Oleh Prof Madya Dr Nor Aniza Ahmad
Pengantarabangsaan pendidikan tinggi berperanan penting dalam memacu pembangunan profesional pensyarah dan kecemerlangan akademik pelajar khususnya pascasiswazah di universiti awam dan swasta.
Pengantarabangsaan merupakan satu usaha memperluas jaringan universiti ke peringkat global menerusi kerjasama akademik dalam pelbagai bentuk antara universiti tempatan dengan universiti di luar negara.
Tujuan utama pengantarabangsaan pendidikan tinggi adalah untuk meningkatkan kualiti penyelidikan, penerbitan dan pengajaran yang semakin berkembang pesat di samping mempersiapkan pelajar universiti yang berdaya saing untuk menghadapi cabaran di era teknologi yang semakin terhubung.
Pada 6 hingga 9 September lepas Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir ke Switzerland untuk memenuhi jemputan daripada World Trade Institut (WTI) sebagai panel World Trade Forum. Jemputan tersebut telah membuka ruang yang luas kepada universiti tempatan melebarkan sayap untuk menjalin kerjasama pendidikan tinggi di arena antarabangsa.
Dalam konteks pembangunan profesional staf akademik dan pelajar pascasiswazah, pengantarabangsaan dapat membantu dan menyokong peningkatan kecemerlangan mereka dalam pelbagai aspek termasuk penyelidikan, penerbitan, akses perkembangan teknologi dan sumber terkini, persidangan antarabangsa, pertukaran pelajar, selain program sangkutan industri.
Mewujudkan Kerjasama
Pengantarabangsaan membolehkan universiti tempatan mewujudkan kerjasama dengan penyelidik daripada universiti di luar negara dalam bidang yang utama dan penting seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kejuruteraan teknologi yang mana tenaga pakar daripada universiti berkaitan diperlukan.
Menerusi lawatan dan perbincangan dua hala antara KPT dengan State Secretary for Education, Research and Innovation, Switzerland, iaitu sebuah agensi khusus yang menguruskan hal-hal dasar pendidikan, penyelidikan dan inovasi telah berjaya menghasilkan kerjasama termasuk pertukaran staf akademik dan pelajar, serta penyelidikan antara kedua-dua negara.
Perkembangan ini menjadi titik permulaan dalam meningkatkan pelbagai bentuk jaringan dan kerjasama antarabangsa pendidikan tinggi yang merentasi rantau ASEAN melalui Malaysia dan benua Eropah melalui Switzerland.
Susulan itu, KPT sedang merangka kerjasama antara universiti tempatan dengan Ecole Polytechnique Federale de Lausanne (EPFL), iaitu sebuah universiti penyelidikan awam di Bern, Switzerland yang berada di kedudukan 26 terbaik dunia.
Justeru itu, perkongsian strategik bersama pasukan penyelidik antarabangsa dapat memberi impak yang positif kepada staf akademik dan pelajar pascasiswazah kerana mereka berpeluang terlibat dan menimba pengalaman berharga dalam projek penyelidikan berimpak tinggi yang bertaraf antarabangsa.
Para pensyarah dan pelajar pascasiswazah turut berpeluang untuk meningkatkan pengalaman dan kompetensi mereka dalam bidang masing-masing menerusi pelbagai alat teknologi dan inovasi terkini.
Sebagai contoh, universiti yang mempunyai kerjasama antarabangsa dapat berkongsi manfaat sumber teknologi terkini yang mereka ada untuk disebarluaskan kebergunaan sumber berkenaan termasuklah perisian, peralatan dan infrastruktur terkini yang tidak diperoleh dalam konteks tempatan.
Kelebihan ini perlu dimanafaatkan dalam membantu mereka menyelesaikan isu berkaitan maklumat dan data dalam bidang masing-masing secara lebih komprehensif.
Penyertaan staf akademik dan pelajar pascasiswazah dalam persidangan atau forum di peringkat antarabangsa pula dapat menambah pengalaman dan memberi impak yang positif kepada bidang masing-masing.
Mereka dapat berinteraksi, bertukar fikiran, belajar dengan pelbagai pakar bidang di peringkat global serta dapat membina jaringan ilmu daripada komuniti akademik yang lebih besar. Dengan demikian, horizon pelajar pascasiswazah dapat diperluaskan menerusi penyertaan mereka dalam platform sebegini.
Ahli akademik dan pelajar pascasiswazah yang berpeluang mengikuti diskusi akademik serta program mobliti dan pertukaran staf atau pelajar dapat memberikan impak positif bukan sahaja kepada mereka, malah universiti yang terlibat.
Di samping pengalaman pembelajaran, kefahaman kepelbagaian budaya, kemahiran bahasa dan memperkembangkan rantaian jaringan sosial, mereka juga dapat membangunkan potensi kendiri yang lebih kompetetif untuk berjaya dan berdaya saing di peringkat global.
Latihan atau sangkutan industri membolehkan staf akademik dan pelajar pascasiswazah memperoleh pengalaman dan latihan secara lebih konstruktif dalam meningkatkan mutu kerja dalam bidang masing-masing.
Misalnya, syarikat multinasional yang bereputasi menyediakan rangkaian pakar profesional pelbagai bidang yang sekiranya boleh diakses oleh staf akademik dan pelajar pascasiswazah tentunya memberi ruang dan peluang yang lebih baik dalam kerjasama industri di peringkat global.
Etika dan budaya kerja global yang berbeza juga menambah pengetahuan serta pengalaman yang berharga kepada mereka yang menjalani latihan industri di syarikat antarabangsa.
Selain itu, pendedahan ini akan membuka peluang kerjaya mereka jika mendapat tawaran pekerjaan daripada syarikat yang terkenal dalam kalangan industri di peringkat global.
Pembangunan Bakat Pensyarah Muda
Dalam konteks pembangunan bakat pensyarah muda di universiti, mereka akan memperoleh manfaat menerusi aktiviti dan program seperti felo penyelidik, program sangkutan dan pensyarah jemputan.
Pengalaman sebagai felo penyelidik di universiti yang berprestij dapat membantu pensyarah muda untuk lebih berjaya dalam menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi yang memberikan impak serta menyumbang kepada kemajuan serta ketinggian ilmu dalam bidang kepakaran masing-masing.
Pengalaman individu mahupun secara berpasukan dengan keterlibatan pasukan penyelidik hebat daripada pelbagai universiti di peringkat antrabangsa membantu staf akademik melakar kerjaya dengan cemerlang dalam penyelidikan.
Di samping itu, peluang menerbitkan makalah ilmiah atau penulisan akademik bersama pakar bidang masing-masing juga merupakan peluang yang tidak boleh mereka lepaskan.
Tentunya akan dapat meningkatkan keterlihatan penyelidik, meningkatkan reputasi akademik serta penyelidikan mereka dan seterusnya mampu membawa nama baik universiti mereka ke peringkat antarabangsa.
Dalam konteks academia, nilai tambah pensyarah dapat diperoleh menerusi program sangkutan yang signifikan dengan bidang kepakaran yang dipilih.
Program sangkutan di peringkat global misalnya, akan membantu meningkatkan reputasi profesional pensyarah yang seterusnya akan membuka peluang yang lebih luas dalam projek-projek yang berimpak dan berprestij.
Selain itu, sangkutan dalam bidang kepakaran juga bertindak sebagai pemacu kepada perkembangan pemikiran yang kreatif dan inovatif. Hal ini akan membolehkan sumbangan positif yang lebih bermakna kepada komuniti dan masyarakat setempat.
Staf akademik yang dijemput sebagai pembentang atau ahli panel dalam program diskusi akademik, persidangan dan forum antarabangsa bukan sahaja menjadi wakil dan ‘duta’ negara malah menjadi pakar rujuk utama dalam bidang masing-masing.
Mereka akan berkongsi idea, konsep, teori, pemikiran dan perspektif semasa tentang topik atau isu yang dibincangkan. Justeru itu, aktiviti mahu pun program pengantarabangsaan ini memberikan natijah yang positif kepada perkembangan kerjaya pensyarah muda dalam bidang masing-masing.
Program Pengantarabangsaan Pelajar
Program pengantarabangsaan dilihat semakin mendapat tempat dan diminati oleh pelajar-pelajar universiti. Dalam perkaitan ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai universiti penyelidikan yang bereputasi antarabangsa, berusaha memperkasa program pengantarabangsaan bukan sahaja kepada pelajar ijazah sarjana muda malahan kepada pelajar pascasiswazah.
Antara aktiviti yang sering dijalankan termasuk program mobiliti pelajar, pertukaran pelajar antarabangsa, pelaksanaan latihan industri dan kerjasama meluas dalam penyelidikan dan penerbitan.
Universiti terus berusaha meneroka peluang mewujudkan jaringan baharu dengan institusi antarabangsa. Pertambahan bilangan rakan strategik, rakan kolaborasi peringkat antarabangsa dapat memperkasa keterlihatan UPM dan membawa impak terhadap pencapaian universiti dalam penarafan peringkat antarabangsa.
Kesimpulannya, pengantarabangsaan pendidikan tinggi menjadi pemacu penting untuk mencapai kecemerlangan para pensyarah dan pelajar pascasiswazah kerana membuka peluang pembelajaran, penyelidikan dan kolaborasi yang memandu perkembangan profesional ke peringkat yang lebih tinggi. Disamping itu, memberi peluang yang lebih luas kepada pensyarah muda untuk lebih menyerlah, cemerlang dan kompetetif di peringkat global, seterusnya menyumbang secara signifikan dalam dunia akademik tanpa sempadan ini.
--BERNAMA
Prof Madya Dr Nor Aniza Ahmad ialah Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Antarabangsa) di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. Kepakaran beliau adalah dalam bidang Psikologi Pendidikan.