TINTA MINDA

BUDAYA KERJASAMA DALAM MENJAYAKAN AGENDA ORGANISASI

09/06/2022 10:56 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Dr. Azzanawawy Samat

Budaya adalah tingkah laku sosial dan norma yang terdapat dalam kumpulan manusia tertentu yang diturunkan daripada generasi ke generasi yang lain untuk membimbing amalan individu. Budaya dapat memberikan indentiti kepada kumpulan manusia tersebut. Istilah budaya merujuk kepada nilai dan tabiat yang mengatur kumpulan tertentu, atau merujuk kepada bidang pengetahuan atau aktiviti khusus.

Organisasi pula merujuk kepada satu unit sosial yang terdiri daripada manusia yang bekerjasama dan saling bergantung antara satu sama lain bagi mencapai matlamat tertentu yang telah ditetapkan bersama. Organisasi dibentuk dengan adanya kepercayaan antara satu dengan yang lain dalam meletakkan sesuatu matlamat yang ingin dicapai bersama.

Oleh itu, budaya organisasi dapat dirujuk sebagai satu nilai kepercayaan yang dipegang bersama dalam kalangan anggota di sesebuah organisasi. Budaya organisasi juga dirujuk sebagai sistem kepercayaan dan sikap bersama yang berkembang dalam suatu organisasi dan membimbing perilaku para anggotanya. Sesuatu perkara yang telah dijadikan budaya organisasi, sukar untuk diubah kerana perkara tersebut telah sebati dengan cara perlakuan dan meresap jauh ke dalam minda anggota organisasi tersebut.

Kepentingan Kerjasama

Kerjasama semua anggota dalam organisasi amatlah diperlukan bagi memudahkan pencapaian matlamat atau agenda yang telah ditetapkan oleh organisasi. Tanpa kerjasama semua pihak pastinya agenda tersebut hanyalah sia-sia belaka. Ini kerana setiap anggota dalam organisasi menyumbang kepada hasil kerja yang dibuat dalam mencapai agenda yang ditetapkan dengan memainkan peranan tersendiri mengikut skop dan bidang tugas masing-masing.

Setiap warga organisasi mempunyai peranan yang tersendiri dalam menyumbang kepada pencapaian agenda yang telah ditetapkan oleh organisasi. Baik sekecil-kecil kerja hinggalah sebesar-besar kerja yang dilaksanakan. Semuanya akan memberikan kesan terhadap hasil kerja tersebut. Bagi mereka yang memerlukan bimbingan, tunjuk ajar perlulah diberikan. Sikap mementingkan diri sendiri hanya akan merosakkan organisasi. Untuk itu, adalah tidak wajar sekiranya ada pihak yang mempertikaikan atau merendah-rendahkan peranan orang lain dalam organisasi.

Justeru, semangat kerjasama dan saling bantu-membantu perlulah diterapkan dalam kalangan setiap warga organisasi agar semangat kerjasama ini menjadi amalan dan meresap jauh ke dalam diri warga organisasi tersebut. Ini seterusnya akan membentuk satu budaya dalam organisasi yang mana budaya ini akan memacu kejayaan kepada sesebuah organisasi.

Membudayakan Kerjasama

Membudayakan kerjasama amat dituntut dalam organisasi kerana budaya tersebut akan memacu ke arah kecemerlangan. Tanpa kerjasama semua anggota, sudah pasti sesuatu perkara yang ditetapkan sukar dicapai. Sesuatu bebanan juga dapat diagihkan dan dikongsikan bagi memudahkan kerja yang dilaksanakan

Untuk menjadikan kerjasama sebagai satu budaya dalam organisasi, penerapan amalan perlulah dibuat secara berperingkat mengikut kesediaan para anggota. Sesuatu yang ingin dijadikan budaya perlulah diperkenalkan terlebih dahulu. Ini bagi memastikan anggota dalam organisasi tidak terkejut dengan sesuatu perkara yang ingin dijadikan budaya. Pendekatan secara paksaan kadang kala perlu dibuat dalam masa-masa tertentu terutamanya bila terdapat anggota yang sukar menerimanya.

Untuk menjadikan kerjasama sebagai satu budaya dalam organisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan berpuak-puak mengikut kelompok tertentu hendaklah dihapuskan. Sebaliknya, semangat kerja sebagai satu pasukan demi kemajuan organisasi hendaklah diterapkan. Agenda organisasi perlulah didahulukan berbanding agenda peribadi dalam melaksanakan kerja agar hasilnya dapat dinikmati oleh semua warga dan lebih bermakna. Kerjasama secara berterusan lama-kelamaan akan menjadikan amalan itu sebagai satu budaya dalam organisasi secara sedar atau tidak.

Tidak Semua Sempurna

Apabila memperkatakan tentang organisasi, sudah pastilah merujuk kepada satu kumpulan manusia yang mempunyai hierarki dan peranan tertentu di dalam kumpulan tersebut. Ini menyentuh perkara berkaitan kepelbagian fungsi dan anggota organisasi. Setiap anggota pasti mempunyai perbezaan dari pelbagai sudut. Ada yang mempunyai kuasa yang besar, terlibat dalam perancangan dan pembuatan keputusan. Ada juga yang tidak mempunyai kuasa tetapi bergiat aktif dalam pengoperasian dan perlaksanaan kerja yang dirancangkan. Ini bermakna adalah tidak wajar sekiranya satu ukuran sahaja yang digunakan bagi menilai seseorang dalam organisasi.

Perbalahan dan perasaan tidak berpuas hati seseorang sering tercetus akibat persepsi terhadap orang lain dalam oerganisasi. Merasakan diri lebih sempurna dan meletakkan kualiti orang lain pada tahap yang lebih rendah hanya akan membuka ruang persengketaan dan mewujudkan keretakan dalam organisasi. Secara umumnya, setiap manusia itu berbeza dalam banyak segi, termasuklah fizikal, kepintaran dan kecekapan dalam mempelajari sesuatu. Seharusnya usaha seseorang dalam melaksanakan tugasnya dilihat dan dihargai. Memandangkan keupayaan seseorang itu berbeza, maka hasil kerja yang dilaksanakan juga akan berbeza.

Oleh itu, sikap merasakan diri sempurna berbanding orang lain dalam organisasi perlulah dihindari. Terimalah kenyataan bahawa tidak semua perkara itu sempurna termasuklah diri sendiri. Menerima dan mengakui kekurangan diri merupakan satu sifat yang berani dan perlu ada dalam setiap warga organisasi. Ini membolehkan kekurangan tersebut ditampung dengan kelebihan yang ada pada anggota lain dalam organisasi. Saling timbal balas dan kerjasama antara anggota akan membuka jalan yang lebih luas ke arah pencapaian matlamat organisasi.

Transformasi Dalam Diri

Tidak dinafikan bahawa dalam setandan pisang, tidak semuanya baik. Begitu juga dalam organisasi, dalam sekumpulan anggota pasti ada cacat celanya. Namun ini tidaklah bermakna organisasi tersebut akan runtuh hanya sedikit kurangnya. Mengambil langkah dan bersikap lebih positif akan dapat menyelamatkan organisasi. Perkara-perkara yang dilihat dapat menghancurkan perancangan organisasi perlulah dikenal pasti dan dikaji. Ini mebolehkan langkah percegahan dapat diambil dan pemulihan dibuat sekiranya sebarang kemungkinan terjadi.

Namun begitu, sikap dalam diri anggota sebenarnya menjadi halangan utama kepada kejayaan organisasi. Ini kerana sikap akan mewujudkan perlakuan dan tindakan. Sekiranya sikap tidak diperbaiki, perlakuan dan tindak balas yang dizahirkan dikhuatiri akan memberikan implikasi kepada organisasi. Menyedari hakikat tersebut, usaha menerapkan nilai-nilai murni dan pemantapan diri hendaklah dibuat kepada warga organisasi.

Ini bagi memastikan setiap anggota organisasi mempunyai perasaan menghargai kerja dan mencintai organisasi. Transformasi dalam diri warga organisasi akan memberikan kesan yang lebih positif kepada organisasi. Apabila kepentingan organisasi didahulukan dan sikap mementingkan diri diketepikan, secara langsung akan memupuk semangat kerjasama dan seterusnya akan menyumbang kepada pembangunan organisasi.

Budaya kerjasama hendaklah diperkukuhkan dalam diri setiap anggota organisasi. Kerjasama yang baik daripada setiap anggota organisasi akan membawa kepada kejayaan dalam satu-satu perkara. Sikap saling menyalahkan dan mementingkan diri hanya akan menimbulkan persengketaan dan merosakkan hubungan antara warga organisasi. Saling menerima antara satu dengan yang lain dan berfikiran terbuka akan membuka ruang dan jalan kepada penyelesaian dalam melaksanakan satu-satu tugasan. Bagi menjayakan agenda organisasi, budaya kerjasama seharusnya menjadi amalan setiap anggota.

-- BERNAMA

Dr. Azzanawawy Samat merupakan Penolong Pengarah Kanan, Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)