Dunia kewartawanan Malaysia kehilangan beberapa wartawan veteran pada 2019 dan 2020.
Antaranya ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian Datuk Abd Jalil Ali yang meninggal dunia pada 8 Ogos 2020 di sebuah hospital di Subang Jaya. Allahyarham Abd Jalil, 66, yang berpengalaman lebih 47 tahun dalam bidang penulisan dan kewartawanan, turut memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.
Bekas penyunting Berita Harian Abdul Shukur Harun pula meninggal dunia pada 9 Julai 2020. Allahyarham berusia 81 tahun. Beliau pernah berkhidmat di Utusan Melayu, dan Harakah serta menulis untuk media rasmi Amanah dan The Malaysian Insider.
Pada 26 Mei 2020, bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad Datuk Ahmad Abd Talib meninggal dunia akibat kanser hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun.
Wartawan perintis Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Abdul Wahab Abdul Majid pula meninggal dunia di PPUM pada 20 November 2019, sehari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90.
Seorang lagi bekas wartawan BERNAMA, Abang Kamarudin Abang Bolhassan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia 27 Oktober 2019 akibat penyakit kanser darah. Allahyarham berusia 67 tahun.
Bekas wartawan Malaysian Nanban P. Chandra Segar pula meninggal dunia di kediamannya di Lim Garden, Ipoh pada 26 Mac 2019. Mendiang berusia 62 tahun.
--BERNAMA