NOTA KAMPUS

PPV COVID-19: MEMBINA TANGGAPAN, MENGUKUH PERPADUAN

26/07/2021 08:41 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin

Tanggapan atau persepsi merupakan satu gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran individu mengenai sesuatu. Imej sesebuah organisasi sangat bergantung kepada tanggapan masyarakat. Jika positif tanggapan masyarakat, maka akan menghasilkan imej baik kepada organisasi tersebut. Sebaliknya, akan rosak reputasi sesebuah organisasi jika masyarakat mempunyai tanggapan negatif terdapat perkhidmatan atau produk yang dihasilkan. Penolakan masyarakat akan menjejaskan kelangsungan hidup sesebuah organisasi kerana amat bergantung kepada masyarakat untuk terus kekal relevan.

Pada 28 Jun 2021, Univeristi Sains Islam Malaysia (USIM), bertempat di Nilai, Negeri Sembilan mula beroperasi sebagai salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Protect Health Sdn. Bhd. Maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan setakat ini lebih 650 PPV beroperasi di seluruh negara. Dewan Tuanku Canselor (DTC) digunakan untuk melaksanakan tugasan ini. Lazimnya, DTC digunakan untuk majlis konvokesyen bagi meraikan graduan USIM setiap tahun. Pusat ini diberi tanggungjawab memberi suntikan kepada 3,000 penerima vaksin sehari untuk tempoh empat bulan.

Membina tanggapan

Mungkin sebelum ini, masyarakat bukan Islam di luar sana menganggap USIM sebagai kampus untuk tidak didekati atau tidak sesuai untuk mereka kerana adanya nama Islam pada universiti tersebut. Namun, pemilihan USIM sebagai tempat PPV COVID-19 dilihat mampu merubah tanggapan tersebut. Hal ini kerana pemberian vaksin di kampus itu dibuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, warga dan bukan warga yang menetap di Malaysia. Pengiraan secara kasar menunjukkan setiap hari USIM didatangi 3,000 penerima vaksin dan dalam sebulan berjumlah 90,000 orang. Ini bermakna anggaran yang hadir ke USIM kira-kira 360,000 orang dalam tempoh empat bulan. Jumlah tersebut tidak termasuk ahli keluarga yang mengiringi penerima vaksin. Sudah tentu bilangannya bertambah.

Pada pandangan penulis, ia amat bermakna kerana ramai bukan Islam dapat memasuki kampus tersebut yang mana sebelum ini mungkin mereka tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian. Setiap hari PPV Mega USIM dikendalikan oleh kira-kira 200 orang sukarelawan terdiri daripada staf USIM, Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dan CITF. Sebanyak 20 kaunter pendaftaran, meja doktor, bilik vaksin dan kaunter verifikasi vaksin dibuka. Ini membantu pemberian vaksin yang cepat manakala penerima berasa gembira kerana tidak perlu menunggu lama. Pusat ini dibuka dari 8.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari termasuk hari kelepasan am.

Majoriti sukarelawan yang bertugas adalah warga USIM berbangsa Melayu dan beragama Islam yang bertungkus-lumus membantu dengan sebaik mungkin. Hal ini bertujuan untuk membantu para penerima vaksin mendapat layanan yang terbaik, berasa selesa serta berpuas hati. Staf USIM dari peringkat sokongan, pegawai, pensyarah hingga profesor menawarkan khidmat sukarela semata-mata untuk membantu misi kerajaan dalam pemberian vaksin COVID-19 kepada rakyat. Difahamkan, mereka bertugas sekitar 12 jam bermula seawal 7.00 pagi.

Media sosial juga memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat. Netizen yang telah menerima suntukan vaksin di PPV USIM mengucapkan terima kasih dan memuji perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan kepada mereka di dalam media sosial. Penulis tertarik dengan kreativiti seorang pemuda India membuat ulasan perjalanan pengambilan vaksin oleh bapanya dari rumah ke USIM yang dimuat naik di saluran YouTube. Di akhir penceritaannya dalam “AK Tamil Malaysia”, kelihatan bapanya yang menerima vaksin dos pertama memuji dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diterima.

Petugas sempat bertanya kepada beberapa penerima vaksin bukan Islam, mengenai perkhidmatan dan hospitaliti yang disediakan. Mereka amat berpuas hati dan tidak menyangka akan layanan dan perkhidmatan yang diberikan sedemikian rupa. Peranan sukarelawan, hospitaliti dan kemudahan yang disediakan telah membina tanggapan positif dalam kalangan bukan Islam terhadap USIM. Mungkin ini hikmah di sebalik pemilihan USIM sebagai PPV Mega di Negeri Sembilan.

Mengukuh perpaduan

Penulis merujuk Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Al-Quran dengan jelas mengajar umat Islam mengenali dan memupuk perpaduan dengan kaum atau bangsa lain apatalah lagi dalam negara Malaysia ini yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Dengan kata lain, ayat ini mengajarkan mengenai toleransi, kerjasama serta menolak diskriminasi. Penulis bersetuju dengan pandangan Abdul Aziz Abdul Rahman (2010) mengenai Rukun Negara yang menumpukan aspek perpaduan dalam kalangan rakyat. Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh kerajaan bertujuan menjaga keharmonian sosial serta menerap nilai budaya yang murni dalam setiap diri masyarakat.

Menurut Abdul Aziz, antara objektif Rukun Negara ialah mencapai perpaduan yang lebih erat sesama masyarakat, mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama. Dalam konteks pemberian vaksin ini, jelas menunjukkan warganegara Malaysia dari semua kaum diberi suntikan secara adil dan saksama. Malah sebagai tanda wujudnya perpaduan, terdapat pihak membantu sukarelawan PPV USIM tersebut. Satu contoh menarik apabila seorang kaum Cina menawarkan diri untuk menghulur bantuan kepada sukarelawan selepas melihat akan layanan baik kepada ibunya yang uzur. Malah, dalam menyokong sukarelawan PPV ini banyak organisasi dan individu pelbagai kaum bermurah hati memberi sumbangan dalam bentuk makanan, minuman dan keperluan lain.

Libat sama masyarakat

Salah satu peranan Universiti seperti digariskan dalam Pelan Strategik USM 2022 untuk terlibat dengan masyarakat majmuk dalam aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada kedua belah pihak. Walaupun PPV Mega ini merupakan sumbangan kecil untuk mengubah tanggapan dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat, tetapi ia amat bermakna kepada USIM, warganya serta agama Islam kerana berjaya membuka mata masyarakat bukan Islam terhadap universiti ini.

Peluang yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, KKM, CITF dan Kerajaan Negeri Sembilan membolehkan USIM membantu misi kerajaan mempercepatkan kadar pengambilan vaksin seterusnya mencapai tahap imuniti yang disasarkan kepada rakyat. Pada masa sama USIM dapat membina tanggapan positif dalam kalangan bukan Islam. Sebagai universiti awam, Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr Mohamed Ridza Wahiddin mahu memacu ke depan bagi mencapai misinya sebagai “Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi Menjelang 2022.” Universiti ini berusaha menjadikannya tersohor di samping mengekalkan jati diri dan nilai murni yang menjadi teras utama.

Universiti ini ditubuhkan untuk memartabatkan Pendidikan Islam dengan memberi penekanan kepada integrasi ilmu naqli dan aqli dalam setiap program yang ditawarkan. Matlamat akhirnya untuk melahirkan graduan yang beradab, holistik dan seimbang.

-- BERNAMA

Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin merupakan Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)