TINTA MINDA

ISLAM SANTUNI GOLONGAN ORANG KURANG UPAYA (OKU)

03/12/2020 04:19 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Datuk Haji Mohd Ajib Ismail

Di antara elemen utama persaudaraan dalam Islam adalah perasaan berkasih sayang yang merentasi batas keturunan, warna kulit, bangsa mahupun kedudukan. Mesej penting ini dirakamkan di dalam ayat al-Quran surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa paras dan luaran kamu sebaliknya melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim).

Islam untuk semua


Di dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kategori masyarakat seperti negara kita Malaysia, agama Islam turut dianuti oleh pelbagai golongan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU). Golongan ini lazimnya amat memerlukan pembelaan dan pemberdayaan dalam pelbagai aspek. Ajaran Islam tidak membezakan umatnya sama ada yang dilahirkan sempurna ataupun memiliki kelainan upaya dan kekurangan.

Malahan hak golongan tersebut untuk mendapatkan peluang mempelajari agama serta mengikuti program-program dakwah boleh dinikmati seperti masyarakat yang lain. Peluang seperti ini penting agar golongan istimewa ini juga dapat menjadi muslim yang mengamalkan ajaran agamanya dengan sempurna.

Dalam konteks ini, Abu Zarr al-Ghifari pernah mengadu kepada Rasulullah SAW berkaitan kewajipan setiap insan untuk mengeluarkan sedekah bagi dirinya dan ke atas dirinya. “Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu bersedekah sedangkan kami tidak memiliki harta? Rasulullah menjawab: Sesungguhnya sebahagian daripada pintu-pintu sedekah itu ialah takbir, zikir, kamu menyuruh dengan perkara kebaikan, kamu mencegah daripada kemungkaran, kamu membuang duri, tulang dan batu dari laluan orang ramai, kamu memimpin orang buta, kamu memperdengarkan orang pekak dan bisu sehingga mereka memahami agama.”

Teguran Allah


Berdasarkan maksud hadis ini, masyarakat Islam harus berperanan membantu dengan memberikan tunjuk ajar dan membimbing golongan istimewa ini ke jalan yang diredai agar mereka merasa dihargai dan tidak tersisih dari masyarakat.

Selain memberi bantuan khusus kepada golongan istimewa, hadis riwayat Imam al-Baihaqi itu turut memberi mesej bahawa sebagai umat Nabi Muhammad SAW, mencari ilmu dan memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan ialah asas kepada kemanisan hidup bersyariat.

Selain itu, bukti Islam menyantuni golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dapat dilihat berdasarkan teguran Allah kepada Rasulullah SAW di dalam al- Quran Surah Abasa. Peristiwa tersebut berlaku apabila seorang cacat penglihatan iaitu Abdullah Ibn Umm Maktum datang kepada Rasulullah SAW ketika baginda dikelilingi oleh pembesar Quraisy. Mereka sedang mengikuti ceramah dan penjelasan mengenai Islam. Nabi pula ingin menggunakan peluang tersebut untuk menarik mereka menganut ajaran Islam.

Ketika itulah datangnya Abdullah Ibn Umm Maktum meminta Nabi membaca dan menyampaikan kepadanya ajaran Islam. Beliau mengulangi permintaan tersebut kepada Nabi beberapa kali, sedang dia sendiri tidak tahu keadaan Nabi yang sedang sibuk melayani orang kenamaan tersebut. Nabi sendiri tidak mahu menangguhkan perbincangannya dengan para kenamaan Mekah berkenaan dan berpaling ke arah lain. Kemudian turunlah ayat tersebut. Selepas peristiwa itu Rasulullah SAW sentiasa memberikan layanan baik jika melihat beliau datang dengan menyebut ucapan “Marhaban (selamat datang) wahai saudara yang telah menyebabkan daku ditegur oleh Allah”. Rasulullah SAW akan bertanya beliau, “Adakah apa-apa perkara yang memerlukan pertolongan daku.”

Pemangkin semangat

Di dalam usaha menyantuni golongan Orang Kurang Upaya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) misalnya pernah menganugerahkan seorang tokoh pendakwah kepada individu OKU pendengaran sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan pada tahun 2018. Pengikti­rafan tersebut bertujuan menjadi pemang­kin semangat kepada penerima untuk terus mengembangkan dakwah Is­lam dalam kalangan­ komuniti OKU pendengaran.

Selain itu, JAWI juga berusaha membantu penyebaran dakwah dalam kalangan komuniti OKU pendengaran dengan mengadakan kelas agama dan kelas pengajian al-Quran. Kerjasama dibuat bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menganjurkan latihan kemahiran menggunakan bahasa isyarat untuk membantu melancarkan penyebaran dakwah Islam dalam kalangan komuniti tersebut.

Beberapa buah masjid di Wilayah Persekutuan turut menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada golongan OKU. Bahkan Imam Masjid Jamek Sultan Abdul Samad juga adalah seorang OKU penglihatan. Agensi-agensi agama yang lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga menyediakan khidmat juru bahasa isyarat bagi Khutbah Jumaat dan majlis ilmu di samping tidak lupa menyantuni golongan tersebut di dalam misi bantuan Musaadah COVID-19.

Tuntutan menyebarkan syiar Islam termasuk perbuatan menyantuni golongan OKU akhirnya akan memperlihatkan kepada kita bahawa Islam adalah agama yang sangat indah dan syariatnya merupakan anugerah yang syumul.

-- BERNAMA

Haji Mohd Ajib Ismail merupakan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)