PENA WANITA

COVID-19 ITU BENAR

14/06/2021 09:33 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof Madya Dr Normaliza Ab Malik

Dipaparkan di kaca televisyen saban minggu bagi meyakinkan masyarakat bahawa pandemic COVID-19 ini bukan perkara yang dibuat-buat. “COVID ITU BENAR” bukan sekadar informasi biasa berdurasi beberapa saat, tetapi telah dijadikan program mingguan di saluran RTM, untuk memaparkan kejadian sebenar dengan menyingkap dan mengupas mengenai gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Ini ialah antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan bagi memastikan masyarakat di negara ini sentiasa sedar akan kewujudan virus ini dan melaksanakan langkah yang disarankan. Ini berikutan wujudnya tanggapan dalam masyarakat bahawa angka kematian dan bilangan yang telah dijangkiti telah direka atau dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Kesan COVID-19

Apakah kebaikan mereka-reka cerita berkaitan COVID-19. Marilah kita sama-sama melihat dan menganalisis situasi yang berlaku. COVID-19 bukan hanya berlaku di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Kesannya, kehidupan seharian dan sosial terganggu, sementara ekonomi keluarga dan negara juga menjadi tidak stabil.

Bukan itu sahaja, menurut pakar kesihatan, kesihatan mental juga antara kesan COVID-19 akibat daripada kehilangan pekerjaan, pendapatan yang tidak menentu dan keadaan keluarga yang tidak stabil.

Teori Konspirasi

Mengapa sukar untuk mempercayai yang COVID-19 ini benar? Kajian pakar psikologi menyatakan bahawa teori konspirasi ialah masalah utama dan menjadi kritikal jika tidak ditangani. Mereka ini mudah untuk menolak maklumat yang datang daripada pakar dan pihak berkuasa atau pemerintah, selain pantas menjadikan peristiwa penting sebagai satu konspirasi.

Peningkatan kepercayaan kepada konspirasi amat membimbangkan. Pemikiran seperti ini boleh menjurus kepada tindakan negatif seperti tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan gagal mendapatkan vaksinasi. Tindakan seperti ini akan menyumbang kepada kadar jangkitan yang tinggi dan sekali gus menggagalkan usaha menurunkan lekuk jangkitan. Kepercayaan sebegini mempunyai implikasi yang besar dalam membangunkan strategi untuk mengekang penularan COVID-19.

Selidik sebelum sebar

Oleh itu, kerajaan harus sentiasa peka dan mencari jalan bagi memastikan kepercayaan salah seperti ini boleh diperbetulkan. Penyebab lain yang menghalang usaha menangani penularan jangkitan COVID-19 secara berkesan ialah masyarakat yang berada dalam zon selesa, sehingga menafikan kebenaran.

Perkara ini mudah berlaku kepada mereka yang tidak menghadapi situasi sebenar. Alangkah baiknya sekiranya kita menyelidik dahulu tanpa menyampaikan perkara yang tidak dipastikan kesahihannya. Bertanyalah kepada meraka yang terlibat, carilah fakta dan sumber informasi yang betul.

Begitu juga, sekiranya kita tidak mahu mematuhi perkara yang disarankan oleh kerajaan, janganlah mempengaruhi orang lain. Informasi yang tidak betul boleh mengundang kepada kecelaruan masyarakat dalam membuat keputusan dan tindakan yang terbaik buat mereka. Malah, informasi yang sebegini akan turut mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Memerangi COVID-19

Kebenaran mengenai siapa yang mencipta dan bertanggungjawab menyebabkan merebaknya jangkitan dan ancaman COVID-19 ini masih tidak diketahui, sama ada disengajakan atau tidak. Namun, perkara yang paling penting ketika ini ialah membendung penularan wabak ini.

Masyarakat harus sedar bahawa apa yang lebih penting dilakukan pada tahap ini ialah menjaga diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling kita daripada dijangkiti wabak COVID-19 ini. Justeru, menolak segala pengaruh negatif ialah langkah terbaik, agar kita sentiasa optimis dalam perkara yang dilakukan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

Kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan jangkitan dan mengurangkan lekuk jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat. Pelbagai usaha telah dilakukan, seperti merangka SOP yang terbaik dan praktikal untuk diamalkan oleh masyarakat umum.

Informasi

Pelbagai informasi berkaitan COVID-19 juga telah disiarkan melalui pelbagai saluran media, seperti televisyen, radio, surat khabar dan telegram bagi memastikan hanya informasi yang betul dan berkaitan sahaja sampai kepada masyarakat termasuklah informasi dan program “COVID ITU BENAR”.

COVID-19 memang benar dan menanganinya bukanlah perkara yang mudah seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19, Eksklusif Bersama Perdana Menteri baru-baru ini. Memutuskan rantaian jangkitan dan mengimbanginya dengan kehidupan masyarakat adalah sesuatu yang sukar.

Perdana Menteri turut menasihati masyarakat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan kawalan kendiri. Usaha kerajaan dan masyarakat untuk bersama-sama memastikan rangkaian jangkitan ini terputus tidak akan berkesan sekiranya masyarakat secara keseluruhannya tidak bekerjasama dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

Kerjasama

Percayalah bahawa COVID-19 memang benar. Apakah tidak cukup dengan berita mengenai kesengsaraan pesakit COVID-19 dan peningkatan angka kematian akibat COVID-19 ini? Selamilah keperitan mereka yang telah kehilangan ahli keluarga. Begitu juga, hargailah pahit getir petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus siang dan malam membanting tulang, bermandikan keringat dan air mata, bahkan mempertaruhkan nyawa demi berusaha memastikan penurunan lekuk jangkitan dan pemulihan pesakit COVID-19.

Bersama-samalah kita berjuang untuk menangkis dan memperbetulkan fikiran negatif, mematuhi SOP yang disarankan oleh kerajaan dan mengamalkan kawalan kendiri demi kesihatan dan masa depan kita, keluarga dan negara. Elakan diri daripada dijangkiti dan menjangkiti. Putuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini ialah tanggungjawab bersama.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Normaliza Ab Malik merupakan Pensyarah dan Pakar Klinikal Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)