TINTA MINDA

MENCAKNA BAKAT TEKNOLOGI TEMPATAN PASCA PANDEMIK

26/10/2021 03:12 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh : Farhan Kamarulzaman

Dalam perjalanan menuju fasa endemic COVID-19, Malaysia amat memerlukan pembangunan bakat teknologi tempatan bagi mengisi ruang permintaan para penggiat industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan demi kelangsungan perniagaan mereka.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia, Michael Kang sebelum ini pernah menekankan bahawa negara memerlukan modal insan dalam sektor teknologi demi menempa kejayaan transformasi digital para PKS.

Gesaan itu ternyata tepat kerana kebanyakan PKS dengan jelas sudah mulai berubah arah untuk menerima dan mempercayai digitalisasi malah menggunakan teknologi baharu yang berkesan sebagai peluang keemasan untuk menyelamatkan perniagaan mereka semasa fasa COVID-19.

Revolusi modal insan era COVID-19

Demi kejayaan pelan transformasi digital ini, usaha kerajaan amatlah penting dalam memberikan pelbagai sudut bantuan, terutamanya dari segi pembangunan bakat teknologi tempatan yang memerlukan usaha bersepadu. Hal ini kerana ia dapat memberikan pelbagai impak positif kepada negara sementara urusan peralihan PKS ke arah digitalisasi juga dapat dipermudahkan.

Usaha pembangunan bakat teknologi tempatan sebenarnya tidaklah menelan biaya yang banyak berbanding pengambilan bakat teknologi asing. Malah, usaha ini amat diperlukan negara untuk pembentukan modal insan yang memiliki kemahiran teknologi pada masa hadapan.

Selain itu, kebanyakan PKS juga dilihat kurang mempunyai kemampuan dari sudut kewangan untuk menggaji bakat teknologi asing, justeru dengan jelas menampakkan keperluan pantas PKS untuk memperoleh bakat teknologi tempatan ketika ini.

Pada masa yang sama, kebanyakan para PKS menunjukkan minat yang mendalam untuk melaksanakan transformasi digital, namun menghadapi kekangan besar dalam memperoleh bakat teknologi tempatan demi menyempurnakan usaha mereka. Selain itu, kekurangan kepakaran juga menjadi batu sempadan dalam merealisasikan transformasi digital tersebut.

Demi memenuhi tuntutan PKS, kerajaan perlu lebih agresif, pantas dan mungkin perlu meningkatkan usaha terhadap inisiatif sedia ada.

Ianya juga perlu lebih berkesan daripada sebelum ini. Misalnya, penyediaan kursus intensif dan latihan praktikal yang diyakini perlu diberikan untuk mempersiap tenaga kerja masa hadapan dengan kemahiran-kemahiran yang perlu untuk merealisasikan transformasi digital. Kemungkinan juga inisiatif yang lebih menjurus kepada bidang-bidang teknologi khusus dan lebih banyak pusat pembangunan teknologi tempatan serata Malaysia perlu diwujudkan oleh pihak-pihak berkaitan.

ICT dalam pendidikan

Walaupun usaha pembangunan bakat teknologi tempatan kemungkinan menelan perbelanjaan negara yang banyak, kita harus sedar bahawa ini adalah untuk kemajuan dan masa depan negara. Pihak kerajaan juga tidak perlu teragak-agak dalam membangunkan bakat teknologi tempatan kerana ianya penting pada masa depan, bukan sahaja demi kejayaan perniagaan tetapi juga untuk kejayaan negara dalam sektor teknologi.

Dalam pada itu, hal ini juga sejajar dengan hasrat negara yang disebut oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bahawa kerajaan optimis dalam melaksanakan dan memastikan kejayaan dasar dan inisiatif yang digariskan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Selanjutnya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba menyebut bahawa hasrat negara adalah untuk memudahkan pembangunan teknologi tempatan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan bakat atau tenaga kerja dalam kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi blok rantai (blockchain).

Hasrat baik negara tersebut sudah semestinya mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan seterusnya dapat menampung keperluan kerja dalam bidang teknologi pada masa akan datang. Malahan, sektor teknologi juga dapat diletakkan sejajar dengan sektor-sektor lain dan membuka mata orang ramai untuk mendalami sektor teknologi.

Walaupun begitu, pembangunan teknologi tempatan bukanlah tugas yang mudah kerana ianya perlu bermula pada peringkat akar umbi.

Kesediaan negara pada peringkat awal juga dapat memudahkan usaha pembangunan bakat teknologi tempatan pada masa hadapan kerana mereka tidak perlu dilatih dengan intensiti tinggi di kemudian hari disebabkan oleh penerapan awal terhadap asas-asas teknologi yang telah diberikan.

Segelintir rakyat Malaysia juga berpendapat bahawa pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) pada peringkat akar umbi perlu untuk memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak. Pendidikan STEM perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut keupayaan kanak-kanak.

Selain itu, mereka juga perlu dididik dengan keperluan teknologi pada masa hadapan untuk transformasi digital negara. Impak usaha ini akan mungkin menunjukkan hasilnya pada jangka masa panjang.

Dengan mengambil contoh inisiatif yang diambil oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), organisasi itu telah memulakan langkah tepat dengan menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk pelaksanaan Program MADC HyTalent demi meningkatkan kesediaan Revolusi Industri 4.0 dalam kalangan graduan baru.

Walaupun inisiatif tersebut dapat banyak membantu kepada pembangunan bakat teknologi tempatan pada masa hadapan, usaha itu perlu digandakan dengan penambahan kemahiran dan pengalaman teknologi baru sesuai dengan peredaran masa yang dapat melengkapkan kesediaan mereka dalam bidang teknologi.

Sebagai contoh, kemahiran teknikal yang ditawarkan oleh MIDA mungkin perlu berbeza-beza mengikut masa yang menjurus kepada teknologi baru dan dilengkapi dengan pelbagai kemahiran baru yang mungkin muncul pada masa hadapan, seperti pembangunan lebih lanjut terhadap sektor Analisis Data Besar.

Kesimpulannya, inisiatif seperti ini perlu diperluaskan oleh pelbagai organisasi serta langkah-langkah baharu seharusnya muncul dengan lebih variasi dalam membangunkan bakat teknologi tempatan negara sementara kerajaan pula berperanan penting dalam menyuntik dana dengan tepat dan melakukan persediaan mantap untuk mewujudkan peluang pekerjaan relevan dalam sektor teknologi pada masa hadapan.

-- BERNAMA

Farhan Kamarulzaman merupakan Eksekutif Pelatih di Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)