TINTA MINDA

ZALEHA ISMAIL – CAHAYA YANG TAK AKAN HILANG

18/11/2020 10:56 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

oleh Sharifah Hapsah Syed Hassan

Presiden, National Council of Women’s Organization (NCWO)

Awan mendung dan tiupan angin secara tiba-tiba mengiringi gerimis pagi di Belfast Lough, seolah memahami rasa duka yang mendatangi diri saat mendengar berita kepulangan Tan Sri Zaleha Ismail tanggal Sabtu 14 November 2020. Nama yang begitu besar dalam arena perkembangan wanita, keluarga dan masyarakat ke arah Malaysia yang harmoni, progresif dan aman.

Seorang insan yang berjiwa aktivis, beliau telah gigih memperjuangkan isu-isu melalui kewartawanan, politik dan masyarakat. Tidak pernah melakukan apa jua dengan perasaan sambil lewa, beliau begitu jelas bersinar di celah statistik kecil perwakilan wanita yang terlantik dalm Parlimen Malaysia dan juga merupakan mantan Menteri penuh dalam Kabinet. Dalam pada itu, beliau juga menabur bakti di persada NCWO menggantikan Tun Fatimah Hashim selaku Presiden serta turut diberikan kepercayaan oleh lebih daripada 100 NGO yang bernaung di bawah Majlis tersebut untuk terus memegang jawatan sehingga beliau melepaskannya 17 tahun kemudian.

Mesra disapa “Kak Leha” dalam kalangan warga NCWO, kami berkongsi alam persekolahan di tempat yang sama, Senior Methodist Girls’ School di Kuala Lumpur. Walaupun beliau telah menamatkan zaman persekolahannya jauh lebih awal sebelum diri ini menjejakkan kaki ke bangunan yang sama, jelas sekali segala nilai-nilai keperibadian yang tinggi, kesantunan, rasa kasih sayang dan perasaan hormat, menghargai kepelbagaian, kejujuran dan integriti yang telah disemai dari alam persekolahan, telah kukuh tersemat dalam dirinya dan begitu terang dipamerkan menerusi setiap tindakan beliau sebagai seorang pemimpin.

Tidak pernah timbul keraguan pada dirinya tentang baik atau buruknya sesuatu perkara itu. Akhlaknya sering didorong oleh sikap adil dan saksama tanpa mengambil kira bangsa, kepercayaan, gender, atau kedudukan sosio-ekonomi seseorang. Keprihatinan beliau terhadap mereka yang hidup melarat atau terpinggir begitu mendalam dan jelas dapat dilihat melalui segala kerja-kerja kebajikan yang diusahakan untuk masyarakat Orang Asli, B40, kanak-kanak dan wanita yang menjadi mangsa penderaan dan jenayah rumahtangga.

Sebagai Menteri Kabinet, beliau mempunyai peluang merumuskan perancangan dan dasar-dasar berkaitan wanita, kanak-kanak dan keluarga. Hubungan rapat dengan NCWO pula menjadi satu saluran untuk mendapatkan perincian jelas dan terkini daripada akar umbi berkenaan isu-isu ketidaksamarataan, keperluan khusus bagi wanita dan kanak-kanak, gangguan dan keganasan, kekurangan mahupun ketiadaan penguatkuasaan undang-undang dan program tertentu yang djrangka khas bagi pemerkasaan wanita dan keluarga. Pendekatan beliau yang sentiasa berlandaskan fakta dan bukti yang kukuh telah melahirkan pelbagai program dan prosedur ke arah memudahkan perkembangan wanita.

Lebih daripada semua itu, Kak Leha merupakan seorang sahabat dan mentor kepada begitu ramai sekali. Gaya kepimpinan yang dipamerkan tidak pernah mencetus rasa bimbang dan takut, jauh sekali menjadikan seseorang terasa diperkecilkan Sebaliknya, beliau amat senang memimpin dengan cara menyuntik semangat dan inspirasi untuk membina keyakinan diri. Tidak timbul istilah terlalu sebok sehingga tidak dapat memberi tunjuk ajar. Tidak pernah juga memimpin dengan kata-kata kesat, hanya didikan yang berteras sifat kelembutan, tindakan yang bersulam kasih sayang, dipayungi seribu pengalaman serta suara yang senantiasa lembut dan meyakinkan untuk sesiapa saja terus bergerak ke arah yang difikirkan terbaik. Jangan putus asa, dan cuba lagi merupakan antara mantra yang sering diucapkan untuk menggesa mereka yang dinasihatinya. Budi pekerti dan kebaikan hatinya begitu mudah mengatasi perasaan putus harapan dan keperitan yang membelenggu mereka.

Sikapnya yang ceria mudah mewarnai dan mempengaruhi sesiapa sahaja. Masih saya ingat beliau menyanyi sewaktu kami melawat Negara Cina atas jemputan PRC pada tahun 1985. Beliau memiliki suara yang merdu dan amat meminati lagu-lagu Allahyarham P Ramlee. Nilai-nilai keagamaan beliau amat kukuh tanpa mengetepikan keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.

Kak Leha adalah obor yang menyalakan ratusan lilin. Beliau telah berjaya mendidik dan mengembangkan generasi wanita muda. Seorang yang tidak lokek memberi dan berkongsi. Apabila tiba waktu yang dirasakan sesuai untuk menyerahkan pucuk kepimpinan, beliau tidak teragak dan tidak mempunyai sebarang masalah berbuat demikian kerana padanya kepimpinan tidak seharusnya dibelenggu oleh sikap mementingkan diri sendiri. Lantas peralihan kuasa di NCWO begitu mudah dan menjadikan institusi itu terus stabil.

Kak Leha sayang, sinar yang telah lama menerangi kami tidak mungkin akan malap dan terus hilang. Pasti ia akan kekal bersemarak dalam setiap daripada kami ini, yang kehidupannya telah pernah disentuh oleh Kak Leha. Seperti Kak Leha, kami juga akan melakukan yang sama, dengan senang hati akan mengorak jalan untuk mereka yang menyusul pula selepas kami. Kempimpinan Kak Leha akan tiada penghujungnya.

Awan mendung telah mula berlalu pergi, angin pula sudah reda meniup bumi. Mentari kembali terang bersinar. Dalam kerehatan abadi yang memanggilmu hari ini Kak Leha, terselit harapan yang telah lama Kak Leha hadiahkan kepada kami. Moga Allah merahmati rohmu.

Rehatlah Kakak.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)