelum ini penularan COVID-19 berjaya dikekang di dalam pusat kuarantin dan tidak merebak ke luar dengan bantuan WHO - Pertubuhan Kesihatan Sedunia).

MESEJ KECEMASAN DARI GAZA

Situasi itu meletakkan Gaza dalam keadaan bahaya. Kenapa penulis berkata demikian? Hakikatnya Gaza yang mempunyai keluasan 365km persegi, iaitu bersamaan separuh daripada keluasan negeri Perlis, mempunyai penduduk yang amat padat.

Secara perbandingannya Perlis mempunyai 254,000 penduduk (data 2019) berbanding dua juta populasi Gaza (dengan keluasan separuh negeri Perlis) yang dikepung rejim zionis Israel sejak 2007.

Lebih memburukkan keadaan, bekalan elektrik di wilayah konflik Gaza adalah tidak stabil dengan hanya purata empat jam bekalan elektrik sehari.

Ini menjadi lebih tenat apabila kemudahan fasiliti perubatan di Gaza adalah terhad dan tidak mencukupi.

Tanpa campur tangan masyarakat dunia, termasuk bantuan dari Malaysia, Palestin akan berdepan dengan risiko penularan COVID-19 yang dahsyat.

Harus diingat juga bahawa kemasukan bekalan ubat-ubatan serta keperluan penting lain termasuk bahan api ke wilayah konflik Gaza adalah berada di bawah kawalan Mesir (melalui pintu sempadan Rafah) dan Israel (pintu sempadan Kerem Shalom).

Pernah suatu ketika, ketika krisis bahan api berlaku di wilayah Gaza sebelum ini, doktor-doktor di hospital terpaksa berhempas pulas menyelamatkan pesakit dengan melakukan CPR berterusan.

Pokok pangkalnya di sini adalah ketika kita bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan esok, situasi di Gaza adalah amat menekan!

Persoalannya apa yang boleh kita lakukan dan apa kaitan cerita tentang Palestin dengan kemerdekaan itu sendiri.

KEMERDEKAAN DAN KEBEBASAN PEMIKIRAN

Berbalik kepada kemerdekaan, apa yang penulis cuba sampaikan adalah kemerdekaan yang sebenar menurut pandangan penulis adalah kemerdekaan dalam pemikiran seseorang individu dalam menetapkan sudut pandangnya terhadap sesuatu perkara.

Kemerdekaan sebenar adalah kebebasan pemikiran daripada agenda yang ditetapkan oleh pihak lain. Secara mudahnya, apabila ramai yang bercakap atau tertumpu tentang perkara “A”, tidak bermakna perkara “B” atau “C” itu tidak penting.

Kerana itu, penulis memilih untuk bercakap tentang situasi menekan di Palestin dan bagaimana kita mampu melakukan perubahan membantu warga Palestin di Gaza dengan memberikan sokongan moral, terus bersikap cakna dan menghantar bantuan melalui NGO Malaysia.

Aman Palestin, Viva Palestina Malaysia, MyCare, Muslim Care dan Cinta Gaza Malaysia antara NGO Malaysia yang membantu warga Palestin di Gaza.

Seperti mana kata-kata mahsyur Nelson Mandela, “kemerdekaan kita tidak akan sempurna selagi Palestin tidak bebas”.

Palestin dijajah rejim zionis Israel sejak 1948 dan masyarakat dunia setakat ini gagal menghalang penindasan sistematik yang berlaku di wilayah konflik itu.

Apa yang pasti, hanya individu yang benar-benar merdeka (bebas pemikirannya) memahami kata-kata Mandela. Selamat Hari Kebangsaan ke-63 Malaysia!

– BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan dalam liputan di zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis tentang isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)