TINTA MINDA

MENYANTUNI KOMUNITI SETEMPAT DAN DIGITAL

23/11/2020 09:54 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Saifuddin Abdullah

Dalam Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berusaha melipatgandakan inisiatif-inisiatif komunikasinya, contohnya, dari segi strategi komunikasi covid-19, antara fokusnya ialah bagaimana meningkatkan kualiti komunikasi dengan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, iaitu dengan menggunakan pendekatan ‘penghakupayaan komuniti’ (community empowerment).

Persoalan komuniti hari ini penting dan perlu diberi kefahaman baru. Ini kerana komuniti bersifat dinamik dan berkembang mengikut evolusi, contohnya perindustrian dan urbanisasi. Ia juga dipengaruhi kemajuan teknologi, contohnya internet dan media sosial. Dengan mengambilkira dinamika ini, dan selaras dengan penubuhan Majlis Digital Negara dan 4IR yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, maka, komuniti hendaklah dilihat dari sudut pandangan sarwa yang besar dan luas, bahawa kini wujud dua bentuk komuniti, iaitu ‘Komuniti Setempat’ dan ‘Komuniti Digital’.

‘Komuniti Setempat’ ialah mereka yang tinggal, bekerja dan sebagainya, secara fizikal di sesuatu kawasan. Manakala, ‘Komuniti Digital’ ialah mereka yang berada secara fizikal dan digital di sesuatu kawasan itu, dan mereka yang tidak secara fizikal berada di sesuatu kawasan itu, tetapi berasal atau pernah berada atau berminat dengan kawasan itu dan membentuk atau menjadi anggota komuniti digital yang berkait dengan kawasan itu, iaitu dalam pelbagai bentuk komuniti digital secara dalam talian dan menggunakan media sosial.

Dalam hal ini, terdapat program dan aktiviti pembangunan Komuniti Setempat peringkat akar umbi, iaitu di daerah, mukim, taman perumahan, kampung, rumah panjang dan sebagainya. Kumpulan ini perlu diberikan suntikan baru kerana negara memang sejak lama perlu memperkasa kepimpinan pada peringkat ketiga (kerajaan tempatan/daerah/akar umbi) yang dapat menyuburkan partisipasi rakyat dalam amalan demokrasi yang lebih matang.

Kepimpinan kumpulan ini terdiri daripada, contohnya: Penghulu; Jawatankuasa Kemajuan Kampung, Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga, Tuai Rumah, dll.; institusi/organisasi agama (masjid, tokong, kuil, gereja, dll.), sosial (IPT, sekolah, tahfiz, dll.) dan ekonomi (koperasi, persatuan usahawan/peniaga, kesatuan/persatuan pekerja, dll.); dan pelbagai jenis CSO tempatan (termasuk wanita, belia, golongan minoriti dan OKU).

Manakala, pelbagai Komuniti Digital berkaitan kawasan tertentu wujud dalam talian, contohnya melalui Facebook Group, Whatsapp Group, Telegram Group dan sebagainya.

Interaksi komuniti digital boleh terdiri daripada beberapa jenis, contohnya:

  • Interaksi antara anggota-anggota komuniti setempat yang berada di situ secara fizikal, tetapi turut terlibat dalam sesuatu medium digital, contohnya Whatsapp Group “Alam Impian”, Facebook Group “Penduduk Alor Setar” dan sebagainya.

  • Interaksi antara anggota-anggota komuniti yang berada di kawasan berbeza tetapi mempunyai sentimen yang sama terhadap sesuatu kawasan setempat, contohnya Facebook Group “Kawe Anak Kelate”, “Anak Pahang” dan “Persatuan Bangsa Johor”.

Interaksi antara anggota-anggota komuniti digital yang berkaitan dengan komuniti setempat tertentu berdasarkan pelbagai faktor, contohnya Facebook Group “Masjid al Muhtadin Damansara Damai”, Whatsapp Group “Covid-19 Updates for Perakians” dan sebagainya.

Kita perlu bekerja lebih keras dalam membangun komuniti yang berkemahiran digital, menjadi digital native dan berinteraksi secara digital. Ini kerana ia merupakan sumber tenaga untuk kemajuan negara dan untuk berdaya saing dengan negara-negara lain pada hari ini dan masa depan (khususnya dalam konteks industri-industri masa depan).

Dalam hal ini, di samping perlunya disegerakan penyempurnaan kesalinghubungan internet dan kemampuan komuniti dari segi pemilikan peranti yang sesuai, komuniti juga perlu diperkasa dari segi migrasinya ke dunia digital, penguasaan teknologi terkini dan kesedarannya terhadap disinformation, keselamatan siber dan keanggotaan yang positif dalam pelbagai bentuk komuniti digital.

KKMM berperanan membina eko-sistem komuniti digital dengan:

  • Mempercepatkan migrasi ke dunia digital bagi mereka yang belum menceburinya;

  • Meningkatkan kemahiran digital bagi mereka yang telah menceburinya;

  • Meningkatkan lagi pencapaian digital bagi mereka yang telah memiliki kemahiran; dan

  • Melonjakkan dengan sepenuhnya bakat-bakat tempatan.

  • Melaksanakan program ‘Masyarakat Pintar’ di kalangan komuniti akar umbi.

  • Menyedarkan komuniti tentang disinformation dan keselamatan siber.

  • Mengaktifkan keanggotaan dalam Komuniti Digital.

Dalam konteks ini, kita akan mengoptimumkan penggunaan 1,101 buah Pusat Internet Komuniti (PIK) yang terdapat di setiap daerah di seluruh negara.

Di samping itu, kita juga akan mengakar-umbikan peranan agensi-agensi KKMM seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC dan Cyber Security Malaysia (CSM).

Semoga kita dapat membangunkan Komuniti Setempat dan Komuniti Digital dengan seiring dan harmoni.

-- BERNAMA

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)