Mutakhir ini, berita mengenai situasi COVID-19 dilihat agak membimbangkan. Perangkaan terkini menunjukkan jangkitan baharu mencapai paras tertinggi iaitu 871 kes pada 18 Oktober. Ini menunjukkan penularan wabak yang berbahaya ini mula membuat pusingan ganas setelah keluk jangkitan dapat diratakan sebelum ini. Oleh yang demikian, kerajaan mengambil langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah. Keempat-empat negeri ini menyumbang lebih 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2019. Perkara ini sudah tentu memberi kesan kepada proses pemulihan ekonomi berikutan pergerakan manusia bakal menghadapi kekangan yang besar.
Berikutan itu, beberapa cadangan dilontarkan termasuk memgembalikan pelaksanaan moratorium secara automatik. Meskipun cadangan itu mempunyai niat yang baik, namun kita harus memikirkan semasak-masaknya sama ada rancangan tersebut perlu dilaksanakan. Ini kerana institusi perbankan juga merupakan institusi yang menjalankan perniagaan yang bermotif keuntungan selain mempunyai tanggungjawab kepada pemegang taruh seperti pemegang saham, pekerja dan ekosistem perniagaan mereka.
Sememangnya, modal yang mencukupi serta tahap kecairan yang tinggi adalah persoalan pokok bagi institusi perbankan untuk menjalankan perniagaannya. Dua perkara ini akan membolehkan pihak bank untuk terus memberikan pembiayaan kepada isi rumah dan peniaga yang sekali gus akan merancakkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara itu.
Pemulihan ekonomi sukar diurus
Sekiranya moratorium secara automotik terus menerus dilaksanakan, dikhuatiri pihak bank tidak dapat memberi pembiayaan dengan lancar akibat tahap kecairan yang rendah serta tahap modal yang menyusut. Ini adalah kerana kutipan hasil yang mungkin berkurangan akibat moratorium yang pukul rata sekiranya ia dijalankan bagi tempoh masa lebih lama.
Sekiranya lanjutan moratorium automatik berlaku, proses pemulihan ekonomi akan menjadi lebih sukar untuk diurus. Ini adalah kerana pemulihan ekonomi sememangnya memerlukan suntikan tunai dan apabila pihak bank tidak dapat menyalurkan dana kepada sektor perniagaan dan isi rumah pada kadar dan tempoh masa yang tepat, proses pemulihan ekonomi boleh terjejas. Perkara seperti ini sudah tentu akan menjejaskan keyakinan peniaga, pelabur dan masyarakat yang mana akhirnya akan merugikan semua pihak.
Hakikatnya, institusi perbankan boleh dianggap seperti organ jantung dalam sesebuah ekonomi dengan menjalankan tugas menyalurkan darah ke seluruh bahagian badan.
Bayar pinjaman
Data terkini pula menunjukkan bahawa ramai peminjam memilih untuk membayar hutang mereka semula meskipun tempoh moratorium belum berakhir lagi. Laporan Financial Stability Review For First Half Of 2020 yang diterbitkan Bank Negara Malaysia menunjukan peratusan isi rumah yang memilih untuk meneruskan moratorium automatik menyusut daripada 86.9 peratus pada April kepada 85.5 peratus pada Mei dan 84.4 peratus pada Jun lepas. Data seperti ini jelas menunjukkan bahawa tidak semua rakyat Malaysia memerlukan moratorium. Ini adalah berikutan segelintir rakyat Malaysia yang tidak terjejas dari sudut ekonomi berikutan penularan COVID-19. Antara kesan sampingan moratorium adalah hutang tersebut akan menjadi lebih lambat untuk dilangsaikan. Oleh itu, mereka yang tidak memerlukan moratorium sudah tentu mahu mengelak perkara ini daripada berlaku.
Justeru itu, sebarang langkah untuk memulihkan ekonomi perlulah dikaji kesannya serta tujuannya. Ia tidak boleh dilaksanakan secara semborono kerana akan mewujudkan kesan sampingan yang boleh menjejaskan ketahanan sesebuah ekonomi. Kita juga dapat melihat bagaimana langkah PKPB yang dilaksanakan secara bersasar ini memberi kesan yang besar kepada sektor ekonomi dengan KDNK Malaysia merudum sebanyak 17.1 peratus bagi tempoh suku kedua tahun ini. Kerajaan mengambil iktibar daripada episod PKP pertama dan mempunyai pengakalan data yang boleh digunakan untuk mengkaji dan merangka dasar yang sesuai bagi menangani masalah berbangkit. Hasilnya, kesan negatif kepada ekonomi dapat diminimumkan.
Moratorium bersasar
Oleh itu, tidak ada bezanya dari sudut ekonomi dengan sebarang langkah yang diambil haruslah memenuhi keperluan utama. Sebagai contoh, pakej bantuan KITA PRIHATIN menumpukan kepada peniaga dan golongan berpendapatan rendah. Geran Khas Prihatin (GKP) serta Program Subsidi Upah sememangnya akan memanfaatkan peniaga yang menghadapi masalah aliran tunai. Wang tunai melalui pemberian geran ini boleh digunakan untuk mengurus modal pusingan serta membuat sedikit simpanan. Subsidi upah pula memberi insentif kepada majikan untuk mengekalkan pekerja dan ini dapat mengurangkan kenaikan angka pengangguran. Bayaran pindahan pula dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan B40 dan M40 dalam menangani isu kos sara hidup dengan harga barangan seperti makanan masih meningkat.
Oleh yang demikian, langkah moratorium haruslah bersifat bersasar dan mengikut keperluan. Hanya mereka yang memerlukan sahaja perlu diberikan perhatian berhubung perkara ini. Pihak bank juga mengambil inisiatif untuk meuar-uarkan perkara ini melalui pelbagai saluran media temasuk media sosial. Sebarang bentuk bantuan yang diberi perlulah menepati keperluan dan golongan sasaran bagi mengelakkan pembaziran terhadap sumber-sumber yang sememangnya bersifat terhad.
--BERNAMA
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad.