KETAMADUNAN

WARIS SEPAKAT PERCEPATKAN PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA

25/03/2022 09:36 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Mohamad Ali Roshidi Ahmad

Merancang dan menguruskan harta pusaka terbahagi kepada dua fasa, iaitu perancangan harta ketika hidup dan pembahagian harta selepas kematian pemilik harta.

Antara bentuk perancangan harta semasa hidup oleh pemilik harta termasuklah hibah, wasiat, wakaf dan sedekah. Tujuan perancangan harta dilakukan adalah untuk membantu pemilik harta memastikan waris-waris yang ditinggalkan akan dapat mewarisi hartanya dengan cara atau kaedah yang dibenarkan oleh syarak.

Malangnya, masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat di Malaysia yang dilihat kurang berminat untuk membuat perancangan rapi, terutamanya dari sudut persiapan pengagihan harta sebelum mereka meninggal dunia.

Masalah ini timbul berikutan ramai yang tidak menyedari tentang keperluan dan kepentingan untuk membuat perancangan awal pembahagian harta pusaka.

Prosedur pembahagian harta

Pembahagian harta pusaka perlu dilaksanakan mengikut tatacara yang betul dan prosedur yang telah ditetapkan. Apabila berlaku sesuatu kematian, adalah menjadi tanggungjawab waris-waris untuk segera mengurus serta mengendalikan tuntutan seterusnya membahagikannya kepada semua waris yang berhak.

Pembahagian harta pusaka akan menjadi lebih mudah sekiranya ketika hayatnya si mati telah membuat perancangan yang jelas ke atas hartanya. Tetapi, hakikatnya ramai pemilik harta yang tidak membuat perancangan terhadap hartanya sebelum kematian. Maka menjadi tugas dan tanggungjawab waris untuk membuat tuntutan pembahagian ke atas harta berkenaan.

Tindakan mengabaikan atau melewat-lewatkan tuntutan pembahagian harta akan mengakibatkan timbul pelbagai masalah seperti yang sering dilihat melalui kes-kes pemilikan harta beramai-ramai, kes-kes kematian berlapis, harta terbiar tanpa diurus, kesulitan proses perbicaraan dalam pembahagian harta si mati dan risiko kehilangan dokumen hak milik si mati.

Tangungjawab waris

Menurut undang-undang di negara ini, hanya waris yang berhak ke atas harta pusaka berkenaan sahaja yang layak untuk terlibat dalam perbincangan pembahagian harta pusaka. Pihak ketiga adalah tidak digalakkan untuk masuk campur, kecuali diminta berbuat demikian oleh semua waris yang berhak. Maka, adalah menjadi tanggungjawab semua waris yang berhak untuk sama-sama bertindak mempercepatkan proses permohonan pembahagian pusaka si mati.

Kegagalan untuk menyegerakan pengurusan dan pembahagian harta pusaka akan menyebabkan semua harta pusaka terbiar dan tidak memberi nilai ekonomi kepada individu dan negara.

Masalah kelewatan pembahagian harta pusaka banyak berpunca daripada tiada sikap bekerjasama dan tolak ansur dalam kalangan waris yang berhak. Cepat atau lambat proses pembahagian harta pusaka tidak bergantung kepada berapa banyak harta yang ditinggalkan oleh si mati atau berapa ramai waris yang berhak ke atas harta yang ditinggalkan.

Sebaliknya, ianya bergantung kepada kesediaan semua waris untuk memainkan peranan mereka dalam proses tuntutan pembahagian. Dengan kata lain, semua waris yang berhak hendaklah bekerjasama dan bersepakat untuk menyelesaikan pembahagian harta tersebut.

Sifat tamak, jahil punca harta terbiar

Bagaimanapun, terdapat banyak keadaan di mana adanya waris yang yang tidak mahu bekerjasama untuk menguruskan pembahagiannya. Dalam menguruskan pembahagian harta pusaka, semua waris yang berhak mestilah membuat satu kesepakatan dalam kalangan mereka.

Jika salah seorang waris yang berhak tidak bersetuju atau tidak memberi kerjasama, maka proses pembahagiannya akan tertangguh. Waris sepakat akan memudah dan mempercepatkan proses pembahagian harta pusaka.

Ketidaksepakatan dalam kalangan ahli waris akan menyukarkan proses permohonan pembahagian harta pusaka yang akhirnya akan menyebabkan harta berkenaan tidak dapat dibahagikan dengan cara yang betul yang ditetapkan syarak.

Seterusnya harta berkenaan akan terbiar tanpa boleh digunakan dengan cara yang wajar dan bermanfaat. Sikap tidak mahu bekerjasama ini timbul disebabkan oleh sifat tamak waris yang mahukan bahagian yang lebih atau mahu membolot semua harta.

Kejahilan waris tentang hukum dan kaedah pembahagian harta pusaka juga merupakan satu faktor yang menyebabkan ada waris yang enggan bekerjasama.

Kesimpulannya, bagi mempercepatkan proses pembahagian harta pusaka, semua waris si mati hendaklah bersedia bertolak ansur, bekerjasama dan bersepakat sesama mereka untuk menguruskan proses permohonan pembahagian.

Semua waris hendaklah berbincang sesama mereka tanpa ada perasaan curiga dan irihati di antara mereka, dalam semangat kekeluargaan yang tinggi dan tiada campurtangan orang luar untuk menentukan cara dan kaedah yang terbaik untuk membahagikan harta pusaka.

Cara dan kaedah pembahagian yang dipersetujui oleh semua waris mestilah yang dibenarkan syarak dan undang-undang.

-- BERNAMA

Mohamad Ali Roshidi Ahmad merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)