TINTA MINDA

TUMPU KEPADA PEMERKASAAN TENAGA PENGAJAR TVET

02/08/2024 11:00 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Muhamad Aiman Abu Hassan dan Kamarul Aini Hassan Basri

Menyambut hasrat kerajaan dalam fokus membangunkan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terutamanya di peringkat pendidikan tertiari, pelbagai gerak kerja, inisiatif dan dasar telah dirangka bagi memastikan pemerkasaan sektor TVET di negara ini.

Pengwujudan Hari TVET Negara, Majlis TVET Negara dan Dasar TVET Negara 2030 menunjukkan komitmen kerajaan bagi memastikan kemajuan unggul dalam bidang teknologi dan tenaga kerja yang mampan. Memetik ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang juga merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara, kerajaan berpendirian bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah menjadikan bidang TVET sebagai pendidikan arus perdana dan komited dalam menghapus stigma masyarakat bahawa pendidikan TVET ini sebagai ‘bidang kelas kedua’.

Pembangunan yang lebih menyeluruh dalam sektor TVET ini mendukung aspirasi New Industrial Master Plan 2023 (NIMP 2030) yang memberi fokus kepada pertumbuhan mampan sektor pembuatan dan perkhidmatan terutamanya dalam melahirkan pekerja berkemahiran dengan pendapatan tinggi. Dasar ini sukar dicapai sekiranya isu seperti ketidakpadanan kemahiran (skills mismatch) dan kekurangan bakat (talent shortage) yang dihadapi ketika ini tidak diatasi. Justeru, pendirian dan komitmen kerajaan ini membawa satu hasrat iaitu sudah tiba masanya pemerkasaan bidang TVET ini dilakukan dengan penuh proaktif dan disahut oleh semua golongan masyarakat.

Tenaga pengajar

Bagaimanapun, perhatian juga perlu ditumpu kepada golongan tenaga pengajar TVET. Umum ketahui tenaga pengajar merupakan nadi pembangunan dan kemajuan sektor pendidikan. Pelajar yang hebat dan unggul dibentuk hasil acuan kepakaran serta kualiti yang ada pada tenaga pengajar. Mendepani gelombang kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan, setiap tenaga pengajar perlu dipersiapkan dengan ilmu dan kepakaran yang mendalam bagi memastikan agenda TVET nasional ini tercapai. Oleh itu, amat penting untuk perhatian sama diberi kepada pembangunan kualiti dan kepakaran tenaga pengajar di setiap institut yang menawarkan program pengajian TVET.

Kerajaan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat perlu memastikan satu gerak kerja peningkatan tahap kepakaran dalam kalangan tenaga pengajar diperkasa. Antara perkara asas yang boleh dilakukan ialah dengan membuka peluang untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran. Peluang ini juga menjadi antara medium kepada mereka untuk mengasah teori ilmu dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan sebagainya. Sejajar dengan inisiatif ini, pihak universiti awam (UA) khususnya boleh membangunkan program Sarjana yang tertumpu kepada bidang pendidikan teknologi dan kejuruteraan seterusnya mampu memperkasakan tahap kepakaran tenaga pengajar TVET.

Selain itu, kualiti tenaga pengajar juga boleh dipertingkatkan dengan inisiatif peningkatan kompetensi khususnya bersama industri selaras dengan Teras B, Dasar TVET Negara 2030. Namun, inisiatif ini masih dianggap perlahan dan perkara ini perlu diberi perhatian. Tindakan ini perlu dipercepatkan oleh kerajaan dalam memastikan usaha ini berada pada landasan yang betul. Kolaborasi bersama industri dan institusi TVET melalui memberikan kelebihan kepada tenaga pengajar dan pelajar. Contohnya, kerjasama yang diwujudkan antara industri dan institut TVET dapat membantu dalam penambahbaikan kurikulum yang lebih seiring dengan perkembangan semasa. Pelajar juga boleh mengambil peluang ini untuk didedahkan dengan pengalaman kerja di lapangan.

Kualiti penyampaian

Seiring dengan usaha untuk memumpuk dan menarik minat orang ramai untuk menyambung pengajian dalam bidang TVET, kualiti dan cara penyampaian program juga perlu diperhalusi. Teknik pengajaran kreatif dan inovatif perlu diterapkan dalam kalangan tenaga pengajar TVET bagi memastikan objektif ini tercapai. Pada pandangan umum, bidang TVET ini sukar kerana memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi selain asas teori yang kukuh. Tenaga pengajar perlu menyahut cabaran ini dengan mencipta pendekatan yang lebih kreatif dalam menyampaikan ilmu. Perkara ini juga boleh meningkatkan kefahaman pelajar dalam kursus yang dipelajari dalam masa yang singkat.

Secara tuntasnya, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang bagi memastikan agenda nasional ini tercapai. Segala inisiatif dan dasar ini adalah bagi menyeimbangkan kemajuan teknologi yang bergerak secara pesat dengan memastikan negara mampu melahirkan tenaga kerja mahir tempatan kepada industri. Pemerkasaan tenaga pengajar menjadi asas kepada kejayaan dasar TVET ini. Pada yang sama, negara boleh mengangkat kepakaran tempatan untuk diiktiraf dunia selain mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga mahir luar. Potensi ini mampu dicapai sekiranya setiap golongan menggembleng tenaga menyahut dasar nasional ini. Pengiktirafan terhadap bidang TVET ini juga boleh menghapuskan persepsi negatif terhadap bidang ini sebagai bidang kelas kedua malah menuju ke hadapan, bidang TVET ini merupakan bidang arus perdana. Harapan yang besar kepada pembangunan TVET dalam memacu kemajuan negara pada masa hadapan setanding dengan negara maju.

--BERNAMA

Muhamad Aiman Abu Hassan ialah Penolong Pendaftar, Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kamarul Aini Hassan Basri ialah Ketua Unit Sarjana Muda, Bahagian Pengambilan Pelajar, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)