SALAM DARI BEIJING

MUDAHKAN PENGELUARAN KWSP TANPA SYARAT

30/11/2020 04:36 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Syed Azwan Syed Ali

Khamis lalu ramai yang bersorak gembira! Belanjawan 2021 yang diramalkan berdepan laluan sukar dengan isu sokongan bersyarat telah diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat bersandarkan suara majoriti Ahli Parlimen.

Biarpun ada sebilangan kecil wakil rakyat cuba menolak belanjawan dengan peruntukan RM322.5 bilion itu, majoriti Ahli Parlimen termasuk wakil rakyat pembangkang melihat kepentingannya kepada rakyat, khususnya yang terjejas akibat COVID-19.

Apa yang jelas ketika itu, pertimbangan politik telah diketepikan kerana akhirnya Belanjawan 2021 akan tetap dibahaskan dan diperhalusi mengikut peruntukan setiap kementerian di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat bermula hari ini.

Ramai gembira dengan keputusan kerajaan untuk menambahbaik belanjawan itu, khususnya membabitkan lanjutan moratorium pinjaman institusi kewangan, pengeluaran simpanan akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperluaskan dan beberapa tambahan inisiatif bantuan lain.

Tentunya menjadi tumpuan adalah isu lanjutan moratorium dan pengeluaran simpanan KWSP yang dianggap tindakan populis Kerajaan Perikatan Nasional (PN) oleh kelompok membangkang.

Jujurnya, bagi penulis, menentukan sama ada sesuatu itu populis atau tidak bergantung kepada realiti analisis di lapangan dan tidak seharusnya bersandarkan pertimbangan politik semata-mata.

Sejak pandemik COVID-19 melanda negara terdapat lebih 800,000 individu telah hilang pekerjaan dan puluhan ribuan yang gulung tikar.

Kehilangan kebebasan pergerakan antara negara dan dalam negeri juga merobek ekonomi kita. Sektor pelancongan, penerbangan, perhotelan dan pengangkutan awam antara yang terjejas teruk.

Kerana itu, soal campur tangan atau bantuan secara langsung atau tidak langsung (moratorium, pengeluaran KWSP, subsidi upah, peluang pekerjaan dan bantuan-bantuan lain) daripada pihak kerajaan amat penting.

BANTUAN UNTUK SITUASI GENTING SEKARANG, BUKAN ESOK

Ia bukan hanya soal ekonomi negara untuk tempoh mendatang, tetapi tentang kelangsungan hidup rakyat (kelompok terjejas) untuk memastikan adanya makanan di atas meja untuk keluarga mereka setiap hari! Mereka yang tidak memerlukan tidak akan memahami perkara ini.

Dalam isu moratorium, tiada moratorium secara pukal enam bulan diberikan. Sebaliknya, apa yang dipinda dalam Belanjawan 2021 yang diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat minggu lalu adalah lebih baik.

Golongan B40 mendapat lanjutan moratorium bank secara automatik. Begitu juga peniaga kecil (mikro). (Penulis antara individu yang telah menerima mesej tawaran lanjutan moratorium pinjaman peribadi daripada sebuah bank tempatan pada minggu lalu)

Kelompok M40 yang terjejas juga boleh memohon moratorium dengan hanya membuat ‘self-declaration’ tanpa perlu dokumen. Proses permohonan dan kelulusan hanya ambil masa satu hingga lima hari.

Dalam hal ini, urusan dimudahkan dan birokrasi diketepikan demi kepentingan rakyat terjejas.

Ia (moratorium) tidak diberikan secara pukal, tetapi mereka yang terjejas dan memerlukan boleh memohon moratorium, termasuklah kelompok T20 (termasuk syarikat).

Persoalannya, kenapa moratorium tidak diberikan secara pukal seperti diminta banyak pihak?

“Adakah adil mereka yang kaya dan lebih mampu untuk membayar hutang diberikan moratorium? Bukankah lebih baik mereka membayar hutang supaya duit ini masuk ke sistem perbankan untuk menjana pinjaman khususnya kepada peniagaan dan industri yang menampung dan mencipta pekerjaan untuk rakyat?”, demikian hujah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam penggulungannya Khamis lalu.

MENGIMBANGI TANGGUNGJAWAB DAN KEADILAN

Fokus kerajaan sekarang adalah tentang tanggungjawab dan keadilan, tegas Menteri Kewangan itu lagi berhubung moratorium.

Penulis berpendapat apa yang diutarakan Tengku Zafrul ada logiknya memandangkan rata-rata penganalisis ekonomi telah mengingatkan mengenai kesan domino lanjutan moratorium secara pukal kepada ekonomi negara.

“Kalau diberikan (moratorium) secara pukal enam bulan kepada semua pihak, ia tentunya akan menjejaskan ekonomi negara khususnya kepada institusi pelaburan.

“Adalah lebih baik bersasar dan diperluaskan kepada semua kelompok (seperti dicadangkan kerajaan pada Khamis lalu) dengan syarat pemohon adalah mereka yang benar-benar terjejas termasuk kelompok M40 dan T20,” kata pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Ahmed Razman merujuk kepada institusi pelaburan seperti KWSP, Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional yang banyak melabur (memegang saham) dalam institusi perbankan.

Justeru, prestasi keuntungan institusi perbankan akan mempengaruhi pemberian hibah atau dividen institusi pelaburan terbabit kepada kelompok yang lebih ramai.

Ini adalah penyelesaian menang-menang untuk semua pihak dan tentunya mengambilkira neraca pertimbangan antara ‘tanggungjawab dan keadilan’ yang turut disebutkan Tengku Zafrul dalam penggulungannya.

Hakikatnya, fakta bahawa Malaysia menjadi negara pertama di dunia di mana institusi perbankannya memberikan moratorium secara automatik (dengan nilai anggaran RM100 bilion untuk tempoh enam bulan bermula April 2020) kepada semua peminjam bank, tidak seharusnya diketepikan.

Kita harus mengakui moratorium secara automatik selama enam bulan sejak April lalu selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19, benar-benar ‘melegakan’ dan membantu kelompok yang terjejas.

8 JUTA PENCARUM LAYAK KELUAR SIMPANAN AKAUN 1 KWSP?

Perkara kedua yang menggembirakan ramai pihak pada ketika itu (Khamis lalu) adalah mengenai keputusan kerajaan memperluaskan kelayakan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP daripada dua juta kepada kesemua lapan juta pencarum KWSP yang terjejas.

Tengku Zafrul juga mengumumkan setiap pencarum yang sebelum ini dibenarkan mengeluarkan sehingga RM9,000, kini boleh mengeluarkan sehingga RM10,000 melalui program i-Sinar KWSP yang ditambahbaik.

Setakat ini, perincian bagi program i-Sinar KWSP yang diperluaskan itu masih belum diperjelaskan.

Pada 6 Nov lalu, ketika Belanjawan 2021 dibentangkan di Dewan Rakyat, KWSP telah membenarkan 600,000 ahli mengeluarkan simpanan Akaun 1 mereka sehingga RM6,000 yang akan dibayar dalam tempoh 12 bulan (bersamaan RM500 sebulan)

Pun begitu, cadangan itu menimbulkan bantahan ramai pihak yang disuarakan wakil rakyat khususnya daripada Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat mengenai impak bantuan itu kepada kelompok memerlukan berbanding bayaran pengeluaran secara sekaligus (lumpsum).

KWSP kemudiannya memperluaskan skop kelayakan kepada dua juta ahlinya yang layak di mana ahli yang layak boleh mengeluarkan simpanan antara RM9,000 hingga RM60,000 berdasarkan baki jumlah simpanan Akaun 1 KWSP masing-masing.

Pun begitu, Ahli Parlimen blok BN dan beberapa wakil rakyat pembangkang meletakkan sokongan bersyarat mengenai lanjutan moratorium dan pengeluaran KWSP secara sekaligus sehingga RM10,000 selain mempertikaikan cadangan mewujudkan semua Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebagai sokongan bersyarat kepada Belanjawan 2021.

Jika diteliti, kebenaran pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP yang diumumkan Menteri Kewangan pada Khamis lalu, tetap bersasar walaupun kelayakannya dilaporkan diperluaskan kepada semua pencarum KWSP.

Jika sebelum ini syarat pengeluaran i-Sinar adalah mereka yang hilang kerja, gaji dipotong atau tiada sumber pendapatan, ia kini diperluaskan kepada mereka yang terjejas pendapatannya akibat pandemik COVID-19.

Mengambil kira jawapan Tengku Zafrul pada Khamis lalu di Dewan Rakyat, beliau memaklumkan inisiatif bantuan KWSP itu akan membabitkan peruntukan (pengeluaran simpanan) keseluruhan sekitar RM70 bilion.

Dengan andaian bahawa program i-Sinar diubah kepada setiap pencarum boleh mengeluarkan maksimum RM10,000 simpanan Akaun 1 KWSP, maka secara mudahnya seramai tujuh juta pencarum boleh mengeluarkan simpanan mereka.

PENGELUARAN KWSP SEHARUSNYA JALAN PENYELESAIAN TERAKHIR

Namun sudah pasti, bukan kesemua pencarum akan mengeluarkan simpanan hari tua mereka kerana ia sepatutnya menjadi “jalan penyelesaian terakhir” bagi mereka yang benar-benar terjejas dari segi kewangan ketika ini.

Pun begitu, kini timbul desas-desus di media sosial bahawa pengumuman kerajaan itu seolah-olah ‘membodohkan’ dan mengelirukan rakyat apabila syarat tetap dikenakan kepada kesemua lapan juta pencarum yang dikatakan layak memohon itu.

Sentimen majoriti rakyat (kecuali golongan mampu dan tidak terjejas) ialah kalau kesemuanya layak, kenapa perlu diletakkan syarat lagi!

Melihat kepada hujah Menteri Kewangan di Dewan Rakyat minggu lalu, adalah jelas KWSP telah membuat kajian analisis sebelum pengumuman mengenai penambahbaikan program i-Sinar membabitkan peruntukan RM70 bilion itu dibuat.

Difahamkan, jumlah aset di bawah pengurusan KWSP ketika ini adalah sekitar RM960 bilion.

“Ini tidak akan jejaskan pulangan dividen kepada KWSP,” demikian tegas Tengku Zafrul ketika ditanya ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat mengenai risiko keputusan kerajaan kepada pengurus dana persaraan itu.

Apa yang pasti, ramai yang berharap pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP dipermudahkan bagi mereka yang memerlukan tanpa syarat ketat.

Definisi individu atau kelompok terjejas itu harus diubah melibatkan kelompok memerlukan.

Akhirnya, ia adalah mengenai pilihan yang tidak menggunakan peruntukan kewangan kerajaan dan tidak mengambil hak individu lain.

Tentunya, situasi genting di sebalik pandemik COVID-19 yang telah membunuh lebih 1.4 juta manusia di seluruh dunia ketika ini, memerlukan langkah penyelesaian yang bukan kebiasaan.

Letakkan kepercayaan kepada pencarum (rakyat) untuk menggunakan wang mereka dengan sebaik-baiknya di waktu genting ini kerana akhirnya, wang itu akan kembali ke dalam ekonomi negara kita.

-- BERNAMA

Syed Azwan Syed Ali adalah wartawan kanan BERNAMA dengan pengkhususan dalam liputan di zon konflik dan bencana. Beliau juga menulis tentang isu-isu antarabangsa dan semasa rakyat.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)