Ni hao….
Alhamdulillah, hari ini genap lima hari penulis tiba di Beijing, kota metropolis yang juga bandar raya kedua terbesar di China selepas Shanghai ini.
Sejak tiba di di China pada 17 Julai lalu, penulis tidak terus ke Beijing, sebaliknya perlu menjalani tempoh kuarantin daripada 17 Julai hingga 27 Julai di Nanchang, iaitu syarat wajib untuk pengembara antarabangsa yang baru tiba di negara ini.
Pada hari terakhir dalam kuarantin, penulis masih sedang ‘tidur-tidur ayam’ ketika mendengar pintu bilik tempat penulis menjalani kuarantin diketuk beberapa kali oleh petugas hotel yang ingin membuat ujian COVID-19.
Segera penulis bangun dan membuka pelitup separuh muka sambil cuba menyuakan kepala kepada petugas kerana menyangkakan mereka ingin membuat calitan pada tekak atau hidung seperti kebiasaan.
Bagaimanapun lain pula jadinya, petugas yang lengkap berpakaian alat pelindung diri (PPE) dengan peluh yang merecik di muka, menunjukkan telefonnya yang memaparkan ayat yang telah diterjemah dari bahasa Mandarin kepada bahasa Inggeris.
“Hi I want to do environmental sampling, please take out your phone,” begitulah lebih kurang ayat terjemahan yang ditunjukkan pada hari ketujuh penulis menjalani kuarantin berkenaan, sebelum diberi pelepasan untuk ke Beijing pada keesokan harinya.
Walaupun terpinga-pinga pada mulanya, penulis bergegas mengambil telefon dan kemudian memberikan pada mereka sebelum alat ujian dikeluarkan dan mereka menyapukannya pada permukaan depan dan belakang telefon penulis. Begitu juga, pemegang pintu dari dalam bilik penulis turut ‘diuji’.
"COVID-19 can also be detected on the surface of an object or environment," kata salah seorang kakitangan hotel melalui aplikasi WeChat.
Lebih kurang 30 minit kemudian, barulah mereka datang semula dan melakukan ujian RT-PCR dengan mengambil sampel pada tekak dan hidung, kali kelima dalam tempoh berkuarantin. Agak perit juga tekak penulis apabila hampir setiap hari-hari ‘dicucuk’.
Di Malaysia situasi yang penulis alami kini mungkin sudah jarang dilihat memandangkan ketika ini negara sudah pun dalam fasa peralihan ke endemik bermula 1 April 2022. Namun tidak di China, negara pertama yang merekodkan kes COVID-19 pertama dunia, kini masih lagi berperang habis-habisan melalui polisi sifar COVID yang dipertahankannya sejak awal lagi.
Disebabkan itu, penulis berkongsi kisah dan pengalaman pertama di negara Tembok Besar ini dalam kolum khas di ruangan Tinta Minda dan sudah pasti banyak lagi pengalaman di sini yang akan penulis kongsikan dalam artikel seterusnya.
Ketika editor memaklumkan penulis ditugaskan untuk mengikuti program latihan selama hampir enam bulan iaitu China Asia Pacific Press Centre 2022 (CAPCC) di Beijing, China, beliau hanya memberikan masa yang singkat untuk membuat keputusan, sama ada penulis mahu menerima atau tidak tawaran itu.
Pada ketika itu, macam-macam perkara bermain di fikiran. Adakah penulis boleh hidup di China dalam tempoh selama itu, bagaimana dengan masalah komunikasi, makanan dan paling penting, bagaimanakah situasi COVID-19 dan langkah-langkah pengawalannya.
Ini lebih-lebih ketika banyak berita dan video tersebar dalam media sosial memaparkan ramai rakyat yang kurang senang dengan situasi pengurusan COVID-19 di China, misalnya, dalam aspek pengurusan hak asasi manusia membabitkan perintah berkurung di Shanghai akibat peningkatan jumlah kes yang dilaporkan.
Namun ketika itu, penulis bulatkan tekad. Peluang datang bukan selalu, dan penulis memujuk diri bahawa ia merupakan satu peluang berharga untuk menimba ilmu dan mencari pengalaman sebanyak mungkin di negara orang. Seperti disebut dalam hadis, menuntut ilmu biarlah sampai ke negeri China.
Penulis bersetuju, namun ini bukanlah kali pertama penulis berkunjung ke China. Sebelum ini, penulis pernah ke negara ini bagi menyertai program ASEAN Elites China Tour pada 2019, atas jemputan China International Publishing Group (CIPG). Itu pun selama 13 hari sahaja.
China, Aku Datang
Akhirnya pada 17 Julai 2022, pesawat Shanghai Airlines yang dinaiki penulis dan dua lagi rakan wartawan Malaysia bergerak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan selama 4 jam 24 minit menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Nanchang Changbei.
Syukur kerana kerajaan China pada penghujung Jun baru saja mengurangkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada pengembara antarabangsa. Nanchang, merupakan ibu kota bagi wilayah Jiangxi, terletak di bahagian utara-tengah dan di pedalaman Dataran Tasik Poyang. Jaraknya kira-kira 1,400 kilometer ke Beijing atau 2 jam 15 minit menerusi penerbangan udara.
China yang masih bertegas dengan polisi sifar COVID-19 sejak penularan virus itu pada 2020, mengenakan peraturan yang sangat ketat untuk sesiapa yang ingin masuk ke negaranya, malah ketika ini pun hanya warganegara China atau warga asing yang mempunyai permit residen dan beberapa jenis visa khas tertentu sahaja yang dibenarkan masuk ke negara ini.
Sebelum ke China, penulis perlu menjalani ujian RT-PCR dua kali, iaitu 48 dan 24 jam sebelum penerbangan, menunjukkan bukti vaksinasi lengkap serta mendapatkan Health Declaration Certificate (HDC) dalam bentuk kod QR bagi membolehkan penulis menaiki pesawat dari Malaysia.
Begitu juga kisahnya sebaik tiba di Lapangan Terbang Nanchang Changbei. Keadaan lapangan terbang dipenuhi dengan petugas yang memakai PPE, mengarahkan penulis dan penumpang lain untuk membuat pemeriksaan suhu, menunjukkan Health Declaration ID serta menjalani ujian RT-PCR.
Selesai segala proses, penulis tidak boleh melencong ke mana-mana, sebaliknya terus dibawa menaiki bas selama 45 minit menuju ke hotel tempat berkuarantin. Turun sahaja dari bas, bagasi penulis disembur dengan cecair pembasmi kuman dan apabila masuk ke dalam lif pun, bau cecair pembasmi kuman sangat kuat.
Keadaan lif yang agak basah menandakan kekerapan petugas hotel melakukan sanitasi. Sepanjang dikuarantin, hampir setiap hari petugas membuat ujian COVID-19 pada setiap 8.30 pagi, selain turut merekod suhu badan pada setiap pukul 3 petang.
Makanan turut dihantar pada pagi, tengahari dan malam. Segala bentuk komunikasi, arahan, permasalahan dan pertanyaan oleh pengembara yang sedang dikuarantin pula dibuat melalui kumpulan WeChat yang dikendalikan pengurusan hotel.
Di China, satu kes positif di sesuatu kawasan atau lokaliti pun boleh menyebabkan perintah berkurung dilaksanakan.
Ujian besar-besaran (mass testing), kuarantin bagi menghapuskan kluster, selain perlunya keputusan ujian COVID-19 positif dalam tempoh 48 jam atau 24 jam untuk bergerak dari satu bandar ke satu bandar atau untuk masuk ke sesuatu premis, adalah sebahagian daripada polisi sifar COVID-19 diamalkan negara ini.
Mereka yang melanggar peraturan juga akan dikenakan hukuman yang berat.
Saya pasti, setiap negara mempunyai cara tersendiri untuk menangani COVID-19 dan mereka pasti tahu apa yang terbaik untuk rakyat masing-masing.
“Salam Dari Beijing”.
-- BERNAMA
Hasnah Jusid merupakan wartawan dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang sedang mengikuti Program China Asia Pacific Press Center 2022, di bawah rangka kerja China International Press Communication Centre (CIPCC), di Beijing selama lima bulan.