NOTA KAMPUS

BENDUNG AMARAH, SAHSIAH MULIA MAHASISWA PERLU DIBENTUK

30/07/2025 11:08 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Anim Zalina Azizan

Semenjak kebelakangan ini, kebanyakan tragedi yang berlaku dalam masyarakat kita bukan semata-mata berpunca daripada masalah ekonomi atau sosial, tetapi juga daripada kegagalan mengawal emosi, khususnya kemarahan. Tiga insiden yang terjadi sebelum ini menjadi cerminan jelas akan bahaya amarah yang tidak dibendung. Pertama tentang kes kemalangan maut membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, kes pelajar membunuh ahli keluarga sendiri di Bukit Rambai, dan kes suami membunuh isteri di Tangkak. Setiap kes ini, walaupun berbeza latar dan konteks, namun ia berkongsi satu benang merah yang sama iaitu kemarahan yang meledak tanpa batas.

Di Gerik, pemandu bas yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam nahas maut tersebut dikatakan menunggu penumpang selama 40 minit, menyebabkan kemarahan terbit di dalam dirinya kerana ‘disidai’ sebegitu lama. Perasaan marah yang mungkin tidak disuarakan atau ditangani secara waras akhirnya membawa kepada tindakan yang berpotensi membahayakan nyawa iaitu dengan membawa melebihi had laju yang ditetapkan. Lebih tragis lagi, 15 penuntut UPSI yang tidak bersalah menjadi mangsa keadaan.

Di Bukit Rambai pula, seorang pelajar tingkatan lima bertindak di luar kewarasan apabila membunuh ibu dan abang serta mencederakan adik bongsunya. Difahamkan, remaja ini memendam tekanan akibat sering dipaksa belajar dan menyimpan dendam terhadap keluarganya. Di sebalik kisah ini, terbentang satu hakikat yang menakutkan iaitu tekanan dan kemarahan yang tidak ditangani boleh berubah menjadi tindakan yang menghapuskan segala nilai kasih sayang dan kemanusiaan.

Kajian pada November 2024 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa kira-kira satu daripada tiga remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mengalami masalah mental, dengan gejala seperti kemurungan, kecemasan, gangguan stress pascatrauma (PSTD), gangguan bipolar, skizofrenia, gangguan makan, obsessive-compulsive disorder (OCD), gangguan personaliti, fobia, demensia dan tekanan emosi yang berterusan. Selain itu, kajian dalam kalangan pelajar sekolah dari tingkatan satu hingga enam (13 hingga 18 tahun), sekitar Kota Kinabalu dan Kudat Sabah membuktikan bahawa kemahiran pengurusan stres amat penting kerana ia berkait secara langsung dengan kepuasan hidup khususnya bagi golongan remaja atau generasi Z pada masa kini.

Sementara itu, di Tangkak, seorang suami bertindak kejam mengelar isterinya sehingga mati hanya kerana si isteri mengungkit kisah lama. Apakah ini nilai rumah tangga yang kita ingin wariskan? Apakah semudah itu nyawa manusia melayang akibat perkara remeh? Kes keganasan rumah tangga juga pernah dilaporkan, statistik terkini dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga pada tahun lalu berbanding 2023 dan 2022. Pada tahun 2022, sebanyak 6,540 kes telah direkodkan, diikuti dengan 5,507 kes pada tahun 2023 manakala pada tahun 2024, sebanyak 7,116 kes dilaporkan.

Amarah: Emosi Asasi yang Boleh Membunuh

Kemarahan adalah satu bentuk emosi yang normal. Ia hadir sebagai reaksi kepada ketidakadilan, kekecewaan atau provokasi. Namun, apabila ia tidak dikawal, kemarahan boleh menjadi racun kepada akal, mencetuskan tindakan yang tidak rasional dan merosakkan hubungan sosial, malah nyawa. Lebih membimbangkan apabila masyarakat semakin normalisasi amarah dengan alasan tekanan hidup, sedangkan realitinya, pengurusan emosi adalah tanggungjawab individu.

Secara psikologi, kemarahan yang dipendam atau diluahkan secara agresif memberi kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal seseorang. Ia mengganggu fungsi otak, mengaburi pertimbangan rasional, dan mencetuskan tindakan yang sering dikesali kemudian hari.

Sahsiah Mahasiswa, Perisai Terhadap Ledakan Emosi

Dalam konteks ini, peranan institusi pengajian tinggi menjadi amat penting. Mahasiswa bukan sahaja penuntut ilmu, malah mereka bakal pemimpin dan ejen perubahan masa depan negara. Justeru, pembentukan sahsiah yang seimbang dan kukuh dari sudut emosi, mental dan spiritual amatlah penting.

Malangnya, pengurusan emosi sering kali terpinggir dalam sistem pendidikan tinggi. Pelajar diasak dengan tugasan, peperiksaan dan tekanan sosial tanpa dibekalkan kemahiran pengurusan emosi yang mencukupi. Akibatnya, segelintir mahasiswa tewas kepada tekanan, sama ada dengan menyakiti diri sendiri atau orang lain, secara fizikal mahupun emosi.

Sahsiah mahasiswa perlu dibentuk secara holistik. Ini bukan sahaja melibatkan ilmu akademik, tetapi juga penerapan nilai-nilai murni seperti kesabaran, empati, toleransi dan kawalan diri. Mahasiswa perlu dididik untuk mengenali dan mengurus emosi dengan bijaksana. Modul pembangunan sahsiah, bimbingan kaunseling serta aktiviti kesukarelawanan harus menjadi sebahagian daripada budaya kampus. Mahasiswa sewajarnya diberi peluang untuk terlibat dalam aktiviti yang memerlukan kreativiti dan penyelesaian masalah. Mereka juga boleh terlibat dalam acara yang menonjolkan bakat terpendam mereka dalam bidang kebudayaan dan kesenian sebagai salah satu usaha menghilangkan stres.

Membangun Masyarakat Berjiwa Tenteram

Kita tidak mahu melahirkan generasi yang cemerlang akademik tetapi rapuh emosinya. Dalam dunia yang semakin mencabar, mahasiswa perlu dilengkapi dengan daya tahan emosi dan kemahiran komunikasi yang matang agar mereka tidak mudah bertindak di luar kawalan apabila berdepan konflik.

Kejadian-kejadian seperti di Gerik, Bukit Rambai dan Tangkak adalah isyarat jelas bahawa masyarakat kita perlu lebih fokus kepada pembinaan kendiri dan sahsiah. Kita harus mengangkat nilai empati dan penyelesaian konflik secara damai sebagai teras dalam hubungan kekeluargaan, pendidikan dan pekerjaan.

Peranan keluarga, pendidik dan pemimpin masyarakat amat penting dalam menanam benih sahsiah yang baik. Sikap marah bukan untuk disekat sepenuhnya, tetapi untuk dikawal dan diurus. Jika disalurkan dengan betul, kemarahan boleh menjadi pemangkin perubahan positif. Sebagai contoh, mahasiswa yang marah terhadap isu ketidakadilan sosial boleh menggunakan kemarahan itu untuk memperjuangkan hak asasi manusia secara aman dan berstrategi.

Emosi Terbimbing, Masyarakat Terpelihara

Kemarahan adalah fitrah manusia, namun membiarkannya menguasai diri adalah pilihan yang merosakkan. Tragedi-tragedi yang berlaku akibat ledakan emosi tanpa batas harus dijadikan iktibar buat seluruh lapisan masyarakat. Khususnya buat mahasiswa, sahsiah yang unggul bukan sahaja penentu kejayaan peribadi, malah benteng kepada keruntuhan moral dan sosial.

Justeru, pendekatan yang menyeluruh perlu diambil oleh semua pihak termasuk keluarga, institusi pendidikan, dan masyarakat demi membentuk insan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berjiwa besar, matang dalam emosi, dan tinggi akhlaknya. Hanya dengan itu, kita mampu melahirkan generasi yang benar-benar mampu membawa perubahan yang lestari dan aman dalam masyarakat.

-- BERNAMA

Dr Anim Zalina Azizan ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)