KETAMADUNAN

MASA TERBAIK BERJINAK DENGAN PENULISAN

12/04/2021 09:48 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Nik Rahim Nik Wajis

Ramai pelajar saya berkata mereka tidak mempunyai bakat untuk menulis apabila diminta untuk menghantar karya penulisan mereka sebagai salah satu aktiviti masa lapang. Saya berjanji untuk memberikan mereka hadiah sebagai galakan untuk mereka menulis. Namun karya yang diharapkan tetap tidak kunjung tiba. Saya tidak pasti sama ada kata-kata bahawa mereka tidak mempunyai bakat itu suatu realiti atau satu alasan yang sengaja dicipta untuk mengelakkan diri dari membuat komitmen untuk menulis.

Hakikatnya menulis tidak sepayah yang dibayangkan oleh ramai orang. Anak-anak saya di usia semuda 9 tahun sudah saya latih untuk menulis dan kini sudah hampir menyiapkan buku cerita kanak-kanaknya. Isteri saya sebelum ini juga tidak pernah menulis namun kini beliau sudah hampir menyiapkan buku berkaitan kaedah berkesan untuk menurunkan berat badan tanpa perlu berlapar. Salah seorang anak perempuan saya yang juga tidak pernah menulis dan menerbitkan apa-apa buku sebelum ini juga sedang menyiapkan buku cerita kanak-kanak dengan berbagai topik menarik. Irfan Hafiz, seorang pemuda cacat yang berasal dari Sri Lanka, hanya menggunakan satu jari sambil berbaring di atas katil untuk menulis dan beliau telah berjaya menerbitkan tiga buah buku dalam bahasa Inggeris sebelum beliau dijemput oleh Yang Maha Pencipta.

Tidak perlu kelulusan tinggi

Saya kongsikan ini semua adalah bertujuan untuk menggambarkan hakikat sebenar tentang penulisan. Menulis sebenarnya tidak begitu sukar asal saja kita mahu untuk mencuba. Kita tidak perlu menjadi profesor atau sarjana, atau berkelulusan tinggi untuk menulis. Semua orang boleh menulis. Tidak perlu dirisaukan sangat tentang lenggok bahasa serta istilah-istilah yang terlalu akademik kerana kita bukan penulis profesional yang tulisan mereka dibaca oleh ramai orang di seluruh dunia. Tulislah mengikut tahap dan kemampuan kita. Tulislah sesuatu yang kita sukai kerana akan ada di luar sana orang yang suka membaca karya penulisan kita.

Tulislah agar kita ada sesuatu yang berharga untuk tatapan anak cucu kita di masa akan datang. Tulislah kerana tulisan kita mungkin mampu membawa sinar kegembiraan buat mereka yang berduka lara, membuat orang lain bangkit daripada kegagalan, membuat orang lain tersenyum gembira bahkan mungkin tulisan kita mampu mengubah dunia.

Nabi SAW bersabda:

“Apabila mati anak Adam, akan terputuslah segala amalanya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, anak soleh yang mendoakannya dan ilmu yang bermanfaat” - Hadith riwayat Muslim.

Ilmu yang bermanfaat

Menulis sebenarnya boleh dijadikan terapi kepada jiwa yang kebosanan. Menjadi penulis menyebabkan kita sering berfikir mencari ilham dan ini akan menjadikan kita khusyuk dan masa terasa begitu pantas berlalu berbanding mereka yang tidak melakukan apa-apa selain termenung dan membuang masa dengan sia-sia.

Hari ini penulisan menjadi sangat mudah kerana segala maklumat yang kita perlukan berada di hujung jari. Jika anda seorang pelajar, tulislah tentang pengalaman pahit dan manis semasa mula-mula menjejakkan kaki ke sekolah atau universiti. Jika anda seorang yang sudah bekerja, kongsikanlah peristiwa-peristiwa yang mencuit hati sejak anda mula bekerja hingga kini. Jika anda sudah pencen, curahkan segala pengalaman-pengalaman bekerja puluhan tahun untuk dijadikan iktibar dan pengajaran kepada mereka yang baru melangkahkan kaki ke alam pekerjaan. Jika anda seorang suri rumah dan anda minat memasak, tulislah tentang masakan dan carilah maklumat tambahan melalui internet. Mudahkan?

Usah berlengah lagi. Guna masa yang terluang sebagai langkah awal untuk menjadi penulis tersohor suatu masa nanti. Jika bukan sekarang bila lagi? Jika bukan kita, siapa lagi?

-- BERNAMA

Dr Nik Rahim Nik Wajis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)