PENA WANITA

AGAMA DAN SAINS: JANGAN ADA PEMISAH

25/01/2021 10:40 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr Aspalilah Alias dan Dr Habibah Ismail

Islam amat menitik beratkan umatnya berfikir, mengkaji dan berinovasi dalam kehidupan. Tradisi menggali ilmu menjadi tunjang dalam tamadun Islam dan tamadun lain merentasi pelbagai displin ilmu. Ilmu sains misalnya, yang merupakan ilmu fardhu kifayah bukan menjadi penghalang umat Islam tetapi menjadi jambatan dalam membantu kehidupan manusia. Bagaimanapun, kehebatan ilmu sains tidak setanding dengan kehebatan dan kebesaran Allah SWT yang merupakan pemilik segala ilmu.

Tokoh ilmuan Islam

Tokoh dan ilmuan Islam tidak asing dalam tradisi ilmu dan peradaban Islam. Pada era kegemilangan Islam antara abad lapan dengan 14, cendiakawan Islam merupakan pelopor dalam pelbagai bidang sains, ekonomi, perubatan, astronomi dan matematik.

Para ulama seperti Ibn Sina, Ibn Rushd, Al Zahrawi, Ibn Khaldun dan Al Khawarizmi bukan sahaja mahir dalam satu bidang tetapi mereka menguasai pelbagai cabang ilmu sains dan Islam. Mereka juga bukan sahaja pakar dalam bidang mereka, tetapi juga mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dalam bidang agama yang menyebabkan mereka cemerlang dunia dan akhirat.

Mereka juga berakhlak mulia dalam kehidupan dan mementingkan keseimbangan di dunia dan akhirat. Mereka tidak memisahkan ilmu agama dan ilmu sains malah ilmu yang pelbagai ini menyebabkan mereka mengintegrasikannya dalam kehidupan seharian.

Dunia jambatan ke akhirat

Mereka menjadikan kehidupan di dunia ini jambatan akhirat. Kehebatan ilmu sains tidak menyebabkan mereka jauh dari Allah, malah menyebabkan mereka lebih banyak mengkaji dalam mencari jawapan dalam setiap masalah dalam kehidupan manusia. Malah penemuan-penemuan sains yang ditemui mereka kaitkan dengan ayat al-Quran dan hadis yang merupakan sumber utama dalam Islam.

Apabila mereka menjumpai jawapan dalam masalah mereka dalam solat dan bacaan al-Quran maka bertambahlah keyakinan dan keimanan mereka. Maka, sesungguhnya orang yang berilmu dan beriman Allah naikkan mereka lebih tinggi kedudukannya daripada kelompok yang lain.

Saintis dan agamawan

Mutakhir ini seringkali kita dengari perbalahan antara para ilmuan serta dalam kalangan masyarakat sejagat dalam menghadapi isu semasa yang dihadapi oleh manusia. Para ahli sains mempunyai pandangannya sendiri begitu juga dengan ahli agamawan. Masyarakat Islam kini juga kita lihat tidak bersatu malah berlaku banyak pepecahan. Golongan saintis menyalahkan golongan agamawan dan begitulah sebaliknya.

Percakaran dan sindir-menyindir antara golongan pakar ini sangat menyedihkan. Hakikatnya setiap cabang ilmu mempunyai peranan masing-masing.

Ilmu sains untuk melonjakkan tamadun manusia dan ilmu agama untuk melahirkan manusia yang bukan sahaja memahami ilmu agama itu sendiri tetapi beradab dan berakhlak mulia seperti mana akhlak yang ditonjolkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kedua-dua ilmu dan adab itu perlu seiring.

Memetik kata-kata Syeikh Abu Zakaria Yahya ilmu tanpa adab ibarat api tanpa kayu bakar dan adab tanpa ilmu itu ibarat roh tanpa jasad. Perdebatan bersifat toksik haruslah dielakkan dan digantikan dengan perbincangan bertunjangkan nilai tolak ansur dan hormat menghormati. Melaluinya, hasil yang lebih menguntungkan masyarakat dan umat manusia dapat dituai dan dinikmati untuk kemakmuran bersama. Ironinya, mungkin contoh terbaik yang boleh diihat ialah kerjasama antara pakar-pakar pelbagai bidang yang berlaku dengan cepat dan mudah apabila ancaman besar seperti COVID-19 menyerang seluruh dunia seperti hari ini.

COVID-19

Bermulanya era pandemik COVID-19 menuntut kerjasama yang kukuh antara kedua-dua bidang ini. Dapat kita lihat hari ini ahli sains, doktor perubatan dan agamawan duduk satu meja mencari penyelesaian bagi permasalaah umat terutamanya apabila terdapat keperluan untuk menjalankan ibadah dan pada masa yang sama menjaga kesihatan sejagat.

Untuk memastikan ibadat dapat dijalankan di masjid-masjid, disenfeksi berkala, penjarakan fizikal dan pengiraan jumlah jemaah yang optimum bagi menyekat penularan wabak dilakukan. Beberapa penambahbaikan seperti penggunaan alat menyukat suhu dibuat mengikut perkembangan sains perubatan dan usaha memberi kefahaman kepada jemaah masjid oleh agamawan.

Hasil daripada kerjasama dan perbincangan berterusan pakar-pakar bidang tersebut, kita di Malaysia masih mampu menjalankan ibadah mengikut prosedur operasi standard. Alangkah indahnya jika kerjasama sedemikian rupa dapat terus-menerus dilakukan walaupun selepas pandemik ini selesai.

Memandang dari sudut yang lain, ilmu sains dan ilmu agama tidak terpisah dan sepatutnya disemai dalam diri penuntut ilmu. Contohnya, saintis dalam bidang astronomi, perubatan, biologi dan sebagainya sudah tentu mampu menghargai bait-bait tulisan dalam kalam Ilahi berkenaan dengan alam ini serta ciptaan-Nya. Bukti-bukti dalam al-Quran yang seiring dengan sains tentu sahaja akan menambahkan keimanan pakar-pakar ilmu sains yang beragama Islam. Yang lebih penting lagi, dengan mendalami ilmu sains, pakar-pakar ini mampu memahami dengan lebih lagi bahawa Quran itu adalah satu mukjizat yang memberi peringatan kepada orang-orang tidak beriman dan membawa berita gembira kepada orang-orang beriman, yakni mereka yang berpegang bahawa Tuhan semesta alam ini hanyalah Allah SWT.

-- BERNAMA

Dr Aspalilah Alias merupakan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dr Habibah Ismail adalah Pensyarah, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)